Kembali Kepada Asolah

533858_10151856576627846_781490743_n

Yakni kembalikan diri melihat diri sendiri sebagai seorang daie, murabbi dan mujahid dalam mengembalikan ‘izzah kepada umat Islam. Selepas meletakkan diri sebagai manusia yang terdedah kepada kefuturan dan kelemahan dan memahami selok-belok hakikat kemanusiaan.

Yakni kembali merujuk sirah perjuangan para Anbiya’ AS dan para sahabat RA, serta para salafussoleh sebagai panduan sepanjang perjalanan. Selepas lama menelaah kehidupan-kehidupan pemimpin dunia yang lain dan memahami selok belok cara hidup mereka.

Yakni kembali menghafaz bait-bait sifir para mujahidin yang terkandung dalam ayat-ayat Al-Quran dan Hadis serta kalam para imam yang membawa formula dan kesimpulan kepada hakikat kehidupan dan perjuangan. Selepas menelaah falsafah-falsafah barat yang sarat dengan khayalan dan angan-angan serta istilah-istilah yang berat serta kisah sejarah yang dibawa tafsirannya kepada ideologi tertentu yang bercanggah dengan agenda Islam.

Yakni kembali mentajdid semula iman dan keyakinan bahawa penyelesaian ini perlukan satu nafas panjang, projek yang berfasa, kerja yang kuat, pengumpulan tenaga yang serius, dan perancangan yang rapi. Selepas rancak berinteraksi dengan arus ketidakstabilan politik dan isu-isu semasa yang mendesak kadangkala untuk kita memberikan perhatian yang lebih dari kerja yang sepatutnya.

Yakni kembali mentadabbur makna-makna tajarrud dan ikhlas tanpa syarat, merungkai kembali formula ‘serah tengkuk’ dan menghidupkan makna pengorbanan pada apa jua keadaan. Selepas mempelajari selok-belok sifir muwazanah maslahiyah (pertimbangan berdasarkan maslahat) serta meneliti praktis-praktis politikal dalam gerakan dan perancangan dakwah dan harakah.

Yakni kembali kepada seruan ukhuwwah tanpa program, tanpa formaliti, tanpa kerja, tanpa susunan tertentu. Selepas ukhuwwah itu dibentuk dalam wasail-wasail jemaah yang tertentu untuk menghidupkan ia, bahkan selepas ia mula menjadi kering dek kerana kerja yang cukup banyak dan terjerumusnya para duat ke dalam medan-medan amal yang membawa kepada kegersangan makna-makna percintaan yang sejati.

Yakni kembali kepada seruan ‘Dan dirikanlah solat serta tunaikanlah zakat serta berpegang teguhlah kepada Allah yang merupakan penjagamu’. Selepas berkecimpung dengan lasak dalam seruan ‘Dan berjihadlah kepada Allah dengan sebenar-benar jihad’ (Rujuk ayat kedua terakhir dan ayat terakhir Surah Al-Hajj)

Yakni kembali kepada penyembelihan nafsu secara total, selepas nafsu itu dipelajari dan difahami tabiatnya dalam siri dan episod dalam perjalanan harian bahkan tahunan yang dilalui sama ada dari hidupnya atau hidup orang yang dibawanya.

Yakni …

Kembali kepada perhambaan total kepada Allah SWT, yang menjadikan seseorang hamba itu berperasaan bahawa dirinya tidak pernah cukup untuk mencapai martabat itu.

Selepas ia berusaha untuk melangkaui segala ‘madarij’ (anak tangga) dan ‘maqamat’ (stesen-stesen) perhambaan di atas.

Hanya kerana perhambaan akan membawanya kepada satu titik noktah yang mutlak :

“Hamba yang tidak pernah rasa redha dengan dirinya pada apa jua keadaan, yang sentiasa ingin meredhakan Tuhannya.”

Mungkin dengan ini kita dapati kefahaman baru, apabila Nabi SAW sendiri menjawab kepada Ummul Mukminin Aisyah RA apabila ditanya mengenai mengapa baginda SAW sangat tekun bertahajjud ;

“Tidakkah aku mahu menjadi hamba yang bersyukur ?”

Noktah.

Ustaz Ahmad Syamil Bin Mohd Esa
Exco HRD ISMA Mesir

Comments

comments

Comments are closed.