Mahasiswi Madinat Nasr terbuka dalam beraktivisme

MADINAT NASR, KAHERAH, 13 NOVEMBER –Mahasiswi ISMA-Mesir telah menyahut pelawaan mahasiswi Singapura semalam, di dalam sebuah perlawanan persahabatan bola jaring.

Perlawanan persahabatan ini diadakan sebagai ruang merapatkan ikatan silaturrahim disamping membudayakan aktiviti bersukan meskipun di dalam musim peperiksaan.

“Sejarah nabawiyah membuktikan para serikandi memainkan peranan penting di sebalik tabir sekaligus menjadi tulang belakang di jalan dakwah ini. Namun, serikandi bukan sahaja berperanan di dalam rumah malah di luar rumah juga. Hakikat ini bukan lah satu saranan untuk wanita giat berada di luar tetapi mempunyai jiwa dan impian yang besar di atas jalan ini.”, komentar salah seorang wakil pemain ISMA-Mesir, saudari Fathiah Solehah Ismail.

Menurut Ketua Cawangan (siswi) Madinat Nasr pula, saudari Maryam Syakirah Zulfakar, beliau menggalakan keterbukaan mahasiswa dan mahasiswi di Mesir di dalam beraktivisme tanpa mengira latar persatuan selagi mana aktiviti yang dianjurkan mengikut lunas agama.

Perlawanan yang berlansung di Nadi Syabab bermula seawal jam 9 hingga 11 pagi. ISMA-Mesir cawangan Madinat Nasr menghantar wakil seramai 12 peserta untuk mewakili perlawanan persahabatan yang diadakan.

Tiada sebarang pengiraan gol dikira kerana perlawanan hanyalah sekadar untuk merapatkan ukhuwah antara dua buah Negara.

Comments

comments

admin