Harakiyatus Syakhsiah

891556_10152306504047846_1106614692_o 

Sifat harakah dalam peribadi (seseorang daie)Seseorang yang bergerak (haraki) tidak banyak berkata-kata. Dia mengajar dakwah dan menjalankan usaha dakwah dengan gerak-gerinya dan cara dia hidup dengan risalah. Dia berpegang dengan kata-kata hukama’ :

ما ادعى أحد قظ إلا لخلوه عن الحقائق ، لأنه لو تحقق لأخبرت به الحقيقة وأغنته عن الدعوى

“Seseorang itu tidak sekali-kali mendakwa mengenai dirinya, melainkan dakwaan itu tiada padanya. Kerana sesungguhnya jika dakwaan itu benar, hakikat (realiti) sudah pasti akan memberitahu, dan dia tidak perlu untuk membuat dakwaan tersebut”

-dipetik daripada tulisan Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, Al-Masaar.

Pemahaman haraki agak sukar difahami pada zaman permulaan mengenal dakwah. Ini kerana fasa permulaan dakwah dipenuhi dengan kelembutan, kasih sayang, belaian, dan segala macam nikmat-nikmat kemanusiaan.

Bila daie sudah tiba pada suatu peringkat, mereka barulah boleh memahami kepentingan ‘harakah’ dalam peribadi mereka. Secara mudahnya untuk diterangkan, peribadi haraki boleh dilihat dalam sejarah para Anbiya’ solawatullahi alaihim wasalaamuh, serta para pengikut mereka.

Dalam sejarah Nabi Ibrahim a.s ;
– beliau berhijrah dari Iraq ke Baitul Maqdis
– pernah ke Makkah dan meninggalkan Saidatina Hajar r.a serta Ismail a.s, serta membina ka’abah di sana.
– menghancurkan berhala-berhala kaumnya

Dalam sejarah Nabi Nuh a.s ;
– menggunakan segala macam cara untuk berdakwah (boleh rujuk surah Nuh, juzuk 29)
– manhaj yang digunakan (Aqli dan Atifi – IQ dan EQ) (SQ sudah tentu sebab beliau adalah Nabi)
– do’anya yang sangat kerap dan perasaan yang halus dalam berdoa (sila rujuk Fi Zilal berkenaan surah Nuh)

Dalam sejarah Nabi Muhammad s.a.w ;
– baginda s.a.w pernah ke Taif kerana orang Makkah menolak dakwahnya
– berhijrah ke Madinah
– menghantar utusan-utusan kepada kerajaan luar Arab, seperti Rom, Parsi, Mesir Qibti dan sebagainya.

Dalam sejarah para sahabat ridhwanullahi alaihim ajma’in ;
– kebanyakan sahabat tidak meninggal dunia di Madinah (Baqi’) walaupun bilangan mereka mencecah 125 ribu orang ketika Haji Wida’
– pada zaman Saidina Umar r.a, Baitul Maqdis berjaya dibebaskan buat kali pertama oleh umat Islam
– mulanya pengumpulan Al-Quran sehingga berjaya dibukukan
– dan sebagainya.

Daie (yang saya fahami) memandang sejarah-sejarah as-sabiqiyyah (mereka yang telah lalu) dengan kacamata harakah, yakni mereka memandang dari sudut ‘tindakan’ yang memberi kesan kepada dakwah. Mungkin anda merasakan perkara ini biasa didengar dan dihuraikan. Tapi sebenarnya yang bernilai padanya adalah pada nilai ‘haraki’ yang menjadi natijah bagi tindakan-tindakan mereka.

Ini hanya yang mampu dicatat sejarah, banyak lagi yang kita pun tak mampu nak fikir macam mana mereka boleh kembangkan Islam.

Dengan pemahaman ‘haraki’ ini, kita mampu memahami bagaimana mereka boleh mewariskan dakwah Islam dengan sempurna dan tulen tanpa tokok tambah sehingga hari ini.

Dirinya adalah dakwah yang mekar. Dengan dirinya seorang, dakwah mampu hidup dan Islam mampu berkembang. Dia melahirkan rijal-rijal dakwah yang mendokong misi Rasulullah s.a.w.

Daie itu yakin bahawa Dakwah bukan hanya kata-kata yang manis yang boleh menarik manusia, bukan hanya janji-janji, bukan hanya jawatan-jawatan, bukan juga ‘Qarar-Qarar’ (ketetapan-ketetapan) yang rigid dan tidak membawa kepada tujuan dakwah, bukan juga syar’iyah (mandat) yang diperoleh, dan juga bukan angan-angan Mat Jenin.

Baginya (yang saya fahami), Dakwah itu adalah suatu seruan ke arah kebangkitan umat manusia sejagat, ia seruan yang ‘real’. Ia suatu usaha manusia yang menyeluruh dan komprehensif, memerlukan segalanya yang ada pada manusia (harta, jiwa, emosi, waktu), bukan hanya mulut yang berkata, tapi kaki yang melangkah, tangan yang memberi, pandangan yang tajam dan terbuka, jiwa yang besar, akal yang panjang, diri yang rajin, dan peribadi yang serius (dalam melaksanakan tuntutan ini), semuanya untuk menuju Allah dengan cara yang paling benar dan paling tepat.

Ia suatu tuntutan jangka masa panjang, dan mencakup semua umat manusia di muka bumi ini. Bukan hanya di Mesir sahaja, bukan juga di Malaysia sahaja, bahkan di seluruh pelosok bumi ini, dakwah yang benar akan tersebar. Pasti.

Dakwaan-dakwaan picisan yang murahan ini tiada manfaat dan tiada nilai dalam kacamata daie. Ia hanyalah ibarat gerimis pagi yang menyedapkan tidur kebanyakan orang, tetapi menjadi penceria dan penghibur bagi sang daie yang memilih waktu itu sebagai mustajabnya doa. Tetapi sayangnya tidak ramai yang mengetahuinya.

Dengan pemahaman ini, baru daie mampu mengetahui kepentingan ‘keberadaan’ dan ‘muayasyah’ (bergaul) bersama para manusia. Beginilah baru daie memahami hadis Nabi s.a.w ;

“Mukmin yang bergaul dengan manusia dan sabar dengan karenah/kesakitan daripada mereka, lebih baik daripada mukmin yang tidak bergaul dengan manusia, dan tidak mampu sabar dengan kerenah mereka”

Dengan ini baru daie memahami betapa besarnya tugas ‘mengesani manusia’ dengan akhlak dan qudwah. Betapa besarnya perkara-perkara kecil seperti memberi hadiah, berziarah, mengerat silaturrahim. Betapa besarnya keep-in-touch, follow-up dan bertanya khabar. Betapa besarnya mengajak orang ke rumah untuk makan, belanja orang, dan sebagainya.

Ini bukan ajaran baru. Tetapi ini adalah pandangan dakwah yang telah diajar oleh Nabi s.a.w. Seperti kata salah seorang doktor saya di kuliah, namanya Dr Yasir Hammudah ;

إن التفسير الحقيقي للقرآن الكريم ، أن تكون قرآنا يمشي على الأرض
Sesungguhnya tafsir yang sebenar bagi Al-Quranul Karim adalah, engkau menjadi Quran yang berjalan di atas muka bumi ini.

Ini kerana Nabi s.a.w adalah Al-Quran yang berjalan di atas muka bumi ini seperti yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. Maka jika mahu menjadi daie yang benar, rujuklah bagaimana caranya Rasulullah s.a.w berdakwah, mengesani manusia, memulakan cara dan merancang strategi, bermuamalah dengan manusia dan sebagainya.Akhirnya, barulah daie itu mampu untuk tidak nampak di hadapan matanya melainkan amal ke arah itu.

 

Ustaz Ahmad Syamil Bin Mohd Esa,

Master Usul Fiqh, Universiti Al Azhar Kaherah

 

Comments

comments

Comments are closed.