‘Mereka’ sudah kurang hormat Islam dan bangsa majoriti

hasan-halimSaya berpandangan bahawa salah laku mengarahkan seorang guru muslimah membuka tudungnya dan mengancam guru tersebut sedangkan peristiwa ini berlaku di negara Malaysia yang agama persekutuannya agama Islam dan majoriti penduduk negara adalah muslim dan pemakaian tudung di negara ini adalah perbuatan yang langsung tidak asing, meminta maaf adalah SAMA SEKALI TIDAK MEMADAI.

Sampai bila kita hendak asyik berpuasa hati dengan hanya permintaan maaf? Saya menjangka kali ini saya bakal selamat daripada tuduhan rasis jika saya sedikit berlaku keras kerana kes ini melibatkan guru muslimah muallaf berbangsa Cina. Sememangnya saya bertegas terhadap saudari seagama saya.
Sampai bila kita umat Islam hendak berpada dengan HANYA permohonan maaf? Sama seperti kes simbah surau dengan cat yang dilakukan oleh remaja-remaja Cina mabuk di taman perumahan saya sendiri, Taman Pulai Impian, Seremban. Masih ingat? Itu kes berat bagi saya, macam mana kumpulan remaja Cina tersebut kerana pertelingkahan kecil dengan seorang pakcik Melayu di taman itu, malahan pertelingkahan berlaku di taman permainan yang bersebelahan dengan surau boleh membawa kepada tindakan menyimbah surau dengan cat minyak merah? Mereka juga memecahkan botol-botol kaca arak sehingga serpihan kaca berselerak di serambi surau. Bukankah pertingkahan berlaku di taman permainan di sebelah surau? Mengapa disimbahnya surau? Mengapa dipecahkan botol kaca arak juga yang juga sensitif di sisi umat Islam di dalam surau?
Isu itu berakhir apabila wakil parti DAP setempat meminta maaf dan menganjur majlis berbuka puasa dengan ahli kariah di halaman surau. Saya sekeluarga tak menghadiri majlis tersebut kerana tidak bersetuju, seakan kita umat Islam mudah dipermainkan. Hal ini kerana ia bukan kali pertama penghinaan terhadap Islam berlaku dan diselesaikan dengan meminta maaf. Ketika itu saya berpendirian bahawa maaf mereka kita terima, tapi penganjuran majlis berbuka puasa tersebut tidak diterima. Saya nampak keadaan ini umpama menjentik seorang budak sampai dia menangis, lalu kita berikannya sebiji gula-gula lolipop, lalu budak itu akan senyap.
Kini ia berlaku lagi. Penghinaan terhadap Islam dan muslimah di negara Islam sendiri. Permohonan maaf pesalah dan pentadbiran sekolah kita terima, tetapi tak bermaksud ia memadai, bahkan pihak yang bersalah, Pang Ah Ngang perlu DILUCUTKAN JAWATAN atas perbuatan yang keterlaluan. Ini bukan negara Singapura atau Thailand yang mana jika perkara sama berlaku setelah berulang kali minta maaf kita pun berpada. Ini Malaysia yang agama persekutuannya adalah Islam dan penduduk majoritinya adalah penganut Islam (sekali lagi). Perbuatan Pang Ah Ngang seakan-akan sengaja menunjukkan belangnya dan biadab terhadap budaya dan norma masyarakat yang pastinya mencetuskan kemarahan. Belum lagi kesalahan dinilai dari sudut perlembagaan.
Bayangkan seorang pekerja India yang memakai sari yang bekerja di Arab Saudi, dan seorang wanita Arab yang memakai abaya dan bekerja di Amerika Syarikat. Adakah pekerja India dan Arab itu akan diherdik? Tidak. Mereka tidak dipaksa membuka pakaian itu sebagai menghormati budaya dan adat pemakai. Oleh itu, tindakan Pang jelas melanggar budaya dan cara hidup orang Islam dan menentang status Islam sebagai agama persekutuan. Tidakkah Pang itu terlalu biadap orangnya? Minta maaf sahaja tidak mencukupi.
Seperti apa yang saya telah sebut di atas, jika perkara yang sama berlaku di negara yang kurang Islamnya seperti Singapura, Thailand dan Myanmar, meminta maaf barangkali memadai kerana Islam tidak dominan. Malangnya Malaysia adalah negara Islam. Jujurnya saya telah dengar ia banyak berlaku di negara jiran kita, Singapura tetapi saya tak pernah sangka akan berlaku di Malaysia. Saya kira itu adalah perbuatan yang biadab dan keterlaluan dan peringatan tegas terhadap pesalah laku perlu diambil. Semoga sampai pengajaran terhadap yang lain. Pihak yang memarahi dan mengancam guru muslimah berbangsa Cina muallaf itu perlu dilucutkan jawatan. Sebenarnya, saya mengira-ngira minta maaf ini tepat penggunaannya atas perkara yang tidak sengaja atau silap jahil yang diterima akal. Salah laku Ah Pang Ngang tidak dapat diterima akal, maka meminta maaf tidak setimpal dengan keslaahan yang dilakukan.
Apabila sesetengah orang menganggap ini desakan yang ekstrim, saya kira ia bukan ekstrim yang tidak berasas. Bahkan istilah tepatnya adalah tegas. Tidak ada beza seperti memberi pelajaran terhadap anak-anak. Tegas dan sedikit rotan itu mengajarnya dan mengajar adik-beradiknya yang lain supaya jangan biar berulang.
Berdasarkan insiden surau disimbah cat dan dicemari botol arak, juga insiden yang terbaru ini, saya menyimpulkan bahawa mereka sudah kurang hormat dan kurang adab terhadap Islam, bangsa dan penganut majoriti negara ini. Bukan sahaja tidak hormat malah berulang kali menguji sensitiviti keagamaan penduduk majoriti di sini seterusnya pegangan kedaulatan negara ini sendiri. Maka mereka perlu diberi peringatan. Adakah maaf memadai? Tidak sama sekali. Ia seperti anak kamu 12 tahun balik lewat tengah malam untuk kali kesepuluhnya, kemudian kamu tegur untuk kali kesepuluhnya, dia minta maaf untuk kali kesepuluh, dan ia selesai. Kamu masuk tidur sambil bersangka dia takkan buat lagi esok. Tiada denda tiada hukuman. Adakah adiknya yang memerhati untuk kali kesepuluh itu tidak akan berani ikut jejak perbuatan abangnya? Non-muslim patut bersyukur sebagai bangsa dan penganut agama minoriti mereka masih mengecapi nikmat rahmat atau kasih sayang Islam. Mereka tidak diperlakukan seperti penganut agama minoriti di selatan Thailand, atau seperti penganut agama Islam yang minoriti di negara-negara Afrika yang dibunuh saban hari, atau seperti di Iran, penganut Sunni minoriti yang berbaki 10% terus diancam pupus. Dibunuh hari-hari.
Sabda Nabi S.A.W.
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ، وَتَرَاحُمِهِمْ، وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
“Perumpamaan orang-orang mukmin itu dalam persaudaraan mereka, dan kasih sayang sesama mereka, dan belas sesama mereka seperti satu tubuh badan. Jika mengadu satu bahagian tubuh kesakitan akan tertanggung oleh bahagian-bahagian yang lain dengan berjaga malam dan ketidak-rehatan” [Bukhari : 2586]
Saya sebagai saudara seagama guru yang dimaki kerana mengamalkan agamanya juga agama saya, maaf diterima, tetapi itu TIDAK memadai. Saya menyokong penuh desakan ISMA Johor agar Ah Pang Ngang dilucutkan jawatannya. Kami bukan budak hingusan kamu jentik telinga kemudiannya minta maaf, esok buat lagi. Pada tempatnya, kita perlu bersikap sebagaimana sikap Nabi S.A.W terhadap penyair musyrikin Quraisy (penyair ditugaskan untuk menaikkan semangat tentera untuk berjuang dengan bait-bait syairnya) yang ditangkap semasa perang Badar. Dia meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perkara yang sama. Tetapi semasa perang seterusnya dia ditangkap sekali lagi oleh muslimin. Dia meminta maaf tetapi Nabi S.A.W membalas, “Aku tak akan biarkan engkau pulang ke kaummu dan menyebut – aku dapat menipu Muhammad untuk kali kedua.” Nabi mengarahkan sahabat membunuhnya.
Dalam pada itu, umat Islam juga perlu sedar, ini tidak akan berlaku jika bukan hormat mereka terhadap agama Islam dan penganutnya sudah hilang atas perbuatan kita sendiri. Janganlah terus lalai dan bermain kebudak-budakan sehingga satu hari nanti minta maaf pun mereka takkan beri. Ia tidak mustahil. Contohilah teladan Khalifah Al-Mu’tasim yang menjaga dan meningkat izzah Islam di mata dunia.
Meminta maaf sahaja sama sekali TIDAK memadai. Dia perlu dikenakan tindakan tegas. Dia perlu dilucutkan jawatannya.
Muhammad Hasan bin Abdul Halim
Pelajar Kuliah Syariah Islamiah, Tahun 1,
Universiti Al-Azhar As-Syarif.
Cairo, Mesir.

Comments

comments

Comments are closed.