Penyerahan Sumbangan Anak-anak Yatim Al-Iz

Wartawan: Indra Putra Asrar (Jurugambar: Muhammad Hasif Ramli)

ISKANDARIAH, 14 Jun: Kesinambungan daripada Karnival Sukan Amal yang dijalankan pada 17 Mei yang lepas, satu majlis penyerahan sumbangan kepada sebuah rumah anak yatim telah dijalankan usai menunaikan solat fardu Jumaat.

Beberapa orang wakil ISMA Mesir yang diiringi wakil Yalla Foundation, saudara Muhammad Hasif bin Ramli telah berkunjung ke Rumah Anak Yatim Al Iz untuk memberi sumbangan hasil kutipan yuran penyertaan peserta semasa karnival sukan yang lepas.

Sumbangan berbentuk barangan seperti beberapa buah kipas bagi kegunaan pada musim panas dan juga keperluan asas anak-anak yatim seperti susu dan ubat-ubatan turut diberikan. Selain itu, peralatan seperti permainan kanak-kanak dan juga stroller untuk bayi telah diserahkan oleh wakil-wakil yang berada disana.

Pihak ISMA Mesir dan juga Yalla Foundation mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peserta yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program berbentuk amal pada kali ini.

Diharapkan kerjasama dua hala seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam menyuntik semangat mahasiswa dan mahasisiwi di Iskandariah khususnya dalam melakukan amal kebaikan dan memupuk semangat cintakan saudara sesama Islam.

Segala sumbangan yang diberikan  tidak lain tidak bukan, bakal menjadi pemberat timbangan hasanah di akhirat kelak. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah : 261.

“Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya dijalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui. “

Moga dengan saranan Allah ini, menjadi pemangkin untuk kita melakukan amal jariah dan kebaikan.

Comments

comments

Comments are closed.