Putus asa bukan caranya

byzantium_and_ottoman_by_sezp-d3ldsp6 (1)

Tahukah anda ?
3 Mac 1924

Telah hilang sebuah khilafah umat Islam Khilafah terakhir Khilafah Uthmaniyyah. Umat Islam yang sedang sakit bertambah parah bila salah satu simbol kesatuan dan kekuatan mereka itu dibubarkan. Disangka selamat kerana masih ada pembela namun hampa, tiada.

Musuh mengambil kesempatan mengagih-agih harta rampasan. Wilayah yang satu dijadikan terpecah-pecah. Pemerintahan yang solid dicairkan dengan suntikan nasionalisme yang melampau dan demokrasi versi mereka. Umat Islam menahan dengan segala kekuatan namun apa kan daya apa yang ada tidak sekuat ketika zaman berkuasa.

Maka bergeraklah umat dengan idealism dan teori-teori kebangkitan yang baru supaya apa yang kekal dipertahankan, apa yang terlepas ingin dikembalikan, apa yang dijajah ingin dibebaskan. Bertatih mahupun berjalan atau berlari umat Islam di seluruh pelusuk dunia cuba sedaya upaya menghayati ruh perjuangan Islam yang hilang dahulunya pernah menawan muka bumi, yang pernah menggegarkan gergasi dunia, yang pernah melahirkan sebaik-baik generasi untuk umat manusia.

Setiap umat di semua negara Islam memiliki kekuatan tersendiri namun ada sedikit mahupun banyak namun tetap perlu diguna untuk mencapai matlamat yang lebih besar iaitu mengembalikan kuasa dan hak mereka. Mengembalikan maruah yang hilang, menjana kekuatan yang terpecah-pecah.

Kita tidak pernah diajar berputus asa, menyerah tanpa berusaha. Hanya berhajat tetapi masih tidak memahat. Lalu mengajak manusia lain untuk berputus asa dan duduk bersama-sama orang yang duduk.

Khilafah umpama kewajipan yang pada atasnya sebuah kewajipan lain. Ya bagaimana ingin menjaga kebajikan seluruh umat dan agamanya tanpa kita memiliki kuasa menakluk dan memelihara. Memiliki kuasa untuk berkata-kata juga menyerang bila diserang. Tanah ini (Tanah Melayu) pernah bernaung di bawah benderanya, pernah bersama berjuang bersamanya, sedih terhadap apa yang menimpa, gembira dengan kemenangan tenteranya.

Semoga umat Islam bangkit mengajar dunia erti kebahagiaan sebenar. Sudah berlalu zaman itu, zaman sedih dan penyesalan berlalu dengan seribu pengajaran akibat kelalaian dan kejahilan ia jatuh tanpa perlu dijatuhkan. Sudah berlalu masa berehat-rehat bergelak-ketawa yang tidak perlu. Mari kita bangkitkan generasi baru, bukan kosong angkanya, tetapi angka pencetak yang tak kenal erti penat lelah berjalan dalam suluhan hidayah bukan nafsu syahawah. Mencari kader baru barisan tentera, pendakwah Islam pejuang bangsa dan negara yang jujur.

Kita mula dengan semangat baru, usah sedih dengan peristiwa semalam kerana anda tahu masih ada peluang untuk hari esok.

Al-Aslami
Kuliah Ulum Islamiah
Universiti Al-Azhar Kaherah

 

Comments

comments

admin