Garisan Kehidupan

1988_764664203560193_880117893_n
Oleh: Dr Mukmin Mohd Khairi, Graduan Kuliah Perubatan Universiti Kaherah

Realitinya, kehidupan kita ini dapat digambarkan seperti sebuah Garisan Kehidupan, ada permulaannya dan ada pengakhirannya. Ianya bermula daripada Alam Roh lagi, di mana kewujudan kita telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Kemudian, kita masuk ke Alam Rahim selama sembilan bulan dikandung perut ibu.

Setelah itu, kita dilahirkan memasuki Alam Dunia, meniarap, merangkak, seterusnya berjalan, berlari dan mula menerokai dunia ini. Di dunialah kita melakukan segala rutin harian, bekerja, bercucuk tanam, berniaga, bersenda gurau, berkeluarga, mengumpul harta dan sebagainya. Hinggalah tibanya saat tubuh mulai lemah longlai, kulit semakin kendur, nafas semakin lemah, dan uban kian menutupi kepala. Pada waktu ini, kita telah berada di penghujung kehidupan di dunia. Firman Allah ta’ala:

 

“Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah kembali dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.” (Ar Ruum: 54)

 

Muncul pula selepas itu, detik yang sangat mencemaskan, Malaikat Izrail datang mencabut nyawa. Lalu, terpisahlah ruh daripada badan dan kita memasuki Alam Barzakh, suatu alam ghaib yang cukup mengerikan bagi mereka yang melakukan banyak dosa di dunia, juga alam yang sangat mengembirakan bagi mereka yang melakukan amal soleh.

 

Terakhirnya, semua manusia akan dibangkitkan kembali ke Alam Akhirat yang kekal abadi. Di sana, adanya Hari Pembalasan yang menentukan kesudahan kita, sama ada Syurga ataupun nauzubillah min zalik, Neraka yang sangat menakutkan. Adapun, bagi mereka yang soleh sangat merindui detik bertemu dengan Tuhannya yang selamanya ini diidam-idamkan. Dan tiadalah nikmat yang paling besar selain memalingkan wajah memandang tepat pada wajah Allah aza wajalla.

 

 Hakikat Hidup Muslim

 

Apabila diamati kembali Garisan Kehidupan tadi, sebenarnya, satu-satunya waktu untuk kita membuat kebaikan ialah ketika mana kita berada di Alam Dunia. Pada waktu yang sangat singkat inilah, manusia perlu berusaha meningkatkan amal yang akan menjadi penentu antara kesudahannya di Syurga mahupun di Neraka.

 

Hakikatnya, di Alam Dunia ini, terdapat 2 persoalan utama yang berlegar-legar dalam kehidupan manusia. Persoalan pertama ialah berkaitan dengan Keperluan seorang Manusia untuk hidup. Inilah satu-satunya persoalan yang sering difikirkan oleh manusia secara keseluruhannya, tidak kiralah dalam bentuk perlukan kepada makanan, tempat tinggal, udara, pakaian, air dan sebagainya. Dan rata-rata kesemua keperluan ini berhajat kepada wang ringgit. Justeru, manusia berlumba-lumba untuk mencari pekerjaan yang terbaik, dan berusaha untuk mengumpul harta bagi memperoleh kesenangan hidup. Boleh jadi, kitar hidup seseorang manusia itu hanyalah untuk memenuhi persoalan ini sahaja sepanjang hayatnya.

 

Adapun persoalan yang kedua adalah berkaitan dengan Bekalan seorang Muslim dalam kehidupan. Apabila mengetahui hakikat ini, barulah seorang Muslim itu akan mengenal matlamat dia dihidupkan di atas dunia ini iaitu untuk mencari Mardhatillah atau pun Redha Allah s.w.t. Dengan kesedaran terhadap hakikat inilah, seorang Muslim akan menjadikan dunianya ini sebagai tempat untuk membuat amal, dan bukan semata-mata untuk bersenang lenang. Hidup seorang Muslim tidak sepatutnya mengejar apa yang dikejar oleh seorang Kafir kerana dia jelas dengan tujuan disebalik penciptaannya.

 

Sabda Rasulullah s.a.w.; “ Dunia itu adalah penjara bagi orang Mukmin, dan syurga bagi orang Kafir… Dan Akhirat itu adalah syurga orang Mukmin, dan penjara bagi orang Kafir.”

 

Inilah yang membezakan antara seorang Muslim dan seorang Kafir. Inilah juga yang menjadi persoalan penting dalam hidup mereka melebihi daripada persoalan yang pertama tadi. Malangnya, hakikat ini hanyalah disedari oleh sejumlah kecil sahaja di kalangan umat Islam itu sendiri.

 

 

Tujuan Hidup 1: Mengabdikan diri kepada Allah

 

Berbalik kepada persoalan Bekalan Muslim tadi, kita akan dapati bahawa tujuan penciptaan manusia di atas bumi ini ialah berdasarkan 2 ayat al Quran. Ayat yang pertama berbunyi;

“Dan tidaklah aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” (Az-Zariyat: 56)

 

Iaitu untuk u’budiyyah ilallah, mengabdikan diri hanyasanya kerana Allah ta’ala dalam erti kata lain Tarbiyah. Dan ayat yang kedua pula;

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi…” (Al-Baqarah: 30)

 

Tujuan penciptaan yang kedua pula, iaitu untuk menjadi Khilafah di atas bumi ini, memakmurkan bumi agar mengikut segala yang ditentukan oleh Syariat Islam, dalam erti kata lain Dakwah. Tujuan hidup yang kedua ini akan kita huraikan pada masa yang akan datang.

 

Jadi, kembali kepada pengabdian diri kepada Allah s.w.t atau dalam definisi lainnya Tarbiyah. Pengabdian kepada Allah s.w.t ini mestilah difahami bahawa kita meletakkan diri ini hanyalah diciptakan semata-mata untuk beribadah kepada Allah ta’ala dengan cara mengenal makrifatullah, tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t. Ini boleh dicapai sama ada dengan menerokai ayatollah al Maqra’ (kehebatan Allah yang dibaca) dan ayatollah al Mandzur (kehebatan Allah yang dilihat) iaitu melalui mukjizat al Quran dan mentadabbur alam buana. Akhirnya, akan timbul dalam diri betapa hebatnya kekuasaan Allah s.w.t. yang berupaya menjadikan apa sahaja yang diinginkanNya.
Ciri-ciri ‘ubudiyyah yang perlu difahami juga perlulah menyeluruh (syumul) dan secara sempurna, bukan dengan menjuzuk-juzukkan kepada beberapa sudut sahaja. Maksud saya,  tidaklah menganggap ibadah itu tempatnya hanya di mihrab semata-mata, bahkan setiap tutur kata, pergaulan, muamalat, berjalan, berdiri dan duduk, kehidupan sejak mula mengangkat kelopak mata sehingga tertutupnya kembali adalah ibadah ataupun pengabdian diri kepada Allah ta’ala. Bahkan, saat tertutupnya mata kita juga adalah seharusnya ibadah kepada Allah s.w.t. FirmanNya;

 

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang kamu yang nyata.” (Surah al Baqarah: 208)

 

Kita dituntut untuk masuk ke dalam Islam itu secara keseluruhan, dituntut untuk sentiasa mengingati dan beramal untuk Allah s.w.t. Melaksanakan segala tuntutan yang terkandung di dalam al Quran dan meninggalkan hayat semata-mata untuk kepentingan peribadi, kesenangan nafsu dan berfoya-foya, kepentingan memenuhi periuk nasi, dan melancong mengelilingi dunia bersuka-suka sahaja.

 

 

Tarbiyah yang tersusun

 

Memahami keperluan untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. secara keseluruhan juga bermaksud keperluan untuk menjadi Muslim Total, bukan sekadar muslim separuh-separuh. Malangnya, Allah s.w.t. juga telah mengingatkan bahawa di sana terdapat suatu makhluk yang akan bekerja keras untuk menghasut manusia supaya tidak menjadi Muslim keseluruhannya, dengan amaran janganlah mengikut jejak langkah Syaitan. Selain itu juga, keinginan hawa nafsu, orang-orang Kafir, dan munafiq juga menjadikan misi seorang Muslim itu menjadi Muslim Total hampir-hampir mustahil.

 

Di sanalah perlunya orang-orang yang beriman kepada kekuatan sistem sokongan yang mampu menangkis semua serangan, hasutan dan godaan itu. Hidup berjemaah, dalam bi’ah yang solehah itu akan menjadikan misi akhir untuk menjadi hamba yang benar-benar beriman dengan Allah s.w.t. lebih mudah dan sempurna.

 

Seseorang yang mempunyai pertemuan mingguan di dalam bulatan kecilnya, mabit bulanan dalam katibah besarnya, bedah buku atau pembentangan ilmiyyah dalam daurahnya, riadah dan mukhayyam bagi keperluan jasadnya, serta muktamar atau nadwah yang mengasah kepimpinannya mampu membentuk seorang muslim yang kuat segala aspeknya bukan sudut-sudut tertentu sahaja. Malahan, manhaj al Quran dan as Sunnah, sirah Nabi s.a.w, para sahabat dan salafussoleh serta ulamak muktabar mampu membangkitkan kembali ruh semangat dengan kegemilangan Islam pada suatu masa dahulu. Selain bi’ah murabbi, mutarabbi dan sokongan ikhwah-ikhwah lain untuk kita menjadi Muslim hakiki melengkapkan sepuluh sifat yang sepatutnya ada pada seseorang individu Muslim itu.

 

 

Kesedaran juga ada Maqamnya

 

“Tuhan dulu pernah, aku menangih simpati,

Kepada manusia, yang alpa juga buta,

Lalu terheretlah, aku di lorong gelisah,

Luka hati yang berdarah, kini jadi kian parah.”

 

Apabila kita mula memahami hakikat kehidupan di dunia ini, seharusnya kesedaran itu timbul, dan cepat-cepat bertaubat memohon keampunan pada Allah ta’ala atas dosa silam.

 

“Semalam sudah sampai ke penghujungnya,

Kisah seribu duka, ku harap sudah berlalu,

Tak ingin lagi, ku ulangi kembali,

Gerak dosa yang menghiris hati.”

 

Tiadalah maqam yang lebih bermakna bagi seseorang yang culas itu selain munculnya kembali kesedaran jauh dari lubuk hati. Lalu disahut kesedaran itu dengan sahutan amal soleh.

 

“Tuhan dosaku menggunung tinggi,

Tapi rahmatmu melangit luas,

Harga selautan syukurku,

Hanyalah setitis nikmatMu di bumi.”

 

Kemudian hati itu kembali bercahaya, sinarannya mengalahkan kegelapan maksiat. Hatinya tunduk berzikir, langkahnya penuh yakin untuk kembali ke barisan perjuangan.

 

“Tuhan, walau taubat seringku mungkir,

Namun pengampunanmu tak pernah bertepi,

Bila selangkah kurapat padaMu,

Seribu langkah kau rapat padaku.”

 

Perasaan dan semangat langkah-langkahnya yang bersama dengan Allah ta’ala menjadi bekal sepanjang perjalanan umur dakwah ini…

Comments

comments

admin