Ramadhan Momentum Penyatuan

5olmen

Oleh : Noor Hazwani Mohamed , Tahun 5 Kuliah Perubatan Al-Azhar, Kaherah.

Ibarat satu jiwa, satu hati dan satu tangan, kita Muslim yang bersaudara. Dengan penuh keyakinan bahawa nilai agama ini telah menyemai kasih sayang dan semangat persaudaraan. Penyatuan yang bukan kerana suatu kepentingan tertentu tetapi kerana akidah Islam sehingga mereka gembira untuk bertemu dan bersatu sebagai saudara ibarat Ansar dan Muhajirin. Tiada beza pangkat dan harta.

NILAI KONSEP BERSATU

Seru dari sabda baginda S.A.W. :

كونوا عباد الله اخواناً

“Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang saling bersaudara.”

Namun, ada timbul-tenggelam kelompok ‘penyatu’ yang bertindak kerana patriotisme dan juga nasionalisme. Setakat mana kita menganggap konteks bersatu itu hanya pada kedua-duanya ini. Atau yang lain?

Kita menerima nilai baik pada keduanya yang dapat membawa kebaikan pada kesatuan ummah setempat juga secara universal. Cuma yang membezakan adalah perjuangan kita sepatutnya tanpa sempadan geografi dan mengakui keluasan kesatuan itu. Dengan kata lain, kita meletakkan sempadan penyatuan ini pada akidah sedangkan  bagi mereka yang memperjuangkan patriotisme, sempadan mereka adalah setakat sempadan fizikal dari geografi kenegaraan tertentu semata.

Kesatuan utama adalah bukan kerana menuju titik kemajuan kebendaan semata bahkan cakupan kita adalah keyakinan bahawa sebagai seorang Muslim, kita memikul suatu amanah dan untuk itu kita perlu mengorbankan segalanya untuk memimpin manusia dengan cahaya Islam dan mengibarkan panji Islam di seluruh pelusuk tanpa keterikatan pada kuasa, harta atau pangkat dengan mengenepikan tujuan mencari keredhaan Allah.

Bukanlah juga kita membina batu-bata yang bertujuan menyatu-padukan manusia dengan membangkitkan kembali sejarah jahiliyah dengan mengenepikan tamadun baik yang bertapak kukuh sehingga menghancurkan semua imej Islam. Meleburkan nilai kemasyarakatan sehingga kembali nilai saling membenci, manipulasi serta penghinaan taraf kemanusiaan.

KITA DARI ADAM

Kita… Setaraf kerana asal kita hanya satu iaitu Nabi Adam. Hikmah penciptaan yang dijadikan Allah demi mengajar umat seterusnya bahawa kita setaraf, semua kita adalah saudara. Yang tak lokek untuk sama bekerja, sama membahu, sama berkasih. Dari persamaan itu, perbezaan kita hanyalah amalan masing-masing. Persaingan sesama umat adalah persaingan untuk melakukan kebaikan.

Dan jelas. Kesatuan yang diajar Islam ialah kesatuan yang bertumpu pada soal asas agama. Bukan pada perpecahan dan perselisihan. Faktor yang diakui sejak dari zaman salafussoleh, bahawa kemenangan umat Islam mampu dicapai dengan bersatu penuh kasih. Petikan kata Imam Hassan al-Banna dalam salah satu risalahnya, ‘Dakwah Kita’ :

“Faktor yang membantu kemenangan umat Islam ialah kasih sayang dan perpaduan. Generasi akhir ini hanya mampu dibaiki dengan menggunakan apa yang digunakan untuk memperbaiki generasi pertama.”

Ini yang kita yakini, kita perjuangkan juga yang kita seru! Ambillah kesempatan di Ramadhan ini untuk kembali menyatu dan memperbaiki hubungan.

Dirujuk dari bicara Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni dalam ‘Hikmah Berpuasa di Bulan Ramadhan’,

“Orang yang berpuasa merupakan orang yang paling memiliki rasa kasih sayang, kerana dia merasakan kelaparan, kehausan, dan kesulitan. Kerana itulah jiwanya akan merasa sayang terhadap sesama Muslim, mengasihi mereka dan bersikap lembut terhadap mereka.”

Sama ada individu atau kelompok, kita sedang berkongsi rasa untuk sama-sama berlapar seperti mereka yang kesempitan, untuk sama mengejar kebaikan tidak kira siapa, kerana penimbang tara semua ini hanya satu, taqwa yang sama objektifnya dengan kehadiran Ramadhan.

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum  kamu agar kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah : 183)

SAKIT HATI

Dalam Ramadhan yang hanya sebulan dalam masa setahun, benar-benar mengajar kita erti kesatuan dan mempraktikkannya dengan bina taqwa, iaitu sebaik-baik benteng yang mengawal tingkah laku sesama manusia juga pada diri sendiri. Sehinggakan yang lahir adalah pahlawan hebat di medan juga di daerah jiwa masing-masing dalam memperbetulkan nafsu bergejolak.

Ini controller manusia yang terbaik! Di saat kita yang perlu dididik untuk mengawal nafsu, tingkah laku juga menilai buruk baik sesuatu. Di saat sakit hati beraja, maka taqwa jadi penawar rasa. Geram dengan dia, benci dengan orang sebelah, marah dengan makcik rumah depan atau selainnya, maka, puasa menawarkan kita erti sebenar yang terkandung padanya, tahan nafsu guna taqwa!

Bagaimana? Iaitu bila berpuasa bukan semata kita memaknakannya dengan menahan lapar dahaga, tapi erti sebenar pada setiap hikmah puasa. Pada hakikat yang terbesar, puasa mengajar kita mentaati perintah Allah, mendidik nafsu yang tak sepatutnya menjadi tuhan pada manusia, menghancur rasa tamak dan lupa pada manusia lain. Pada sifat berhati-hati menjaga amal supaya tidak rosak dengan ‘kerosakan’ nafsu yang tak terbendung itu. Itu bentuk taqwa. Berhati-hati memilih tindakan dari nafsu yang sifatnya melulu dan tidak puas!

Kalau diri sendiri menjadi ‘buas’ dengan kemahuan yang tak terkawal, akan jadi susah untuk dia pula berada dalam masyarakat dengan peribadi yang lebih terkawal dalam berhadapan dengan manusia yang bukan hanya memiliki satu sifat. Refleksi keadaan, dia jadi tak sabar, mudah marah dan melenting dengan kerenah sekitar yang bukan ikut kemahuannya.

Maka, bertaqwalah! Untuk kamu bijak memilih tindakan wajar dan lebih membentengi unsur penyatuan dari dirobohkan sewenangnya. Usah sia-siakan manifestasi Ramadhan. Hulurkan salam dan senyum, rapi menyusun maaf dari yang pernah tersilap. Kita satu umat.

Comments

comments

Comments are closed.