ISMA Iskandariah & YALLA berganding membantu anak-anak yatim

Juara bersama kejohanan Bola Tampar Karnival Amal Sukan 2013

pasukan Tangan Berapi Langit Melambung dan Hello Kitty.

 

(Wartawan Aliff Asyraf bin Salleh, Jurugambar : Najmi bin Kamal)

ISKANDARIAH, 17 Mei: ISMA Mesir cawangan Iskandariah dengan kerjasama Yayasan YALLA buat pertama kalinya telah berjaya menganjurkan Karnival Amal Sukan 2013 yang berlangsung di sekitar kawasan Syatbi, Iskandariah. Karnival Amal Sukan 2013 mencatatkan sejarah baru apabila buat pertama kalinya, dua badan persatuan mahasiswa yang berlainan di Iskandariah dapat sama-sama berbincang dan mengaturkan gerak kerja untuk melaksanakan satu program amal atas tujuan kebajikan. Karnival Amal Sukan 2013 yang diadakan untuk mengumpulkan dana sumbangan kepada rumah anak-anak yatim di Iskandariah telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak lebih 600LE dan 100% daripada dana yang dikumpulkan ini disalurkan kepada sumbangan.

Acara karnival telah bermula seawal waktu 8.00pagi dengan kejohanan Ping-Pong kategori perseorangan dan beregu. Kemudiannya bersambung di sebelah petang dengan kejohanan Bola Tampar. Seramai 60 mahasiswa iskandariah telah melibatkan diri dalam kedua-dua kejohanan. Kejohanan ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran mahasiswa dari Madinah Nasr dan Sayedda Zainab, Kaherah. Tabung sumbangan amal daripada Yayasan YALLA telah diedarkan sepanjang kejohanan berlangsung.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah diadakan pada sebelah malam di Kuliah Ziro’ah, Syatbi. Majlis telah diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat saudara Ahmad Ibrahim bin Azman, wakil dari Yayasan YALLA merangkap ketua Yayasan YALLA yang baru. Dalam ucapan beliau, beliau mengulas bahawa Yayasan YALLA terbuka untuk membentuk kerjasama dengan mana-mana persatuan pelajar di Iskandariah atas nama kebajikan. Majlis diteruskan dengan ucapan ketua cawangan ISMA Iskandariah yang baru saudara Mohd Aiman bin Zainal Bahrain. Beliau dalam ucapannya juga menegaskan perkara yang sama tentang kerjasama dengan Yayasan YALLA bahawa ISMA Mesir cawangan Iskandariah akan terus terbuka dan komited mendekati semua persatuan di Iskandariah untuk duduk berbincang tentang kepentingan mahasiswa dan bersepakat atas agenda kebaikan.

Majlis  bersambung dengan menyampaian sumbangan berbentuk wang oleh ketua cawanagan ISMA Iskandariah Aiman Zainal kepada ketua Yayasan YALLA Ahmad Ibrahim bin Azman. Selesai penyampaian dan penerimaan sumbangan, majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Kejohanan Ping-pong kategori perseorang dijuarai oleh saudara Mohammad Amiruddin bin Zainuddin dari Madinah Nasr dan Naib Johan disandang oleh saudara Ahmad Zaquan bin Yahya dari Sayyeda Zainab. Bagi kejohanan ping-pong kategori beregu, johan dimenangi oleh pasangan beregu saudar Basyir bin Kamaruzan dan saudara Mujahid manakala naib Johan pula telah disandang oleh pasangan beregu saudara Mohd Suhayl bin Masauddin dan Mohd Syahmi bin Abdul Rahman. Akhir sekali, kerana masa yang kesuntukkan dan kejadian putus bekalan elektrik di tempat permainan, kejohanan Bola Tampar telah dianugerahkan kepada pasukan Tangan Beapi Langit Melambung dan Hello Kitty sebagai juara bersama.

ISMA Mesir cawangan Iskandariah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peserta yang telah melibatkan diri dalam kejohanan. Penghargaan khas dtujukan kepada persatuan Yayasan YALLA atas kesudian bekerjasama dalam program Karnival Amal Sukan 2013. Semoga kerjasama yang pertama ini dapat berterusan dalam apa jua bentuk pada masa-masa akan datang dan kedua-dua persatuan dapat saling mendapat manfaat. Kita berharap juga kerjasama persatuan ini dapat mencetuskan kerjasama antara persatuan-persatuan lain juga di masa hadapan.

 

Comments

comments

ISMAMESIR