Kenali Jahiliyah Era Baru

458109_10151224358447846_131451515_o

Jahiliyah dari segi bahasa menurut lisanul arab adalah lawan kepada ilmu manakala menurut kamus dewan perkataan jahil adalah bodoh. Menurut istilah pula jahiliyah adalah keadaan bangsa arab sebelum kedatangan Islam seperti kejahilan tentang Allah, Rasul, syariat agama, berbangga berlebihan dengan keturunan, sombong, menzalimi orang lain, dan lain lain. Disebut juga jahiliyah adalah keadaan yang berlawanan dengan kehendak Allah yang pernah ada pada segolongan manusia sebelum mereka mendapat hidayah.

Allah berfirman dalam surah Al-Maidah ayat ke-50:
“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah?”

Ibnu Kathir mentafsirkan ayat ini: “Allah mengingkari mereka yang menolak hukum Allah yang ada padanya segala kebaikan dan mencegah segala keburukan kemudian mereka berhukum dengan pendapat mereka, nafsu, istilah-istilah yang direka oleh mereka sepertimana golongan jahiliyah…”

Jahiliyah sebenarnya telah wujud sejak dari kewujudan bapa manusia lagi iaitu nabi Adam A.S. Apa yang berbeza adalah masa dan zaman dan mereka muncul dengan wajah baru yang tidak kita sedari. Mereka inilah musuh kita yang sebenar.

“Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sesungguhnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi penghuni neraka.” (Surah al-Fathir:6)

“(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.” (Surah an-Nas:6)

Benarlah seruan Umar Al-Khattab kepada generasi harapan selepasnya:

“ينقض الإسلام عروة عروة إذا نشأ فيه من لم يعرف الجاهلية”

“Terbatal keIslaman(seseorang) sedikit demi sedikit ketika mana mereka membesar dalam Islam sedangkan tidak mengetahui jahiliyah”.

Solahuddin Mohd Fakhri ketika mengulas kata-kata Umar ini menjelaskan jahiliyah disini membawa dua kemungkinan. Yang pertama adalah tidak mempunyai pengetahuan tentang golongan yang menentang islam. Mereka menyamar dengan kostum yang menipu dan menyimpan pemusuhan mereka sehinggalah muncul peluang untuk mereka melaksanakan perancangan mereka. Saya bagi contoh yang berat bagi umat islam iaitu peristiwa kejatuhan khilafah. Peristiwa ini berlaku selepas pengkaderan yang kuat oleh musuh Allah terhadap seorang lelaki dari yahudi donama(nama bangsa). Dia telah mendakwa dirinya Islam, berjihad di jalan Allah, bekerja menjaga syariah, dan memelihara Al-Qur’an akan tetapi menyembunyikan kejahatan di hatinya sedang tiada siapa yang sedar akan permainannya. Dialah Mustafa Kamal Attaturk. Akhirnya Attarturk telah berjaya menguasai negara bawah jajahan Uthmaniah, merosakkan agama, dan menghapuskan sistem khilafah.

Yang kedua adalah tiada pengetahuan tentang perbuatan jahiliyah sehingga mereka turut terlibat dengan jahiliyah tersebut. Mereka melakukan kesalahan dengan menyangka mereka dalam kebenaran.

Tujuan mereka sudah dijelaskan di dalam surah Maryam:81-83;

81. dan mereka yang kafir menyembah benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, supaya benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong-penolong yang memberi kemuliaan dan pengaruh kepada mereka.

82. tidak sekali-kali! bahkan benda-benda yang mereka pertuhankan itu mengingkari perbuatan mereka menyembahnya, dan akan menjadi musuh yang membawa kehinaan kepada mereka.

83. tidakkah engkau mengetahui (wahai Muhammad) bahawa Kami telah menghantarkan syaitan-syaitan kepada orang-orang kafir, untuk menggalakkan mereka mengerjakan perbuatan kufur dan maksiat dengan bersungguh-sungguh?

Ibnu kathir menjelaskan: Allah menkhabarkan tentang kafir musyrikin dengan tuhan mereka. Mereka mengambil selain Allah sebagai tuhan supaya mereka mendapat pelindungan dan pertolongan dengan tuhan itu. Kemudian ayat ini menjelaskan perkara sebenar bukanlah seperti yang mereka sangka.

Al-Aufi pula mentafsirkan ayat ke-83, untuk (orang kafir) menggalakkan nabi Muhammad dan sahabatnya (mengerjakan kufur dan maksiat).

Maka jelaslah disini tujuan mereka adalah supaya kita tidak lagi menyembah Allah, mengambil selain Allah sebagai bantuan dan kepercayaan, dan tidak mengambil Islam sebagai cara hidup. Di era kini mereka muncul lagi dengan wajah yang lebih kemas dan memperdaya. Mereka datang dalam bentuk fahaman seperti liberal dan syiah. Mereka hilangkan keyakinan bangsa melayu dengan jati diri Islam mereka, kemudian mengagungkan bangsa-bangsa lain yang bukan Islam.

Justeru, sahutlah seruan Umar Al-Khattab ini untuk memelihara kita dari menjadi mangsa perancangan musuh Islam atau terlibat menjadi sebahagian dari mereka. Contohilah semangat Huzaifah Al-Yamani ketika berkata: “Manusia bertanya kepada Rasulullah tentang perkara kebaikan, sedangkan aku bertanya tentang perkara keburukan kerana takut akannya..”. Selepas kita menyedari seruan Umar ini barulah kita akan manyahut seruan seterusnya iaitu mencegah kemungkaran.

Sepertimana tanggungjawab individu begitu juga tanggungjawab masyarakat. Masyarakat juga diharapkan dapat mengenali dan menentang jahiliyah jahiliyah di era baru. Gerakan-gerakan Islam hendaklah memainkan peranan membangkitkan kesedaran di kalangan masyarakat supaya mereka jelas jalan dan gerak kerja mereka demi umat Islam. Firman Allah dalam surah Al-An’am:55

“dan demikianlah Kami terangkan ayat-ayat Al-Quran satu persatu (supaya jelas jalan yang benar), dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.”

Syed Qutb menjelaskan ayat ini dalam tafsirnya (Fi Zilalil Quran): “Sesungguhnya penjelasan jalan orang orang yang berdosa merupakan perkara-perkara dharuri untuk menjelaskan jalan orang orang yang beriman, seperti garisan pemisah yang memisahkan antara jalanraya kerana penjelasan jalan orang-orang yang berdosa merupakan antara tujuan penjelasan rabbani terhadap ayat-ayat Al-Qur’an.”

Wallahua’lam.

 

Khairul Fatihin Bin Saedal Atas

Graduan Kuliah Syariah, Universiti Al-Azhar Tanta

Comments

comments

Comments are closed.