Merdeka Kita

 

289271_10151375409127846_619199357_o

 

Tanggal 31 Ogos 1957, tercatat sebuah peristiwa yang besar dalam lipatan sejarah tanah air kita. Pada tanggal inilah tanah air kita merdeka. Kita berbangga, menjadi rakyat yang merdeka. Negara yang sudah bebas daripada cengkaman penjajahan barat dan timur. Mereka telah menjajah tanah air kita sejak berkurun lamanya.

Sudah 56 tahun berlalu. Sudah 56 tahun kita semua bergelar bangsa yang merdeka. Tetapi, andai kita teliti dari satu sudut pandang yang lain, penjajahan era baru pula bermula. Penjajahan ini mencengkam seluruh pelusuk dunia, khasnya negara kita yang tercinta.

Peperangan ideologi yang berlaku sekarang semakin sengit. Jelas, kini telah berlaku pertembungan antara dua ideologi iaitu Islam dan bukan Islam dan ini hanya disedari oleh orang-orang yang mahu mengambil tahu. Bagi yang terleka, mereka akan terus terjajah sedikit demi sedikit dan daripada itu, maka lahirlah manusia-manusia yang tampak bebas dari segi luaran sedangkan dalaman mereka terbelenggu dan terpenjara. Tunduk kepada satu kuasa, yang selain daripadaNya.

Kalimah Allah dan merdeka kita

Kemerdekaan kita semakin terancam. Sedar atau tidak, umat Islam di negara kita di serang dari segenap posisi. Malangnya, umat Islam sendiri masih bercakaran. Sedang musuh di luar melihat dengan senyuman.

Agenda kristianisasi yang semakin rancak menyusup di seluruh pelusuk Malaysia dan ini bukanlah suatu perkara yang asing lagi. Akhbar-akhbar tempatan juga sudah semakin banyak mempopularkan isu ini. Akan tetapi,  umat Islam di Malaysia yang lebih mementingkan politik dan periuk nasi sendiri. Hal ini menyebabkan, isu kristianisasi dijadikan bahan untuk menentang pasukan lawan.

Walhal, ini isu akidah!

Isu akidah adalah isu yang tetap. Inilah perkara yang perlu dipertahankan oleh seluruh umat Islam. Akidah ini yang menjadi keyakinan generasi Islam sehingga akhir zaman. Kita semua perlu bersatu menentang musuh kita, yakni musuh Islam. Kita semua perlu mengenepikan sejenak segala perbezaan yang ada. Dan berpegang pada titik yang kita sepakati bersama. Kita bersama-sama berganding bahu kerana tanpa kerjasama semua muslim kita tidak mampu.

Gerakan Islam

Mari menyelak helaian wasiat seorang tokoh gerakan Islam. Dalam salah satu surat beliau tinggalkan kepada kita, yang bertajuk “Dakwah Kami”.

“Bagi kami, setiap jengkal tanah di bumi ini, di mana di atasnya ada seorang muslim yang mengucapkan ‘Lailaaha illlallah’ maka itulah tanah kami. Kami wajib menghormati kemuliaannya dan siap berjuang dengan tulus demi kebaikannya.

Semua muslim dalam wilayah geografi manapun adalah saudara kami. Kami turut merasakan apa yang mereka rasakan dan memikirkan kepentingan-kepentingan mereka”

Jelas! Malah terang lagi bersuluh. Muslim adalah bersaudara. Muslim juga perlu mempertahankan saudara seislam dan tanah air mereka. Bukan dibatasi dengan sempadan geografi, malah tanah air kita lebih luas lagi daripada itu. Setiap tanah di dunia, yang ada orang muslim maka itulah tanah air kita.

“Sesungguhnya orang-orang MUKMIN itu BERSAUDARA kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” Al-hujuraat : 10

Merenung sejenak tanah seberang

Andai kita melihat situasi yang berlaku di negara jiran kita, Indonesia. Betapa agenda kristianisasi semakin hampir berjaya mencapai matlamat mereka. Mareka menyebarkan dakyah mereka sehingga berlaku pluralisme agama. Paling menggemparkan, kini di gereja kalimah suci Allah digunakan, sedangkan mereka tidak berhak ke atasnya. Generasi muda yang lahir semakin larut dan keliru. Semakin ramai anak-anak yang lahir dalam keadaan ibu ayah berlainan agama. Generasi muda benar-benar keliru. Apakah ini yang dikatakan sebagai kemerdekaan?

Malah, tidak perlu pergi jauh. Sabah dan Sarawak kita juga mungkin menerima nasib yang sama. Jika kita di tanah seberang ini leka dengan dunia.

Jika kita tidak mengambil iktibar dari isu ini. Terus menerus memandang sebelah mata, dan hanya memikirkan hal sendiri. Pasti tanah merdeka, Malaysia yang sering dibangga-banggakan ini akan terjajah kembali suatu hari nanti.

Ayuh umat Islam, lakukan sesuatu yang kita mampu. Biar kita merdeka, luar dan dalam. Kita bukan hamba sesiapapun, melainkan hamba Yang Esa sahaja.

31 ogos 2013, salam merdeka!

 

Nadhirah bt Yusof

Tahun 5, Kuliah Perubatan, Universiti Kaherah

Comments

comments

admin