Apa Yang Mahasiswa Mesir Perlu Ubah

 Apa Yang Mahasiswa Mesir Perlu Ubah

379242_10151752423447846_1490780491_n

 

“Mahukah aku tunjukkan kalian pada sesuatu yang jika kalian lakukan kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam diantara kalian!” [HR Muslim No.54]

Rasulullah meletakkan harapan kepada ummatnya untuk saling mengasihi, berlapang dada, saling terima, saling berukhuwwah. Persoalannya, bagaimana untuk merealisasi dan membumikan harapan Rasulullah ini?

Semenjak keberadaan saya di bumi Mesir, saya membuat pemerhatian dan beberapa perkara yang kelihatan jelas di bumi Mesir ini. Antaranya;

1. Kepelbagaian kumpulan, persatuan atau jamaah

Perkara ini nampak jelas dengan kewujudan PMRAM, ISMA, Kelab IKRAM, ABIM, HALUAN, AQM, DM, Nadi UMNO dan lain-lain. Samaada persatuan, kumpulan atau jamaah ini berdaftar atau tidak, yang pasti wujud.

Setiap persatuan ada organasasi, kepimpinannya dan ahlinya sendiri. Semua bergiat aktif melakukan aktiviti, program berskala besar atau kecil dengan pelbagai bentuk dan wasilah. Ada yang berbentuk ilmiah, ukhuwwah, santai, rohan dan lain-lain.

Tidak kurang semua cuba untuk mengajak dan menarik seramai mungkin peserta dan ahli ke program yang dianjurkan supaya seramai mungkin mendapat manfaat.

Perkara ini bukan hanya di Mesir, bahkan seluruh mahasiswa di pelusuk dunia, bergiat aktif dalam kumpulan masing-masing samaada kecil atau besar.

Tidak kurang juga kerana kepelbagaian kumpulan, persatuan atau jamaah, sebahagian dari mahasiswa tidak boleh bersua muka, bersalaman, berwajah manis. Apatah lagi saling berbincang dan berdiskusi hanya kerana berlainan persatuan, kumpulan atau jamaah.

 

2. Masa yang bebas disusun.

Perkara ini nampak jelas kerana mahasiswa di Mesir bebas mengisi masanya mengikut kehendaknya. Tidak terikat dengan peraturan universiti.

Ada yang bertalaqqi, ke kuliah, berprogram, berdiskusi, futsal, study group dan lain-lain perkara berfaedah. Tidak kurang juga yang memenuhi masanya dengan movie, bermain game, online atau tidur.

Masa yang bebas in boleh menjadi positif atau negetif bergantung kepada apa yang kita susun untuk mengisinya.

 

 

Daripada pemerhatian saya ini, beberapa cadangan perubahan kepada mahasiswa Malaysia di Mesir ingin saya ketengahkan ;

1. Penumpuan kepada ilmu

Asal kedatangan mahasiswa Malaysia di Mesir adalah untuk menuntut ilmu samaada pelajaran agama atau medic. Sepulangan ke Malaysia nanti adalah untuk berjasa kepada bangsa, negara dan agama.

“Barangsiapa yang tiada apa-apa tidak boleh memberi apa-apa”

Sekiranya ilmu tiada di dada sepulangan nanti bagaimana untuk kita berjasa? Penuhkan dan tumpukan masa kita kepada ilmu.

 

2. Kebebasan berpersatuan dan beraktiviti

Mahasiswa bebas untuk memilih dan menyertai mana-mana persatuan. Mahasiswa yang matang bijak memilih dan menyertai mana-mana persatuan yang dirasakan baik dan dapat meningkatkan dirinya.

Mahasiswa juga bebas untuk melakukan apa-apa aktiviti atau program berlandaskan syara’. Akitiviti yang tidak berlandaskan syara’ hendaklah dicegah dan dihalang oleh semua mahasiswa kerana kita adalah muslim sebelum kita mahasiswa.

Mahasiswa yang matang juga walau berlainan persatuan atau pendapat masih boleh berbincang, berdiskusi, bersua muka, bersalaman, berwajah manis bila bertemu. Satu suasana di mana semua menerima dan mengiktiraf sesame mahasiswa walau berlainan persatuan, kumpulan atau jamaah.

Saya melihat ianya adalah fitrah ciptaan manusia itu berbilang dan berbagai kumpulan. Dalam konteks kebangkitan Islam, semenjak kejatuhan Khilafah Islam 1924, pelbagai cubaan dari pelbagai kumpulan telah dilakukan untuk menaikkan semula Islam sehingga hari ini. Sesungguhnya janji Allah itu benar.

 

3. Tawasi dan tanassuh.

Manusia diciptakan Allah pelbagai dan berlainan kelebihan dan kelemahan. Tiada yang terlepas dari kesalahan melainkan nabi Muhammad s.a.w, malah sahabat r.a dan ulama juga ada kesalahan.

Imam Ibnu Qayyim juga membetulkan dan berlainan pendapat dengan gurunya. Juga Imam-Imam empat mazhab. Juga empayar-empayar Islam yang terdahulu seperti Umayyah dan Abassiah. Begitulah ulama’ mengajar kita dalam berkhilaf.

Sifat saling menasihati dan tegur-menegur perlu disuburkan antara mahasiswa. Yang menegur dengan hikmah, yang ditegur terima berlapang dada walau kasar.

 

Harapan Rasulullah dan ummat ini bermula dengan pemuda yang saling berkasih-sayang. Pemuda inilah yang dijanjikan naugan Allah dalam hadis Ar-Rasul. Insyaallah di tangan pemuda seperti inilah kebangkitan Islam.

“Sesungguhnya mereka adalah pemuda yang beriman dengan tuhannya, dan ditambahkan mereka hidayah”

 

Ramadhan Aldin

Kuliah Syariah Tahun 3, Universiti Al-Azhar Kaherah

Comments

comments

admin