Mahasiswa Mesir Perlu Lebih Terbuka

1958334_675175169206807_469375766_n

Kalau dilihat keadaan kita sekarang. Adakah kita selesa dengan keadaan sebegini? Di mana salahnya keadaan sekarang? Hidup hanya untuk diri sendiri. Hak – hak ukhuwah jauh sekali untuk dilaksanakan. Sedangkan Allah SWT berfirman dalam kitab AgungNya :

نَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬
“Sesungguhnya mukmin itu bersaudara”

Hakikat, setiap manusia yang mengucap kalimah tauhid dan beriman dengannya adalah bersaudara. Persaudaraan itu bukan sekadar sepersatuan, senegara ataupun sekelompok. Tetapi lebih daripada itu. Banyak hak-hak ukhuwah yang perlu dipelihara. Selemah-lemah ukhuwah adalah berlapang dada, kita harus bersifat lebih terbuka dengan perbezaan pendapat yang berlaku. Saling nasihat menasihati, bahu membahu, bukan jatuh-menjatuhkan.

Mahasiswa kini makin hilang perasaan bersaudara. Lagi sedih apabila sebilangan daripada kita lebih cakna akan penindasan yang berlaku di negara-negara Islam lain seperti Mesir, Syria, Afrika Tengah dan Palestin, tetapi sesama kita sendiri tidak bertegur sapa, tidak memenuhi jemputan hanya kerana berselisih pendapat.

Sebagai Mahasiswa Mesir, seharusnya kita mampu bersepakat. Tambahan pula, kita berada di bumi para nabi dan sahabat. Bagaimana Amru Al-Asr mampu menjadikan Mesir sebuah negara yang gah dengan Islam. Tidak mustahil untuk kita mengambil sebanyak mungkin pengajaran daripada beliau untuk bersama-sama menggegarkan Malaysia dengan kepulangan kita nanti. Ketahuilah bahawa kita benteng terakhir umat Islam.

Mungkin sebilangan orang akan mengatakan bahawa ini hanyalah hiperbola semata-mata, bahkan inilah realiti. Nasib umat kini terletak pada tangan-tangan kita yang faham dan menyedari bahawa serangan demi serangan bertubi-tubi di hantar oleh musuh Islam khususnya di tanah air tercinta Malaysia.

Kita harus menyedari bahawa kita sudah tiada masa untuk menghadap komputer riba berjam-jam menonton drama, ber’gossip’ di laman muka buku dan banyak lagi perkara yang tidak membawa kepada kebangkitan Islam. Seharusnya kita memiliki dan menyusun agenda pada setiap hari agar masa dua puluh empat jam itu tidak terbuang begitu sahaja. Sungguh, kita lah anak singa yang kian dewasa, yang pasti bangkit dan membaham apa sahaja yang menggugat dan mengancam keamanan Islam. Kita singa-singa umat yang sentiasa siap siaga berangkat, menongkah arus thaghut agar agama Islam kembali berdaulat. Ambil sifat keberanian Si Raja Rimba bukan sifat penakut Sang Pelanduk, agar gentar dan gerun musuh di hadapan.

Segala ilmu yang telah kita timba di ardul kinanah ini, sumbangkanlah untuk umat, tidak hanya untuk diri sendiri. Sebarkanlah ilmu itu, mungkin juga dengan perbuatan dan akhlak seharian sebagai muslim ataupun dengan nasihat dan menyeru kepada kebaikan kan mencegah kemungkaran.

Akhir sekali, pegang tanggungjawab ini, genggam aqidah ini, berkorban untuk agama ini dan lihat realiti kini. Tanyakan pada diri kita, adakah aku sudah menyumbang sesuatu untuk umat? Adakah aku telah berusaha merancang sesuatu mengikut kemampuan diriku untuk melihat bumi ini kembali dipenuhi dengan kebaikan dan kesejahteraan Islam? Tepuk dada tanya iman. Bersama membangun mahasiswa beragenda. Kitalah pemimpin masa akan datang.

Oleh : Fathiah Solehah bt Ismail
Markaz Bahasa, Kaherah

Comments

comments

admin