Menunggu Atau Berusaha Berubah? (Pasca Ramadhan & Raya)

change_by_matthewsime
Oleh: Mohamad Ad bin Satiman, Kuliah Usuluddin Tahun 2, Universiti Al Azhar Kaherah    

Tulisan ini dimulakan dengan memanjatkan setinggi-tinggi rasa kesyukuran kepada Allah S.W.T atas segala anugerah dan kurnia kepada kita, hambanya yang serba kekurangan. Sebesar-besar nikmat yang Allah beri kepada kita adalah memiliki kefahaman Islam yang sempurna atau paling kurang hidup dalam laluan ke arah kesempurnan kefahaman Islam. Jika perkara ini belum dirasai, masih tidak terlambat untuk terus berusaha dan mencari.

Ramadhan telah berlalu, secara literalnya. Satu bulan persediaan yang sangat ideal untuk berubah. Dan  begitulah kita setiap kali seusai Ramadhan, perubahan jugalah yang diharapkan. Bermula daripada detik akil balighnya diri ini sehingga kini. Masih ‘perubahan’ yang didambakan. Sama ada perkara tersebut  hanya bermain dalam minda atau sudah diterjemah ke alam realiti, ukurannya dengan diri kita sendiri.

Kemampuan untuk benar-benar berubah adalah satu menifestasi daripada kefahaman Islam yang sempurna. Proses transisi kejituan kefahaman yang bersifat idea, daripada dalam minda dan jiwa kepada alam realiti, adalah gaya hidup sebenar seorang muslim. Tidak pernah Islam itu hanya datang dalam bentuk dongengan, fantasi, atau idea yang indah semata-mata. Dan tidak juga kehidupan sivil yang sempurna itu dinamakan satu gaya hidup Islam jika jauh daripada intipati syahadah dan syariat Illahi.

Beberapa rantaian persoalan perlu kita jawab dengan sejujur hati nurani dan jiwa sebaiknya. Mengapakah proses transisi ini sering menemui kegagalan? Mengapakah terlalu payah untuk kita bertaubat, kekal dalam taubat, lantas berubah?

Menerusi pengalaman diri dan perkongsian dengan mereka yang lebih banyak menikmati garam-garam kehidupan, terdapat beberapa perspektif yang perlu kita sama-sama nilai mengenai proses transisi ini.

 

Pintu taubat selalu terbuka

Benar, pintu taubat masih terbuka. Memang Allah Maha Penerima taubat. Sama ada taubat kita diterima atau tidak, itu persoalannya. Sebagai seorang hamba Allah S.W.T, bermudah-mudahan dalam perkara dosa dan maksiat dengan mentaliti; “alah tak ape, esok lusa boleh taubat lagi” adalah satu permulaan kepada bencana diri sendiri. Ini adalah contoh kebiadapan kita terhadap Allah S.W.T. Tersembunyi rasa sombong dan angkuh dalam tindakan sebegini. Benar, memang halus permainan syaitan. Jangan biarkan diri kita diperbodohkan dengan perangkap ini.

Rasa ketakutan terhadap Allah S.W.T dan tumbuhnya benih-benih harapan dalam diri sendiri adalah ibarat dua sayap bagi seorang muslim. Bersifat ekstrim terhadap salah satu sayap hanya akan menatijahkan ketidakstabilan dalam perjalanan menuju redha Ilahi.

 

Menafikan perubahan

Kelalian dalam keadaan yang salah mampu menyebabkan kita merasakan perkara salah dan dosa itu sesuatu yang betul. Lantas mengakibatkan jiwa ini terikat padanya dan seakan-akan merasakan perkara salah tersebut adalah sebahagian daripada diri kita.

Ramai muslim melupakan noktah ini. Sentiasa kita menganggap dosa hari ini seakan-akan sesuatu yang baru. Tiada kena  mengena dengan hari semalam.

Proses normalisasi ini berlaku akibat daripada bertahun lamanya kita tenggelam dalam dosa yang sedemikian. Perkara ini sepatutnya yang kita perlu berani lihat dan sanggup akui. Cuba hitung, sudah berapa lama kita terbiasa dengan dosa tersebut. 1 tahun? 2 tahun mungkin? Atau sejak kita menghafal sifir-sifir matematik?

Ambillah walau sedetik masa yang ada dan cuba ukur berapa umur setiap dosa dan maksiat kita. Masihkah mahu menangguh taubat?

 

Kegagalan memahami formula perubahan

Ramai manusia mahu berjaya. Begitu juga orang-orang Islam ( baca : diri kita ). Namun, tidak ramai yang sanggup mengubah cara hidup dan orientasinya. Tersenyum kita, namun ini realitinya.

Kekal dengan gaya hidup lama tidak akan memberikan apa-apa kelebihan untuk kita meninggalkan setiap dosa yang dimiliki. Sebagaimana satu kata-kata hikmah yang berbunyi ; ‘Cara yang sama tidak akan mendatangkan hasil yang baru’. Ini adalah satu hukum alam yang kita tertakluk dibawahnya.

Perit. Memang begitu perasaan yang jiwa kita akan rasai sewaktu mahu membebaskan atau memerdekakan diri daripada belenggu dosa tersebut. Jangan kita sangka dosa-dosa itu akan kita tinggalkan dengan satu doa yang mudah tanpa diiringi dengan usaha yang bagai nak mati. Kegagalan kita untuk menanggung keperitan daripada proses transisi ini hanya akan mengakibatkan kefahaman Islam yang sempurna itu kekal sebagai kefahaman. Ia hanya hidup dalam minda dan fantasi kita semata-mata. Kita mungkin menghafal rukunnya, kita mungkin menghafal sifirnya, kita mungkin sudah puas menelaah sekalian kitab-kitabnya, namun kegagalan menterjemah ke alam realiti adalah bukti bahawa kita sebenarnya gagal memahami.

 

Perubahan tidak penting mana

Begitulah sikap sebilangan kita terhadap perubahan. Menganggapnya hanya sebagai perkara sampingan dalam kehidupan. Kalau jadi, rezeki. Kalau tidak jadi, tiada sesiapa yang rugi. Kita masih akan memilik harta, pangkat, dan keluarga yang sedia dimiliki.

Jika benar kita mahu dan damba perubahan tersebut berlaku, maka ia akan sentiasa bermain dalam fikiran. Matlamat perubahan itu akan menjadi obsesi dalam kehidupan. Bukan satu bentuk obsesi yang negatif, namun adalah kekuatan dalaman yang mahukan perubahan. Segala idea, sikap, tindakan, dan perilaku adalah menjurus kepadanya. Sebarang limitasi yang menggagalkan perubahan tersebut akan disingkirkan.

Deretan tindakan yang diambil ini adalah kesan langsung daripada tingginya kemahuan untuk mencapai perubahan tersebut. Sekiranya sudah berkali-kali kita melompat namun masih tidak mencapai apa-apa, bagus jika dilihat semula adakah benar-benar kesungguhan lompatannya.

Demikian beberapa kunci untuk kita sama-sama berubah. Berhasil atau tidak perkara ini, terserah kepada kita. Hidayah Allah sentiasa ada. Cukupkan syarat agar layak menerimanya dan berusaha menagih selagi bernyawa.

Selamat berubah.

Comments

comments

admin