Kalam Pengerusi: Pesanan Buat Mahasiswa Mesir

Bismillahirrahmanirrahim,

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على قائدنا وحبيبنا وخير خلق الله محمد المصطفى وعلى اله وصحبه وانصاره واحبابه إلى يوم لا ينفع مال ولا بنون إلا من أتى الله بقلب سليم

Selamat datang dan ‘ahlan wasahlan’ saya ucapkan buat semua mahasiswa mahasisiwi harapan ummah yang telah tiba di bumi Mesir dalam misi menyiapkan peribadi masing-masing agar mampu memimpin sebuah arus perubahan menuju Malaysia yang lebih gemilang dan dunia yang lebih menjamin kebahagian bersama.

 

Mahasiswa dan mahasiswi pemimpin masa depan sekalian,

Tahniah dan syabas kerana anda telah memilih untuk mengikuti sebuah permusafiran ilmu, pengalaman dan pembinaan jati diri di bumi Mesir, Kinanatul Allah fi Al-Ard. Saya yakin dan percaya, sekiranya anda ikhlas dan bersungguh dalam permusafiran ini, Bumi Mesir adalah pilihan terbaik buat anda. Carilah batu-batu permata yang indah disebalik debuan pasir di bumi ini. Carilah nilai kemanusiaan dan keluhuran jiwa di sebalik kesesakan atau ” zahmahnya ” bumi mesir. Di bumi ini, Allah ciptakan pelbagai watak dan ciptaan untuk kita mengambil erti dan pelajaran. Buatlah pilihan untuk diri anda samada mahu mengikut contoh pihak al-haq atau pihak al-batil. Keberadaan di bumi ini adalah satu nikmat dan di dalam masa yang sama ia juga satu amanah. Amanah ini pasti ditanya oleh Allah Taala kelak dalam keadaan kita berseorangan. Sediakan jawapan untuk persoalan itu dari sekarang.

 

Alam mahasiswa dan alam universiti adalah satu alam yang cukup idealistik. Ciptalah idealisme anda! Letakkan cita-cita dan harapan, pahatkan dengan tekad dan semangat. Berdirilah sebagai mahasiswa yang berjumpa dan mendengar dengan semua pihak. Dengar, timbang dan pilih. Nilailah mana-mana pihak dengan idea, prinsip dan nilai perjuangan yang mereka bawa bukan berdasarkan apa yang dikatakan tentang mereka kepada anda. Buatlah pilihan untuk beraktivisme dengan kerelaan hati anda. Jangan biar sesiapa pun memperhambakan anda dalam membuat pilihan. Anda telah dilahirkan merdeka. Usah memilih untuk kembali menjadi hamba kepada orang lain.

‘متي استعبدتم الناس وقد ولدتهم أمهاتهم أحرارا؟’

Anda akan dipersoalkan oleh Allah atas pilihan anda dan bukan orang lain.

 

Alam mahasiswa juga adalah alam mempersiapkan diri. Siapkan diri anda dengan ilmu pengetahuan, nilai-nilai memimpin dan pengalaman yang luas. Usah malas. Bina budaya yang sihat. Pergi ke kelas, hadir kuliah. Sekiranya tiada kuliah, pergilah bertalaqqi dengan ulama’ alhaq. Usah tenggelam dengan ulama’ suu’ yang hanya akan menjauhkan kita dari memahami islam itu sendiri. Libatkan diri dalam persatuan yang telah anda pilih. Asah kebolehan memimpin kita kerana ummah menanti kita untuk kita pimpin tangan mereka dan memandu mereka ke jalan Allah. Luaskan pengalaman kita dengan rajin mencabar diri kita untuk berani melakukan sesuatu yang bukan rutin kita lakukan.

 

Ahli ISMA Mesir sekalian,

Anda adalah pemimpin sebuah kebangkitan baru! Anda adalah pemilik risalah! Anda adalah harapan ummah! Kita adalah ruh baru yang mengalir dalam jasad ummah ini. Namun harapan  hanya akan tinggal harapan andai kita gagal untuk membentuk keperibadian diri kita menjadi peribadi yang unggul. Masa semakin suntuk untuk kita terus berlengah.

 

Siapkan ‘khuttah’atau perancangan peribadi untuk kita capai. Senaraikan buku-buku fikrah islamiah mahupun buku-buku ulum islamiyyah untuk kita kuasai. Pilih tempat-tempat talaqqi yang baik untuk kita ikuti. Konsistenkan diri kita untuk hadir kesemua program. Ziarahlah ikhwah akhawat kita. Kita adalah ibarat keluarga yang satu. Bukankah fikrah ini mengajar kita erti ikatan aqidah lebih kuat dari mana-mana ikatan lain? Jangan berkira untuk ‘mengeteh’ dengan ikhwah kita. Siapa tahu ‘mengeteh’ 10 minit kita mampu menjadi sebab teguhnya akh kita di atas jalan ini. Kurangkan masa untuk perkara tidak berfaedah. Bina diri kita untuk menjadi manusia beragenda. Bina diri kita untuk menjadi syakhsiah dakwah. Santuni rakan kita agar mereka menjadi teman dakwah. Pimpin bangsa kita agar menjadi bangsa dakwah.

 

Ummah dalam keadaan dahaga, menunggu penyelamat mereka yang mampu memberi mereka air pengharapan dan kebangkitan. Jiwa-jiwa bersih di luar sana menunggu kita untuk kita menyantuni mereka dengan iman dan ruh ukhuwwah. Santunilah tiap-tiap jiwa dengan penuh keikhlasan hanya mengharapkan redha Allah dan kebaikan buat mereka. Selagi kita mengikuti risalah al-haq tidak ada siapa mampu menggentarkan kita. Bawalah, pimpinlah, santunilah sebanyak mungkin jiwa-jiwa untuk semakin mengenal islam, semakin seronok dengan islam, semakin merasa bahagia dengan islam. Usah pedulikan kata-kata orang, fitnah-fitnah yang dilemparkan, kata dusta dan caki maki. Anggaplah semua itu umpama seekor lalat. Janganlah lalat itu menggangu  kita dari tugas asasi kita. Jadikan syiar Nabi Allah Syuaib a.s sebagai syiar kita.

 

“إن أريد إلا الإصلاح ما استطعت وما توفيقي إلا بالله عليه توكلت وإليه أنيب”

 

Ketahuilah semua ini kita lakukan hanya semata-semata menyahut seruan Allah dan Rasulnya. Benar, jalan ini panjang dan memenatkan tetapi tiada jalan lain yang mampu untuk menyedarkan ummat ini kembali dari nyenyak tidur melainkan jalan ini. Moga kita semua terus diberi kekuatan oleh Allah Taala untuk bergerak, menyeru manusia dan memimpin alam keseluruhannya kepada kebahagiaan Islam. Moga kita semua terus dipelihara Allah, diberikan taufiq dan rahmahnya. Kita yakin dan percaya, ummat ini hanya akan bangkit apabila ummat ini kembali bersatu. Mungkin untuk masa dan keadaan sekarang, penyatuan ummat agak sukar, jadi tidak salah untuk kita mulakan dengan usaha kesepakatan antara ummah. Ruang persekapatan itu sangat luas. Jadikan diri kita sebagai agen penyepakatan ummah. Ummah ini pasti akan bangkit! Marilah kita waqafkan diri kita bagi kebangkitan ini.

 

 أقول قول هذا وأستغفر الله لي ولكم وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

IMG_0726

Ustaz Qamarul Naim Bin Mohd Faizal

Pengerusi,
Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Mesir

 

Comments

comments

Comments are closed.