“Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku”

Apakah penafsiran dan kefahaman kita terhadap berdaulat?

Suatu masa dahulu sebahagian tafsiran berdaulat adalah bermakna bebas dari penjajahan mana – mana entiti luar, samada British, Jepun mahupun paling awal Portugis. Penjajahan dalam erti kata penaklukan oleh imperialis, dan perkara ini berjalan selama beratus tahun, bermula sejak zaman pengaruh berkembang melalui mercantilism iaitu sesiapa yang menguasai barang dagangan terbaik maka dialah yang mempunyai kuasa dan pengaruh. Maka bersungguhlah Portugis datang ke Tanah Melayu yang kaya dengan rempah ratus, dan pelbagai bahan dagangan lain yang bernilai. Zaman diteruskan dengan zaman kolonialisma yang mana logik mudahnya, semakin luas tanah jajahan, semakin berkuasalah seseorang.

Pasca kolonialisma (hari ini) timbul satu persoalan, adakah mereka (penjajah) telah berubah?

Kalau berubah, bererti tabiat ingin menjajah, menguasai pihak lain, mengeksploitasi sumber tenaga dan mentah pihak lain, menzalimi pihak lain dengan menjadikan mereka bekerja untuk penjajah sudah mula hilang dan mereka melupakan hasrat ingin meletakkan pihak lain dibawah kuasa mereka.

Adakah penjajah sudah berubah?

Jika ya, beberapa set soalan perlu dijawab seperti, bila mereka berubah? Apakah perubahan yang dilakukan? Dan soalan yang lebih kritikal seperti mengapa mereka berubah dan bagaimana mereka berubah?

Cubaan menjawab persoalan ini saya yakin akan menemui jalan buntu, ataupun akan dipeningkan oleh jawapan mengelirukan untuk membuktikan diri mereka suci dari darah dan kotoran.

Lihat dengan lebih luas dan mendalam, satu pertiga dunia masih dalam peperangan, hingga kini Amerika masih memaksa perjanjian – perjanjian jahat dan kejam ke atas hampir semua negara di dunia. Sebahagian masih mempunyai kuasa veto di PBB, menandakan secara mudah, kami boleh menolak keputusan dan memaksa keputusan.

Itu dari sudut yang jelas.

Yang tidak jelas, pembudayaan yang menguntungkan mereka juga menjadi tanda penjajahan dan eksploitasi dilakukan. Siapa untung apabila Hollywood untung? Siapa untung apabila masyarakat berpakaian seperti mereka? Maka tidak peliklah, sekali berlakon mampu meraih jutaan USD, dan seminggu bermian boleh pun jutaan ringgit, dicelah semua ini adakah kita menganggap ianya bukanlah penjajahan?

Mereka untung berbilion, hidup mewah, tidak memikirkan masalah kita sedikitpun. Namun apa yang berlaku di Malaysia, generasi kita pening memikirkan duit untuk hidup dalam keadaan yang mereka (penjajah) inginkan.

Dalam keadaan semua ini, rungutan gaji tidak cukup, duit biasiswa susah, PTPTN perlu dibayar, kena bayar kereta setiap bulan, baju dah ‘outdated’, kena pergi konsert, telefon bimbit sudah ketinggalan zaman, terlalu kerap didengari.

Minda dan jiwa terjajah begitulah gaya hidupnya, pasti tidakkan cukup dan sentiasa dibelenggu dengan keuntungan pihak lain yang tidak peduli pun nasib kita, yang penting mereka untung, kita pula bagaimana?

Lebih malang, manusia sudah lali dijajah dan merasa selesa dan menjadikan kehendak penjajah sebagai kehendak peribadi dan diri.

Disebalik semua ini, usaha mencapai “Malaysiaku Berdaulat” jelas hanya bisa dicapai apabila Islam dijadikan ukuran, dan projek Islam diutamakan.

Jika tidak, sampai bilapun kita akan seronok dijajah, dan tidak merasai kemerdekaan jiwa bersama Islam. Tanpa Islam mustahil seseorang itu bisa merdeka.

 

 

thumb_ustsuhail

Ustaz Mohd Suhail Mohd Sufian

Exco Latihan & Kepimpinan ISMA-Mesir

Comments

comments

admin