Duta, Pegawai EME dan wakil PDRM cakna keselamatan pelajar Malaysia di Mesir

 

IMG_1711

 

Kaherah, 26 DIS- Sebuah pertemuan khas TYT Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir dan taklimat keselamatan kepada pelajar Malaysia di Mesir telah diadakan bermula jam 2.00 petang di Al-Azhar Conference Centre. Pertemuan ini dihadiri oleh para pelajar Malaysia dari seluruh kawasan di Mesir termasuklah Kaherah, Alexandria, Mansurah dan Zagazig.

Program yang dianjurkan pihak Kedutaan Malaysia Mesir ini bertujuan untuk memberikan taklimat keselamatan kepada para pelajar serta menyatakan komitmen pihak Education Malaysia Egypt (EME) terhadap keselamatan para pelajar. Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari Pengarah EME yang baru, Prof Madya Dr. Mohd. Radhi bin Ibrahim.

“Terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa samada dari pihak kedutaan dan rumah negeri yang begitu komited untuk menjayakan program ini. Harapan saya juga agar kerjasama yang seperti ini turut berlaku dalam kalangan pelajar. Persatuan kita disini banyak dan usaha kerjasama wajar dipertingkatkan lagi kerana tahap kerjasama antara persatuan-persatuan masih lagi di peringkat yang belum memuaskan. Saya harap persatuan-persatuan yang ada cuba untuk menerima perbezaan. Itu adalah antara yang saya nak bawa pada kali ini”

Prof Madya Dr. Mohd. Radhi juga menekankan bahawa berpersatuan sangat membantu untuk meningkatkan bakat kepimpinan individu namun besar juga harapan beliau untuk melihat kerjasama yang baik antara persatuan yang ada di Mesir terealisasi.

Kemudian, program diteruskan dengan taklimat keselamatan oleh ACP Ishak bin Mohd Jani, Counselor Kedutaan Besar Malaysia. Berikutan politik Mesir yang tidak stabil, ACP Ishak menyarankan agar pelajar bersikap berkecuali dan tidak menzahirkan sokongan ke arah mana-mana pihak bagi memastikan tahap keselamatan semua pelajar Malaysia berada di tahap paling tinggi.

Beberapa panduan berkenaan keselamatan diberikan. Antaranya;

1)      Sentiasa mengakses maklumat terbaru dari pihak EME di Facebook atau menghubungi pihak EME secara terus

2)      Jauhi kawasan panas ketika hari-hari penting Mesir (seperti Medan Tahrir, Medan Rabaah di Madinat Nasr, Medan Nahdhah dan Medan Mustafa Mahmoud di Mohandisin)

3)      Menjauhi dan tidak menyertai sebarang demonstrasi yang dianjurkan oleh mana-mana pihak

4)      Hubungi pihak universiti mengenai kaedah keselamatan jika berlaku perkara yang tidak diingini

5)      Mengambil dasar berkecuali dan non-interference

6)      Buat laporan jenayah kepada pihak EME jika ada

7)      Kurangkan peluang berlakunya jenayah. Elakkan berjalan seorang diri.

8)      Pastikan rumah yang disewa mempunyai ciri-ciri keselamatan

9)      Tidak membuat lawatan ke Sinai dalam tempoh masa sekarang

10)  Elakkan membawa, menyiarkan atau menyimpan bahan yang berbaur haraki sama ada pada individu atau dalam media elektronik

Program diakhiri dengan amanat dari TYT Dato Ku Jaafar ku Shaari, Duta Besar Malaysia ke Mesir yang mengingatkan kembali para pelajar akan tujuan mereka datang ke Mesir.

“Apabila kita sudah pilih Mesir sebaga tempat belajar, maka kita harus berdepan dengan cabaran-cabaran di Mesir ini”

Program ini tamat pada jam 4 petang.

Comments

comments

Comments are closed.