Temu ramah isu keselamatan mahasiswa – Ustaz Syed Ahmad Israa

Sebuah pertemuan khas TYT Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir dan taklimat keselamatan kepada pelajar Malaysia di Mesir telah diadakan pada 26 Disember 2013, bertempat  di Al-Azhar Conference Centre (ACC). Pertemuan ini menghimpunkan mahasiswa/i  Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pelajaran, persatuan atau perwakilan dari seluruh kawasan di Mesir termasuklah Kaherah, Alexandria, Mansurah dan Zagazig.

Sebahagian pimpinan dan ahli ISMA-Mesir turut menghadirkan diri untuk mengikuti garis panduan dan saranan pihak kedutaan dalam mendepani konflik di Mesir kini khususnya.

Ikuti temu ramah wartawan ISMA-Mesir bersama Timbalan Pengerusi ISMA-Mesir, Ustaz Syed Ahmad Israa’ Bin Syed Ibrahim mengenai pandangan peribadi beliau selaku pimpinan salah sebuah persatuan mahasiswa di Mesir mengenai hal ehwal keselamatan mahasiswa di Mesir kini.

 

 1518716_10201223497364892_169235399_o

 

Wartawan : Selaku pimpinan persatuan mahasiswa, apakah pandangan Ustaz Syed berkenaan isu keselamatan mahasiswa di Mesir kini.

Ustaz Syed Israa’ : Berkaitan dengan isu keselamatan di Mesir, khususnya kepada mahasiswa dan mahasiswi ; memang sepertimana  yang dijangkakan lebih-lebih lagi dalam tempoh sebulan dua bulan ini, keadaan akan menjadi lebih kritikal sedikit.

Ianya memang dapat dijangka berikutan berlakunya beberapa peristiwa dan tarikh-tarikh penting yang boleh menjadi sebab tercetusnya pergolakan.

Justeru, situasi keselamatan akan jadi lebih meruncing dan ianya satu fakta yang perlu diterima oleh mahasiswa di Mesir. Kebetulan juga  keadaan yang berlaku kini bertembung dengan tempoh mahasiwa depani  peperiksaan. Maka kita perlu bersama mengurus  keadaan dengan sebaiknya.

 

S : Apakah antara langkah keselamatan yang boleh dicadangkan buat mahasiswa.

J : Selain daripada apa yang digariskan oleh pihak Educatiaon Malaysian Egypt (EME) atau kedutaan sendiri, pada saya, perkara paling penting  di dalam tempoh yang kian meruncing ni adalah kita perlu bersikap ‘alert’ dan punyai ‘mind set’ yang sentiasa bersedia.

Dalam hal ini, saya setuju dgn pandangan Tuan ACP Ishaq. Di mana beliau menyatakan bahawa kita perlu “think for the worst”, supaya diri kita sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Masalah yang berlaku kepada sesetengah mahasiswa adalah sering kali mengambil kira sesuatu perkara  itu tidak seteruk dengan realiti yang sedang terjadi.

Jadi, bilamana kerangka fikir kita adalah “think for the worst” dan kita sesuaikan minda dan diri supaya sentiasa alert atau bersedia, kita akan sedar dan cepat peka dengan keadaan sekeliling ; maknanya bila keadaan menuntut kita lari, kita lari. Bila perlu selamatkan diri, kita segera selamatkan diri.

Kita bukan dalam keadaan biasa.

Itulah yang perlu diubah.  Jikalau kita ubah perkara tersebut, banyak perkara dapat diselesaikan secara tidak lansung. Pelbagai langkah keselamatan akan jadi lebih mudah.  Di samping kita boleh elak dan kurangkan risiko dari tertimpanya sebarang masalah kepada kita.

 

S : Keadaan yang turut menjadi dilema sebahagian mahasiswa adalah antara peperiksaan yang dijadualkan dan berlakunya pergolakan dalam pada masa yang sama ; Apakah pilihan atau tindakan yang disarankan ?

J : Saya kira, situasi yang sedang kita depani ini sama seperti mana situasi ketika kita dievakuasi ke Malaysia ; iaitu kita ada risiko terbatal atau tidak menduduki peperiksaan, tertinggal kelas dan sebagainya.

Tetapi walau apa pun, safety first – Nyawa dan keselamatan kita jauh lebih utama.

Jadi, jikalau situasi ini berlaku ; di mana kita sedang duduki peperiksaan dan terjadi masalah keselamatan, bagi saya paling utama sekali keselamatan anda terlebih dahulu. Kalau boleh balik, segera balik. Keselamatan diri, itu yang pertama.

Langkah kedua, mesti segera membuat laporan atau pemakluman.  Sebab apabila tindakan ini diabaikan, orang sekeliling sukar menyampaikan bantuan. Justeru, maklumkanlah kepada pihak yang berautoriti. Bukan dengan kita memaklumkan pada media massa Malaysia atau laman FB dahulu.

Pada saya, dalam ehwal ini yang berautoriti adalah pegawai-pegawai kedutaan. Jadi, simpan nombor-nombor  pihak pegawai kedutaan yang sepatutnya. Atau, maklumkan laporan kepada orang yang boleh sampaikan perkara itu kepada pihak kedutaan.

Katakanlah situasi seumpama ini membuatkan kita terpaksa  meninggalkan peperiksaan, perkara ini akan kita  suarakan kepada pihak kedutaan untuk menekan pihak administrasi al-Azhar. Seperti mana yang pernah dilakukan kedutaan sebelum ini. Iaitu dengan meminda tarikh atau membuat peperiksaan ulangan semula.

Saya tekankan sekali lagi, safety first. Masalah lain, kita boleh tangani bersama.

 

S : Sedikit pesanan yang boleh Ustaz Syed kongsikan bersama mahasiswa/i  bersempena peperiksaan kali ini.

J : Dalam tempoh seumpama ini, kita perlu kembali koreksi dan lihat semula sebab atau matlamat utama kita datang dan memilih Mesir meskipun keadaannya seperti ini. Saya yakin, kita semua berkongsi sebab dan matlamat yang sama, iaitu untuk meneruskan pembelajaran dan perjuangan ilmu kita walaupun pelbagai tribulasi menjengah dan keadaan luar jangkauan mendatang.

Tetapi kita cuba sedaya upaya pastikan, setidak-tidaknya  matlamat utama keberadaan kita di Mesir ini, dijaga meskipun pembelajaran atau peperiksaan terganggu. Kita tetap belajar.

Sebab akhirnya, kalau kata kita belajar tanpa perolehi sebarang sijil, kita belajar dan tetap perolehi ilmu.

Saya dapati, ada sesetengah mahasiswa tahun satu yang bukan sahaja depani masalah keselamatan, tetapi mereka depani masalah teknikal ataupun pengurusan seperti nama tidak naik, nama masih tidak dapat nombor giliran untuk menduduki peperiksaan dan sebagainya.

Namun, saya berpesan perkara yang sama juga kepada mereka ; kita tetap belajar.

Kalau belajar tetapi tak dapat sijil, kita belajarlah sebab nak dapat ilmu. Sementara masih ada masa dan kesempatan di sini, manfaatkan ruang waktu yang ada dan cuba untuk tidak menganggu-gugat  matlamat utama keberadaan kita datang ke sini tanpa mengabaikan keselamatan.

Comments

comments

admin