Bersungguh-sungguh jika mahu jadi ulama

surianiShah Alam, 19 Okt – “Belajar bersungguh-sungguh dan kuasai bidang ilmu masing-masing sehingga menjadi seorang pakar, agar bila kembali ke Malaysia, kita mampu menyumbang kepada masyarakat.”

 

Ustazah Suriani Sudi, Timbalan Ketua Wanita ISMA berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Profession Akademik: Antara Peluang dan Cabaran’ kepada para pelajar ISMA Mesir dalam Multaqa’ Ulama ISMA Mesir hari ini.

 

“Jangan setakat belajar cukup-cukup makan untuk lepas peperiksaan sahaja. Di Malaysia, kalau ilmu kita tidak kuat dan menyeluruh, kita takkan mampu untuk pergi jauh ke dalam masyarakat. Ini kerana kita tidak mampu untuk kaitkan ilmu itu dengan isu-isu masyarakat. Dan ini adalah satu kerugian yang besar” ujar beliau lagi.

 

Ustazah Suriani turut berpesan kepada para pelajar ISMA Mesir agar ikhlas dalam menuntut ilmu dengan niat untuk menyelesaikan masalah umat.

 

“Berapa ramai ustaz dan ustazah serta ilmuan yang kita ada sekarang ini, namun tidak mampu untuk memberi penyelesaian kepada isu-isu umat pada hari ini.

 

“Lebih memburukkan keadaan bilamana mereka memberi penjelasan yang lebih mengelirukan masyarakat pula”, tambah beliau lagi.

 

Jadi di samping menuntut ilmu agama secara benar dan mendalam, ahli ISMA Mesir dituntut untuk hadiri juga bengkel-bengkel bagi mengasah kepakaran dalam bidang penulisan, pengucapan awam dan sebagainya.

 

“Berlatih dari sekarang untuk menghasilkan penulisan-penulisan, rencana-rencana serta hujah-hujah bagi menjawab isu-isu semasa dalam masyarakat,” saran beliau lagi.

 

Ustazah Suriani juga menyeru ahli ISMA Mesir untuk berani menonjolkan diri ke dalam masyarakat.

 

Beliau yang merupakan seorang pensyarah di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) turut berkongsi peluang-peluang pekerjaan di dalam bidang akademik yang ada di Malaysia seperti menjadi tenaga pengajar di IPTA, IPTS, maktab-maktab perguruan dan sebagainya di samping berkongsi cabaran-cabaran serta peluang-peluang yang wujud di setiap posisi pendidikan.

 

Multaqa’ Asatizah dianjurkan oleh ISMA Mesir dan berlangsung selama dua hari di Masjid Al-Ubudiyah, Seksyen 19, Shah Alam.

 

Program dengan tema ‘Memartabat ilmu syarak memandu pelapis ulama’ ini bertujuan untuk menyediakan para pelajar Mesir ke arah menjadi pelapis ulama-ulama ISMA yang akan menonjolkan diri ke dalam masyarakat bagi menjawab serta memberi jalan penyelesaian kepada masalah-masalah dalam masyarakat.

Comments

comments

admin