Kenyataan Rasmi ISMA Mesir Mengenai Pengusiran Daripada Rumah Negeri Pulau Pinang

Surat Rusydan_Page_2
Surat Rusydan_Page_3

Berikutan surat yang dikeluarkan kepada ahli ISMA Mesir, saudara Muhamad Rusydan b. Muhamad Yusup, ISMA Mesir ingin mengambil perhatian seluruh mahasiswa umumnya serta pihak yang terlibat khususnya, bahawa:

1. Tindakan ini telah melanggar hak saudara Rusydan selaku penerima zakat yang sah di bawah Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Pelanggaran hak ini adalah sangat tidak wajar dan tidak patut terjadi kepada sesiapa pun tanpa mengira apa persatuan sekalipun yang disertai oleh mana-mana mahasiswa.

2. Tindakan ini adalah satu tindakan yang memalukan nama seluruh mahasiswa Mesir kerana ia menzahirkan kemunduran dan kesempitan cara fikir pihak yang terlibat, yang mengaku sebagai penaung dan penjaga kebajikan seluruh mahasiswa Mesir. Di zaman keterbukaan terhadap pelbagai aktivisme persatuan dan kebebasan hak berpersatuan yang dinikmati oleh mahasiswa seluruh dunia, tindakan sebegini telah mengotorkan nama seluruh mahasiswa di Mesir pada pandangan mahasiswa lain di seluruh dunia.

3. Tindakan ini ternyata tidak mengambil kira sudut undang-undang dan prosedur di mana seharusnya yang menjadi autoriti di dalam kelayakan menjadi penghuni rumah Pulau Pinang ialah pihak penaja dan pemilik rumah Pulau Pinang itu sendiri iaitu MAIPP dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Pihak PMRAM yang tidak mempunyai hak dalam autoriti tersebut seharusnya bersikap lebih matang dan profesional.

4. Tindakan ini amat jauh daripada unsur perpaduan, ukhuwwah, dan kebersamaan yang dituntut oleh Islam sendiri.

Oleh yang demikian, ISMA Mesir menuntut segera agar:

1. Surat tersebut ditarik semula dan saudara Rusydan dibenarkan menetap di rumah Pulau Pinang sebagai seorang penghuni yang sah menurut polisi penaja saudara Rusydan sendiri.

2. Pihak yang terbabit memohon maaf di atas tindakan pengusiran yang memalukan ini kepada semua yang terbabit iaitu saudara Rusydan dan ISMA-Mesir.

3. Pihak yang terbabit memastikan perkara sebegini tidak lagi berlaku pada masa akan datang, dan meneliti semula polisi mereka yang berlawanan dengan unsur perpaduan, keterbukaan, dan kebersamaan yang amat diperlukan oleh mahasiswa di Mesir sekarang.

Jika tuntutan di atas tidak segera dipenuhi, ISMA Mesir akan memanjangkan usaha menuntut hak ini kepada pihak-pihak yang berwajib agar hak saudara Rusydan selaku penerima zakat MAIPP tidak dizalimi sewenang-wenangnya.

Disediakan oleh:
JKP Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Mesir

Comments

comments

Comments are closed.