Ramadhan dan Taqwa

1078730_490681994357894_1815241334_o

Oleh: Dr Muhammad  Bin Hasbullah, Graduan Perubatan Universiti Iskandariah Mesir

 

Klinik pesakit luar unit pembedahan plastik sibuk seperti biasa. Kes-kes kecederaan-kecederaan di bahagian tangan dan muka adalah sangat biasa di Mesir. Namun hari ini ada satu kes yang membuatkan aku terfikir tentang sesuatu yang pernah aku baca dahulu…

“Aaaaarrgghh….!!!”

Teriakan pesakit tersebut bergema sehingga ke luar klinik. Orang Mesir memang dikenali dengan sikap kasarnya, doktor-doktornya juga tidak lari dari dikaitkan dengan sikap ini. Namun aku rasa jika kes ini dikendalikan oleh doktor paling lemah-lembut di dunia ini sekalipun, natijahnya serupa: kesakitan yang amat sangat.

Bahagian luka di tapak kaki telah dibius, namun luka nampaknya lebih dalam daripada yang disangka. Setiap kali doktor memasukkan penyepit ke dalam untuk mengeluarkan sesuatu dari dalam luka, pesakit meraung dan meronta, menjadikan proses lebih sukar. Heba, jururawat yang bertugas, seorang yang kasar tapi peramah, berkali-kali memaki pesakit kerana tidak memberi kerjasama dengan baik.

“kau lelaki ke? Cuba la tahan sikit!”

Selepas hampir 20 minit yang mengerikan, akhirnya doktor berjaya mengeluarkan ‘penjenayah’ yang menjadi sebab kesengsaraan pesakit: secebis kaca saiznya tidak lebih besar dari syiling baru 25 piester Mesir.

Benda sekecil itu boleh menyebabkan keperitan yang amat sangat….

Ustaz Muhammad Ahmad arRasyid ada membuat satu analogi dalam bukunya al ‘Awaiq:

” Sesungguhnya sesiapa yang berjalan dengan terjengket-jengket seketika kerana terpijak duri sehingga beliau menemui penyepit dan mengeluarkannya kemudia ketawa kerana betapa kecilnya duri akan menyedari bahawa tidak ada dosa yang kecil itu adalah benar.”

Beliau membuat analogi ini bagi memberi kefahaman tentang satu kenyataan yang dibuat oleh Umar Abdul Aziz:

” Janganlah kamu menjadikan sesuatu yang lebih kamu utamakan daripada dirimu, kerana sesungguhnya tidak ada dosa yang kecil”

Yang juga berkait dengan perbualan yang berlaku antara Umar alKhattab dan Ubay bin Ka’ab:

Umar bertanya kepada Ubay bin Ka’ab tentang maksud taqwa. Ubay menjawab dengan satu soalan:”Bukankah Anda pernah berjalan di tempat yang penuh duri?” Umar menjawab : “Ya.” Ubay bertanya lagi : “Lalu Anda berbuat apa?” Umar menjawab: “Saya sangat hati-hati dan bersungguh-sungguh menyelamatkan diri dari duri itu.” Ubay berkata: “Itulah (contoh) taqwa.”

Taqwa. Satu perkataan yang sering kita dengar. Setiap kali khutbah jumaat, khatib menyeru dgn membacakan sepotong ayat alQuran:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati melainkan di dalam keadaan Islam”. (AliImran: 102)

Dan ayat alQuran yang agak masyur tentang taqwa:

“Wahai seluruh manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah adalah yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” (Al-Hujurat: 13)

Dan berkenaan bulan Ramadhan yang mulia ini, Allah SWT berfirman:

“hai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa ke atas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa” (alBaqarah, 2:183)

Taqwa mempunyai nilai yang besar bagi setiap muslim yang sentiasa berlumba menuju keredhaanNya. Taqwa yang hanya diketahui tahapnya oleh Allah inilah yang membezakan seorang hamba dengan yang lain di sisiNya. – Mari kita cuba lebih mendalami erti taqwa ini.

Sayyid Qutb dalam fi zilal alQuran ada mengulas tentang jawapan Ubay terhadap soalan Umar tentang taqwa:

“Itulah taqwa, kepekaan batin, kelembutan perasaan, rasa takut terus menerus selalu waspada dan hati-hati jangan sampai sampai terkena duri jalanan… Jalan kehidupan yang selalu ditaburi duri-duri godaan dan syahwat, kerakusan dan angan-angan, kekhuatiran dan keraguan. Ketakutan palsu dari sesuatu yang tidak wajar untuk ditakuti… dan masih banyak duri-duri yang lainnya.”

Beliau menyebut juga dlm tafsiran ayat 183 Surah alBaqarah:

” taqwa itulah yg membangkitkan kesedaran dlm hati sehingga mahu menunaikan ibadah ini, demi mentaati Allah dan medapat keredaanNya. Taqwa inilah yang menjaga hati seingga tidak merosakkkan puasanya dengan maksiat, walaupun sekadar getaran hati untuk membuat maksiat. Orang-orang yang menjadi sasaran firman Allah ini mengetahui kedudukan taqwa di sisi Allah dan mengetahui bobotnya dlm timbanganNya.”

Di bulan yang mulia ini, sama-sama kita muhasabah akan kefahamn kita tentang kewajipan yang di letakkan ke atas kita sebagai hambaNya. Sejauh mana kita faham tentang hakikat taqwa yang cuba ditanamkan oleh Allah ke dalam hamba-hambaNya yang beriman melalui tarbiyyah madrasah Ramadhan yang hadir hanya dalam tempoh sebulan setiap tahun ini?

Adakah selepas Ramadhan kita semakin bersungguh dalam penghambaan kepadaNya? Adakah selepas Ramadhan kita semakin takut untuk membuat dosa, sekecil manapun dosa itu pada pandangan kita? Adakah selepas Ramadhan kita rasa ingin mengurangkan perkara mubah yang kita biasa buat sebelumnya? Adakah selepas Ramadhan kita semakin bersungguh melaksanakan suruhanNya & berpegang teguh dengan ajaranNya?

Semoga Allah menerima segala amalan kita sepanjang Ramadhan ini. Semoga Ramadhan kali ini berjaya mendidik kita menjadi hambaNya yang lebih bertaqwa.

Comments

comments

admin