Saranan Terbuka ISMA-Mesir Pasca PRU13

Tahniah diucapkan kepada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat kerana telah berjaya membentuk kerajaan di peringkat pusat dan negeri hasil dari keputusan pilihan raya umum ke-13 baru-baru ini.

ISMA-Mesir menyeru agar setiap pimpinan yang dilantik oleh rakyat samada dari Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, memahami isi hati dan memenuhi keperluan rakyat dengan adil dan amanah, sekaligus meletakkan kepentingan negara lebih besar dari kepentingan politik masing-masing. Seharusnya model dan agenda pembangunan yang bakal dilaksanakan selama 5 tahun ke depan didokongi bersama cita-cita dan aspirasi Islam secara menyeluruh dalam memartabatkan kehidupan rakyat.

ISMA-Mesir selaku persatuan yang mewakili sebilangan suara mahasiswa di Mesir ini, meletakkan kepercayaan bahawa Kedutaan Besar Malaysia Kaherah yang diketuai oleh TYT Datuk Dr. Mohd Fakhruddin Abdul Mukti, bakal membawa aspirasi mahasiswa tanpa mengambil kira apa jua fahaman politik dan kumpulan. Kecemerlangan dan kemajuan mahasiswa di Mesir ini sesungguhnya menjadi satu aset yang bernilai demi pembangunan masyarakat dan agama di tanah air kelak.

Kami yakin bahawa mandat memerintah yang sah hanya akan diperolehi melalui pilihan raya yang bersih dan telus. Sehubungan itu, kami mencadangkan agar pihak kerajaan Malaysia menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat dan menyelesaikan beberapa isu yang berkait rapat dengan ketelusan pilihan raya seperti penggunaan dakwat yang tidak kekal, pengundi hantu, warga asing mendapat hak mengundi, daftar pemilih yang tidak bersih dan beberapa isu lain yang menimbulkan keraguan sekitar pilihan raya kali ini. Dan kami berharap sebarang bantahan mahupun protes terhadap isu-isu ini mestilah dilakukan mengikut saluran yang telah disediakan dan tidak menyanggahi lunas undang-undang.

Kami ingin mengingatkan kepada semua pihak bahawa matlamat asasi kita ialah untuk memastikan kedaulatan Islam di Malaysia terjamin dan berusaha untuk menegakkan khilafah Islam di muka bumi ini. Maka, usaha tarbiyyah yang utuh dan berterusan perlu menjadi agenda utama agar terbinanya keperibadian umat dan bangsa yang mampu dan bersedia memikul cita-cita Islam yang tinggi tersebut.

Pasca PRU-13 jelas memperlihatkan solusi persepakatan di kalangan Melayu Muslim di Malaysia kian menjadi arus yang membawa kemelut politik umat Islam menemui jalan penyelesaiannya. Justeru, seharusnya slogan “Melayu Sepakat Islam Berdaulat” difahami dan diterima oleh semua pihak sebagai satu penyelesaian yang paling sesuai dan terbaik pada fasa ini.

Semoga Malaysia terus aman dan dilindungi oleh Allah sentiasa.

 

 

Ustaz Qamarul Naim Bin Mohd Faizal
Pengerusi,
Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Mesir

Comments

comments

Comments are closed.