Isu Pengusiran: Respon ISMA Mesir Terhadap Kenyataan Rasmi BKPPPM dan PMRAM

panas penang respon2

Kami membaca dan meneliti kenyataan rasmi PMRAM dan YDP BKPPPM berhubung isu saudara Muhamad Rusydan b. Muhamad Yusup yang diusir dari rumah Pulau Pinang.

Berikut adalah respon ISMA Mesir:

1. Tujuan asal ISMA Mesir membuka mata mahasiswa Mesir terhadap isu ini hanya dua; pembelaan hak saudara Rusydan, dan kritikan terhadap kejumudan serta kepincangan pihak yang terbabit dalam menggalas amanah kepimpinan mahasiswa.

2. Polemik hanya muncul selepas pelbagai respon balas dikeluarkan pihak terbabit. Tuntutan ISMA Mesir dalam isu ini amat mudah difahami dan dilaksanakan. Malangnya tuntutan yang mudah ini tidak diambil berat, malahan isu ini dipanjangkan-panjangkan sehingga lari daripada premis asalnya. Oleh yang demikian adalah suatu tindakan yang dangkal untuk mengatakan ISMA Mesir sengaja mencipta polemik di dalam isu ini.

3. Begitu juga didapati terdapat pelbagai lagi noktah-noktah yang ditambah oleh pihak yang terbabit, yang mempamerkan kegopohan mereka di dalam mendakwa. Justeru ISMA Mesir ingin menegaskan bahawa sebarang dakwaan terhadap ISMA secara umum dan ISMA Mesir secara khusus seperti yang dizahirkan di dalam surat pengusiran dan kenyataan-kenyataan susulan daripada pihak yang terbabit adalah sama sekali tidak relevan dan merupakan suatu fitnah. ISMA Mesir mengingatkan pihak yang terbabit dengan amaran Allah dan Rasul-Nya kepada mereka yang berani mencipta fitnah dan mencemar maruah insan.

ISMA Mesir tidak berhasrat dan tidak berminat memanjangkan isu ini. ISMA Mesir hanya ingin bertegas dalam memastikan hak asasi seorang mahasiswa yang belajar di Mesir ini, diraikan dan dihormati sepenuhnya. Kediktatoran dan kejumudan adalah elemen yang sudah terlalu lapuk dan tiada lagi memiliki tempat di kalangan mahasiswa Mesir yang menjadi tonggak dan harapan bangsa.

Oleh yang demikian:

1. ISMA Mesir tetap bertegas meminta pihak yang terbabit melaksanakan tiga tuntutan mudah yang diminta ke atas mereka. Jika mereka benar-benar ikhlas dan jujur kepada seluruh mahasiswa di Mesir, tuntutan ini harus mereka laksanakan. Tidak ada sebab untuk mereka menafikan keadilan yang selayaknya dinikmati oleh mana-mana manusia.

2. Jika mereka melaksanakan tuntutan ini, ISMA Mesir menyampaikan setinggi-tinggi rasa penghormatan ke atas mereka di atas keberanian mereka melakukan anjakan paradigma dan melakukan Islah ke atas diri mereka sendiri.

3. Jika pihak yang terbabit tetap berkeras untuk tidak melaksanakan tuntutan yang diminta, ISMA Mesir bersedia membuka seluas-luasnya ruang perbincangan demi memelihara hak orang yang dizalimi dalam isu ini. Firman Allah s.w.t:
“… janganlah kerana kebencian kamu kepada satu-satu kaum menyebabkan kamu berlaku tidak adil, berbuatlah adil kerana sesungguhnya sikap itu lebih dekat dengan taqwa…” (Al-Maaidah:8)

ISMA Mesir mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang cakna dan bersama mendokong usaha mempertahankan hak asasi seorang mahasiswa di bumi Mesir ini. Mahasiswa di Mesir amat memerlukan sebuah anjakan paradigma, dan anda telah bersama-sama dengan ISMA Mesir di dalam usaha yang penting ini. Semoga Allah memberkati kita semua.

ISMA Mesir juga ingin menyeru kepada seluruh mahasiswa di seluruh Mesir bahawa sesungguhnya masa depan agama dan negara terletak di bahu anda. Agama dan negara ini tidak memerlukan mereka yang masih tidak bersedia menyahut seruan perpaduan, keterbukaan, dan kebersamaan di dalam beramal. Marilah kita bersama-sama menterjemahkan hakikat ini ke dunia nyata, demi masa depan Malaysia yang lebih bermakna.

Comments

comments

Comments are closed.