COMANGO : Natijah pertembungan antara Islam dan Falsafah Barat

 COMANGO : Natijah pertembungan antara Islam dan Falsafah Barat

comango (2)

 

Bagi mereka yang membaca sejarah tamadun barat, istilah mahkamah ‘Inquisition’ bukanlah perkara yang asing. Mahkamah ini bernaung di bawah Gereja Roman Katolik yang diberi mandat untuk menyeksa dan membunuh sesiapa sahaja yang mempunyai pandangan yang berbeza dengan pihak gereja. Mereka yang disyaki pula boleh ditangkap dan disoal siasat.

 

Dengan wujudnya mahkamah ini, saintis dan pemikir menjadi takut untuk mengkehadapankan teori-teori mereka dan ilmu mereka tidak sampai kepada masyarakat. Akhirnya masyarakat menjadi jahil dan jumud, dan kerana itulah fasa ini digelar Zaman Gelap ataupun ‘The Dark Ages’

 

Pertembungan tentera-tentera Kristian dengan muslimin dalam siri Perang Salib dan melalui pembelajaran mereka sebagai mahasiswa di Andalus menghasilkan satu anjakan paradigma yang baru. Kemajuan teknologi dan ilmu yang ada pada Tamadun Islam sangat mengujakan pemikir Barat. Dengan cepat, ia merebak umpama perang saraf yang mempengaruhi orang Eropah untuk berfikir dan mencabar norma-norma tradisional yang akhirnya menghasilkan ‘The Age of Enlightment’ dan ‘Renaissanse’.

 

Malangnya masyarakat Kristian hanya menciplak metodology ilmu sahaja daripada Islam dan tidak  mengambil unsur rohani sekali iaitu dengan menganut agama Islam itu sendiri. Hasilnya masyarakat ini mengalamai proses transformasi yang ekstrem atau berubah 180 darjah. Daripada masyarakat yang ukhrawi kepada masyarakat duniawi, daripada mengagungkan metafizik semata kepada fizik semata, dari ‘serve god’, kepada ‘serve’ diri sendiri.

 

Setelah merasai nikmatnya tahap kemajuan ilmu dan teknologi yang moden, orang Barat mula berasa curiga serta mempersoalkan, mengapakah mereka begitu mundur sebelum ini? Tidak lama masa yang diperlukan sebelum semua orang menuding jari ke arah gereja serta mahkamah ‘Inquisition’nya yang begitu kejam.

 

Di sinilah lahirnya persepsi ‘agama membawa kemunduran’ yang dianuti masyarakat Barat sehingga sekarang. Tetapi masalahnya istilah ‘agama’ di sini bukan sahaja bermaksud agama Kristian, malah terpalit pada semua agama yang ada di dunia ini termasuklah Islam. Sedangkan sepanjang ratusan tahun sejarah Islam, tidak pernah berlaku pertembungan antara agama dan ilmu. Cendikiawan muslim pula hampir kesemuanya bertaraf ustaz dan masyaikh.

 

Di sini juga lahirnya pemikiran sekular dangan slogannya ‘serahkan urusan raja kepada raja, dan urusan Tuhan kepada Tuhan’, yang mengasingkan antara agama dan institusi negara. Ini membolehkan saintis terus bergerak maju tanpa campur tangan dan kongkongan gereja.

 

Usaha-usaha untuk meminggirkan agama dan gereja terus berlaku dan kemuncaknya adalah pada tahun 1859 ketika Charles Darwin menjual bukunya, “On the Origin of Species” kepada umum. Teori evolusi ini secara tidak langsung mengisytiharkan kepada seluruh dunia bahawa manusia bukan dicipta oleh Tuhan, dan manusia tidak perlu kepada Tuhan sekaligus bermakna, Tuhan tiada sebab untuk wujud.

 

Teori Darwin yang bebas dari sebarang agama, serta mendakwa manusia berasal dari haiwan inilah yang membentuk serta mengilhamkan ratusan ahli falsafah Barat seperti Emile Durkheim, Sigmund Freud dan Karl Marx. Lalu, teori-teori yang mereka ciptalah yang membentuk bidang ilmu sosiology mazhab Barat hingga ke hari ini.

 

Perbezaan yang tiada titik temu

 

Ada dua kesalahan besar ilmu sosiology mazhab Barat yang bertentangan dengan sosiology Islam. Yang pertama adalah jika manusia berasal dari haiwan, maka manusia sifatnya memang dicipta untuk bersaing dan berkelahi ( naluri survival ) serta mengeyangkan hawa nafsu. Sedangkan dalam Islam, manusia dicipta mempunyai kedua-dua tarikan baik dan buruk. Firman Allah s.w.t dalam Surah Asy-Syams ayat 8 hingga 10 : “ Lalu Kami mengilhamkan kepada mereka jalan kebaikan dan keburukan. Maka beruntunglah mereka yang membersihkan diri mereka. Dan rugilah mereka yang mengotorkannya.”

 

Kesalahan kedua apabila mereka mengisytiharkan keghaiban kuasa Tuhan dalam penciptaan manusia, sekaligus menafikan kewujudanNya, ini menyebabkan mereka kehilangan tempat sandaran, penentu dan pembuat kata putus. Sesuatu yang baik boleh dianggap buruk bergantung pada ‘pendapat masing-masing’. Oleh itu, mereka terpaksa bergantung kepada pendapat mejoriti untuk menilai sesuatu perkara. Dalam Islam, baik adalah apa yang syarak tentukan ianya baik, begitu juga sebaliknya. Allah s.w.t adalah penentu segalanya.

 

Falsafah Barat akan menang?

 

Tuntutan COMANGO seperti menuntut hak SOGI, yakni kebebasan seksual dan menukar jantina, kebebasan beragama, serta menghapuskan enakmen di Mahkamah Syariah sememangnya bertepatan dengan dua ciri falsafah Barat tadi. Mereka akan berjuang supaya nafsu haiwani dapat dipenuhi dan mereka hilang pertimbangan antara yang betul dan salah.

 

Apa yang ummat Islam boleh lakukan? Sememangnya selagi mana hemogeni Barat memimpin dunia melalui kepimpinan Amerika dan PBB, selagi itulah pendapat mereka akan dipaksakan terhadap kita dan pandangan lain dianggap salah. Begitulah juga nasibnya dengan disiplin ilmu yang lain. Apa yang dicipta Barat itulah yang betul dan menafikan pandangan yang bukan datang dari mereka.

 

Dalam masa 10-20 akan datang, kita akan dapat lihat Barat akan menukar persepsi ummat Islam terhadap LBGT. Jika tidak melalui undang-undang antarabangsa pun, mereka punyai media massa yang bakal mencorak minda cucu cicit kita. Sebenarnya tiada jalan lain selain ummat Islam mengusai kepimpinan dunia dan mencorak minda manusia dengan neraca Islam yang sohih.

 

Assiddiq Fauzan

Ketua Cawangan Mansurah ISMA Mesir

Kuliah Usuluddin Akidah Falsafah Tahun 4, Universiti Al-Azhar Kaherah

 

Comments

comments

admin