Berakhir sebuah perjalanan, bermula sebuah kebangkitan

 Berakhir sebuah perjalanan, bermula sebuah kebangkitan

AGfnyTr6r9DT-ZP2j-QwmBFR5ImDTr0w_8FbUCS_LzE

 

Sejarah telah mengungkapkan bahawa pemuda merupakan tonggak kebangkitan dalam setiap perubahan dan kegemilangan. Zaman pemuda adalah zaman keemasan bagi setiap manusia kerana tempoh tersebut merupakan tempoh yang paling bertenaga dan bersemangat. Jika rosak pemudanya maka runtuhlah sebuah empayar. Ia telah dibuktikan oleh Sang Penakluk Konstatinople yang telah diiktiraf oleh Rasulullah di dalam hadis sebagai pemimpin terbaik ketika usianya 21 tahun. Pemuda adalah pemimpin yang bakal meneraju masa depan negara yang wajib dibina nilai kematangan dan bakat kepimpinan.

Satu perkongsian tentang perjalanan pasangan pelajar muslim sepanjang menelusuri perjalanan hidup di Mesir . Semoga kisah ini mampu dijadikan teladan buat mahasiswa yang sedang meniti pengembaraan ilmu. Selamat membaca!

BIODATA RINGKAS

MUHAMMAD ZAKWAN BIN YAHYA telah dilahirkan di Klang,Selangor. Beliau menerima pendidikan awal di Sek Keb Jalan Kebun dan meneruskan kembara ilmunya di SMKA Maahad Hamidiah Kajang sehingga tingkatan 3 kemudian berubah angin ke Kolej Islam Sultan Alam Shah(KISAS) sehingga tingkatan 5. Setelah tamat pengajian di peringkat rendah dan menengah, beliau melanjutkan pengajian di INTEC Shah Alam dan menceburi bidang perubatan di Universiti Kaherah,Mesir.

Isterinya bernama NURDIYANA BINTI MOHAMED, dilahirkan di Sg. Petani. Beliau menerima pendidikan awal di Sek Keb Taiping dan menyambung pembelajarannya di Sek Raja (P) Taayah Ipoh sehingga tingkatan 3. Seterusnya, beliau berpindah ke Kolej Islam Sultan Alam Shah(KISAS) sehingga tamat alam persekolahan pada tahun 2005. Beliau juga turut melanjutkan pengajian di INTEC Shah Alam dan menceburi bidang perubatan di Universiti Kaherah,Mesir.

KEMBARA MESIR

Mereka berdua telah memilih Mesir, bumi yang bukan sahaja memiliki ilmu semata-mata sebagai destinasi persinggahan dalam menelusuri pengembaraan ilmu tetapi terdapat 1001 mutiara para anbiya’ yang sangat berharga. Pada tanggal 31 Ogos 2007, bermulalah perjalanan sebagai pelajar dalam bidang perubatan di bumi yang istimewa dan baru bagi mereka.

Sebaik sahaja tiba di bumi yang mungkin terselit hanya sekali dalam siri kehidupan mereka, mereka tidak langsung mensia-siakan peluang ini dengan aktiviti dan azam yang picisan, sebaliknya mereka menanam azam yang besar dan tinggi untuk mengaut segala ilmu dan pengalaman. Mereka memanfaatkan segala detik berharga sepanjang menghirup udara Mesir dan mengorbankan masa,duit,tenaga dalam membentuk diri untuk menjadi pemimpin kepada masyarakat kelak.“Mesir adalah bumi yang tidak mempunyai sistem dan kebiasaannya pelajar-pelajar akan tenggelam dengan situasi ini. Oleh itu,saya sentiasa memperbaharui niat dari masa ke masa “,ujar beliau sebagai pesanan khususnya buat mahasiswa/wi di Mesir.

Di celah-celah kesempitan waktu dalam menuntut ilmu,namun mereka juga bergiat aktif dalam dakwah dan tarbiyah sepanjang berada di Mesir. Tidak seperti sebilangan pelajar lain di Mesir yang lebih terarah untuk menghabiskan cuti musim panas di Malaysia dan melancong keluar negara, pasangan ini lebih gemar untuk menghabiskan waktu cuti mereka dengan program-program keilmuan anjuran ISMA Mesir seperti seminar bedah buku, perkhemahan musim panas dan lain-lain program-program yang mengumpulkan seluruh ahli ISMA di Mesir. Mereka bukan sahaja ingin menjadi pengamal perubatan semata-mata bahkan pengamal perubatan yang memiliki kefahaman Islam yang mantap dan aktif dalam meneraju masyarakat ke arah kefahaman Islam secara menyeluruh. Inilah inspirasi mereka yang menjadi pemangkin semangat sepanjang mengharungi keperitan dan keletihan kehidupan di Mesir.

BAHTERA KELUARGA

“Keluarga merupakan sebuah unsur yang penting dalam pembinaan sesebuah masyarakat. Membentuk masyakarat Muslim yang mendokong risalah Muhammad, harus bermula dengan individu-individu yang beriman, kemudian mereka membentuk sebuah keluarga yang beriman yang akan menghasilkan sekelompok masyarakat yang beriman.Membentuk keluarga yang beriman, tidak mungkin terjadi jika titik permulaannya dipenuhi dengan kerosakan dan kecelaruan dalam perhubungan”

Mengimbas bagaimana pasangan ini saling mencintai, faktor rakan sekelas bukanlah pendorong berputiknya kasih sayang antara mereka. Bahkan mereka sangat dikenali sebagai mahasiswa dan mahasiswi yang sangat menjaga adab pergaulannya. Menariknya percintaan Dr Zakwan dan Dr Nurdiyana ini, mereka telah dipertemukan oleh sepasang suami isteri yang juga merupakan pelajar di Mesir.

Alhamdulillah, jodoh berdua ini telah selamat dipertemukan di atas pernikahan yang suci pada 22 Ogos 2012 ketika kedua-duanya berusia 23 tahun dan merupakan pelajar tahun 4 pada waktu tersebut. Ia tampak sukar bagi mahasiswa yang sedang belajar untuk mendirikan bahtera keluarga dengan kepadatan jadual belajar namun apa yang penting adalah kemampuan dalam menguruskan waktu. Perancangan kehidupan juga perlu diambil kira bagi memastikan perjalanan sentiasa berjalan mengikut landasan dan mencapai kejayaan.

Di samping itu,perkahwinan ini juga membina kematangan mereka dalam memikul tanggungjawab sebagai suami isteri dan ibu bapa. Mereka telah dikurniakan seorang puteri sulung, Zahra’ Binti Muhammad Zakwan yang selamat lahir di Hospital Muhd Ali Badawi, Kaherah pada 21 Mac 2014. Walaupun mempunyai seorang cahaya mata ketika masih di bangku universiti tetapi ia tidak menggugat prestasi pelajaran bahkan semakin menambahkan lagi semangat untuk cemerlang dalam pelajaran.

KEPULANGAN KE TANAH AIR

Setelah 6 tahun setengah berhempas pulas menimba ilmu dan pengalaman di bumi Kinanah ini,perasaan rindu kepada tanah air semakin menebal dan tidak sabar untuk berbakti kepada agama,bangsa dan negara. Akhirnya,mereka telah berangkat pulang ke tanah air pada 29 April 2014,maka berakhirlah detik indah sepanjang hidup di bumi anbiya’ ini.

Segala jasa yang dicurahkan sepanjang berada di Mesir amat dihargai dan kepulangan beliau dan isteri ke tanah air ternyata merupakan satu kehilangan buat warga ISMA-Mesir. Pihak ISMA-Mesir mengucapkan selamat pulang ke tanah air dan semoga terus istiqamah dalam berbakti untuk agama, bangsa dan negara

“MEMBANGUN MAHASISWA BERAGENDA”

Comments

comments

admin