Muslimah Harus Sepakat Tolak Feminisme

1960116_852896231403757_1304390397_n

Kaherah, 16 Mac- “Feminisme yang wujud pada hari ini adalah daripada rangkaian satu dunia dan bukan bersifat lokal. Bermula dari tahun 1800 sehingga ke hari ini, golongan feminisme ini berjaya menjadi kumpulan yang megah dan mempunyai networking di seluruh dunia.”

“Kerana itulah kita dapat lihat strategi orang kafir untuk menjatuhkan umat Islam adalah dengan cara membuat satu rangkaian besar di seluruh dunia. Kini, dengan hilangnya kesepakatan antara umat Islam, kita belum mencapai ke arah itu lagi.” Begitulah ucapan Ustazah Norakhilah Baharin, Ketua Wanita ISMA Seri Iskandar dalam Hari Wanita Islam (HARWANIS 3.0) 2014 kelmarin.

Dalam slot beliau yang bertajuk ‘Tinjauan Feminisme di Malaysia’, beliau mengupas tentang sejarah pertubuhan dan gerakan feminisme di dunia yang akhirnya dibawa ke Malaysia secara terancang. Pembentangan ini menunjukkan kesungguhan Wanita ISMA dalam menyedarkan masyarakat khususnya muslimah dalam meningkatkan kualiti diri untuk memerangi pihak yang yang memperjuangkan fahaman feminisme yang salah.

HARWANIS 3.0 kali ini juga menampilkan forum yang bertajuk ‘Lensa Wanita antara Acuan Barat Vs Islam’ yang disertai oleh tiga panelis iaitu Ustazah Norakhilah Baharin, Puan Amie Sofia Ahmad dan Ustazah Khairah Abdul Halim, Ketua Wanita ISMA Mesir. Forum ini membincangkan tentang peranan dan realiti wanita sebagai muslimah zaman kini dalam mendepani arus globalisasi serta perang ideologi.

Menurut pengarah program, saudari Noor Hazwani Mohamed, beliau meletakkan harapan yang tinggi agar para mahasiswi di Mesir mendapat manfaat besar yang cuba disampaikan dalam HARWANIS 3.0. “Seiring dengan itu, saya mengharapkan agar perkembangan mahasiswi menjadi lebih teragenda dan teguh jati diri Islamnya,” kata beliau.

Pelbagai aktiviti yang menarik diadakan di dalam Harwanis 3.0 kali ini salah satunya ialah slot ‘1,2,3 … Action!’ yang dikendalikan oleh selebriti TV Al-Hijrah iaitu Puan Amie Sofia Ahmad. Slot ini menampilkan lakonan para mahasiswi mengenai realiti hidup seorang pelajar dan cara menghadapinya.

Selain itu, pertandingan ‘Bidadari Dunia’ berjaya membuka minda para hadirin dalam menjadi wanita yang beragenda dalam mengejar matlamat hidup. Pertandingan yang disertai oleh 7 orang mahasiswi ini dimenangi oleh saudari Julia Shazmira Jauhan, mahasiswi perubatan Universiti Ain Shams.

HARWANIS 3.0 anjuran Biro Wanita ISMA Mesir yang dihadiri oleh 216 orang mahasiswi telah dirasmikan oleh Puan Rawiyah Md Junoh, isteri kepada Menteri Penasihat Pendidikan Education Malaysian Egypt (EME) KBMK. Terdapat juga pelbagai persatuan lain yang dijemput khas ke HARWANIS 3.0 ini iaitu ABIM, HALUAN, Daulah Medik, Quran Medik, PEKEMAS (Singapura), Persatuan pelajar Thailand, dan IMAM(Ikatan Mahasiswa Melaka).

Comments

comments

Comments are closed.