Tidak Ada Life?

amanah2

 

Oleh : Amirah Ab Jalil, Graduan Perubatan, Universiti Kasr Al- Ainy, Kaherah.

Keputusan peperiksaan tahun akhir Kuliyah Perubatan Kasr Al-Ainy keluar empat jam sebelum majlis konvokesyen berlangsung. Unik? Keunikan sentiasa mengisi hari-hari saya di Mesir. Tamatlah zaman mahasiswi di perlembahan Nil. Kira-kira tujuh tahun lalu seorang teman bertanya,

“Hang nak ambil apa nanti?”

Jawab saya, “Medic”.

Spontan balasnya, “Tak ada life

Masa berjalan dan saya mula mendefiniskan apa itu life. Adakah life itu melepak, berlama-lama window shopping , keluar enjoy dengan kawan-kawan, melancong? Begitulah life yang dikatakan bakal ‘hilang’ daripada saya.

Saya tak pernah bersetuju dan kini saya katakan beliau silap.

Pertama, sistem universiti di Mesir berbeza dengan Malaysia dan sangat mungkin untuk aktiviti-aktiviti tadi dijalankan. Kedua, yang lebih penting, itu bukan definisi kehidupan bagi saya.

Kehidupan bagi saya

Saya mengimani sepotong firman Allah,

 

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ إِنِّى جَاعِلٌ۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةً۬‌ۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيہَا مَن يُفۡسِدُ فِيہَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ‌ۖ قَالَ إِنِّىٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya. (30)

Allah telah memilih manusia untuk memikul amanah yang ditolak gunung. Allah telah memilih manusia untuk memikul amanah ini sekalipun manusia ini sering menumpahkan darah seperti yang dinyatakan malaikat.

Maha Suci Allah daripada menjadikan sesuatu itu sia-sia. Pada saya, kehidupan kita sehebat apa pun akhirnya akan kembali pada tujuan yang satu kematian. Dikafankan, dikuburkan dan dihisab. Kewujudan atas muka bumi ini hanya untuk mengisi ruang antara dua masa ini dan mengakhirinya dengan seni kematian terindah.
Serahkan jiwa dan seluruh kehidupan untuk mengabdikan diri pada Allah. Dalam masa yang sama berjalanlah di muka bumi sebagai khalifah yang memikul amanah untuk mengajak manusia lain turut sama memberi penyerahan diri kepada Allah.

Jelas. Inilah dua tujuan penciptaan yang digariskan Pencipta.

Maka hitunglah kehidupan sedetik-sedetik. Apa yang kita isi antara dua masa itu dan apa yang kita siapkan untuk seni kematian kita? Masa, ke mana kita infaqkan? Tenaga, ke mana yang kita penat-penatkan? Seandainya setiap langkah, detik dan perbuatan kita tidak memenuhi dua tujuan ini, maka untuk apa lagi kehidupan ini?

Mahasiwa, sila galas amanah!

Kehidupan ini terlalu luas untuk disempitkan pada ukuran angka dan material.

Usia sebagai mahasiswa hanya sebahagian daripada perjalanan panjang kehidupan yang akan kita lalui. Jika hari ini saya berusia 25 tahun dan jika ditakdirkan Allah saya akan hidup hingga 60 tahun, saya ada 45 tahun lagi untuk dilalui dan diisi.

“Hidup untuk diri sendiri, mungkin merehatkan tetapi hidupnya sebagai orang kecil dan mati sebagai orang kecil”
Kata seorang pejuang Islam.

Manusia memaknakan hidup dengan cara yang berbeza. Saya ingini kongsikan tentang seorang gadis bernama Ayatul Akhras. Seorang syahidah berusia 18 tahun. Terpilih untuk melaksanakan operasi pengeboman berani mati pada 29 Mac 2002. Telah melangsungkan pertunangan sedang meniti saat-saat pernikahan. Beliau juga telah merancang nama bakal anak sulungnya. Mencitai syahid bukan escapism untuk bermalas-malas di dunia. Kata-katanya,

“dia selalu menasihati kami bahawa belajar harus tetap berjalan, meskipun rintangan dan bahaya mengancam di sekeliling kita”.

Tentang jihad, Ayat selalu berkata, “jihad itu kewajipan setiap Muslim termasuk wanita. Mengapa harus kita membiarkan nyawa kita diragut sia-sia oleh kebiadapan Zionis Israel?”.

“Kematian seorang mujahid, akan membangkitkan keberanian mujahid-mujahid lainnya, bukan sebaliknya.”

Usianya pucuk muda namun jiwanya masak ranum saat dipetik oleh Allah buat ummah merasai manis buahnya.

Sahabat, amanah di pundak kita terlalu besar untuk disia-siakan dengan bermalas-malas. Kita tidak akan mampu mengubah dunia ini jika gagal mengubah diri sendiri.

Berani untuk berbeza

Sayyidina Ali bin Abi Talib terpilih untuk menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW. Usamah bin Zaid terpilih untuk mengetuai angkatan perang memerangi Rom. Musab bin Umair duta ke Madinah. Ini contoh-contoh pemuda yang istimewa dalam masyarakat. Berbeza. Keberanian mereka menggalas amanah Ar-rasul SAW telah mengubah dunia.

Sebagai mahasiwa beranilah untuk berbeza. Tamayyuz. Setiap daripada kita ada kelebihan tersendiri. Kita tidak mungkin sempurna namun sentiasalah lontarkan matlamat dan kejar ia sepenuh tekad. Berbezalah dengan kecemerlangan akademik, berbezalah dengan aktivisme kemasyarakatan, berbezalah dengan mengesani manusia sekeliling. Berbezalah!

Jangan bimbang untuk berbeza. Kita tidak berhutang sesen pun dengan sesiapa untuk memacak menara impian. Juga, berani dan hormati diri dengan memperjuangkan apa yang kita imani. Sempadan kita hanya pada kata Allah dan Rasul.

Benar amanah daripada Allah ini berat dan kadang-kala menuntut air mata. Namun dengarlah ulasan seorang pejuang Islam tentang ayat,

إِنَّا سَنُلۡقِى عَلَيۡكَ قَوۡلاً۬ ثَقِيلاً

Sesungguhnya kami akan menurunkan kepadamu (Muhammad SAW) wahyu yang berat (kepada orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).

Al-quran pada dasarnya tidaklah berat untuk diingati namun berat pada nilai kebenaran dan kesannya pada hati.

 

لَوۡ أَنزَلۡنَا هَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ عَلَىٰ جَبَلٍ۬ لَّرَأَيۡتَهُ ۥ خَـٰشِعً۬ا مُّتَصَدِّعً۬ا مِّنۡ
خَشۡيَةِ ٱللَّهِ‌ۚ وَتِلۡكَ ٱلۡأَمۡثَـٰلُ نَضۡرِبُہَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ (٢١

Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya. (21)

Maka Allah menurunkannya pada hati yang lebih teguh daripada gunung untuk menerimanya. Apa lagi alasan kita?

Rasulullah SAW dan para sahabat telah menunaikan amanah ini. Kini giliran siapa?

Sumber:

https://www.facebook.com/l.php?u=http%3A%2F%2Fsolehin-bakri.blogspot.com%2F2009%2F03%2Fsiapa-sebenarnya-as-syahidah-aayaat.html%23&h=0AQGrk4Fh

Comments

comments

Comments are closed.