Ketua Ulamak PAS Kembali ke Rahmatullah

 Ketua Ulamak PAS Kembali ke Rahmatullah

image

KUALA TERENGGANU, 25 Januari : Allahyarhamhu Tuan Guru Dato Haji Harun Bin Taib disahkan menghembus nafasnya yang terakhir pada jam 12 tengah malam waktu tempatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah dekat Kuala Terengganu. Upacara pengebumian pula dijangka akan berlangsung pada jam 10 pagi waktu tempatan di Markaz Tarbiyah Kubang Lembik, Manir, Kuala Terengganu hari ini.

TG Harun Taib yang dilantik sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS dalam muktamar November lalu merupakan tokoh yang amat sononim dengan perjuangan menegakkan syariat Islam di tanah air.

Antara jasa terbesar beliau termasuk penubuhan pra-sekolah PASTI, penubuhan Sekolah Rendah Islam Darul Ihsan dan Maahad Darul Quran Rusila. Beliau juga berperanan dalam menyusun semula manhaj tarbiyah PAS pada tahun 1982. Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai EXCO Kerajaan Terengganu merangkap Pengerusi Pendidikan, Pembangunan Dakwah Negeri Terengganu pada tahun 1999 hingga tahun 2004.

TG Harun Taib merupakan graduan daripada Universiti Madinah jurusan Usuluddin dan telah melanjutkan pendidikannya di peringkat Sarjana di Universiti Al-Azhar, Kaherah dalam bidang Siasah Syar’iyyah dengan memperoleh gred Mumtaz (cemerlang).

ISMA-Mesir merakamkan ucapan takziah kepada keluarga TG Harun Taib dan semua yang mengenali beliau atas pemergiannya ke rahmatullah. Semoga roh beliau disertakan bersama para mu’minin.

ISMA-Mesir juga menyeru kepada seruan yang lebih besar supaya kesemua ahli PAS dan mereka yang mengenali TG Harun Taib terutamanya di Mesir agar mencontohi nilai ketokohan beliau, ketelusan dalam menjalankan syariat Islam dan konsisten dalam meletakkan Islam di puncak tertinggi terutamanya di pentas kuasa dan pemerintahan daripada hanya menjadikan para ulamak sebagai piala dan pingat yang digilap sahaja.

Comments

comments

admin