Bahkan ia Suatu Kefardhuan!

 

 

Oleh : Umar Farouq Morhalim, Tahun 2, Kuliah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar

Sejarah telah menunjukkan betapa era sebelum kedatangan Islam ke tanah Arab, mereka merupakan bangsa yang hanya suka bermain dengan bahasa dan syair. Tidak tahu membaca adalah perkara kebiasaan pada ketika itu. Keilmuan pada ketika itu dikuasai oleh Bangsa Rom dan Parsi yang jauh kehadapan berbanding dengan Bangsa Arab.

 

Namun begitu, apabila cahaya Islam mula menyinari sanubari mereka, keinginan untuk mempelajari dan mengkaji mula terbit dalam diri mereka seterusnya menjadikan mereka sebuah umat yang terkenal di seantero dunia dengan keilmuan pada zaman keemasan Islam, era Khilafah Abbasiah. Ketika itu, barat masih lagi berada di zaman kegelapan dan kemunduran.

 

Rasulullah s.a.w bersabda : “ Menuntut ilmu itu adalah suatu KEFARDHUAN ke atas setiap individu muslim”. Kata-kata yang keluar dari mulut Baginda persis wahyu dan tidak sekali-kali menurut nafsu. Setiap kalimah yang dikatakan oleh Rasulullah merupakan kalimah yang terperinci dan mendalam. Ada mutiara yang tersirat.

 

Secara lazimnya, kefardhuan menurut Islam bermaksud ‘IBADAH’, perkara yang ‘MENGHAMPIRKAN’ diri kepada Allah dan ia ‘WAJIB’ dilaksanakan serta meninggalkannya adalah suatu kesalahan dan mendatangkan dosa. Bahkan ia menyamai ibadah lain seperti solat, puasa dan membaca Al-Quran. Inilah kefahaman sebenar mengenai kefardhuan dalam jiwa mukmin.

 

Dorongan inilah yang dirasakan oleh para sahabat apabila mendengar kata-kata ini dari utusan Allah. Begitu juga apabila mafhum ini diwariskan kepada generasi ke generasi kerana mereka memahami ‘Kefardhuan’ yang dimaksudkan oleh Rasulullah. Apabila mereka mengkaji dan mentelaah bahan ilmiah, mereka merasakan ia suatu ibadah yang wajib dan mendekatkan diri mereka kepada Tuhan yang Maha Mengetahui.

Mereka tidak merasakan suatu pembaziran apabila mereka mengorbankan masa rehat dan tidur mereka. Menjadi kebiasaan bagi mereka menahan mata di malam hari mencari sinar ilmu supaya dapat menjadi panduan bagi umat dunia seluruhnya.

 

Namun, apa yang terjadi pada umat Islam pada hari ini sangat berbeza dengan generasi muslim terdahulu. Para sahabat dan salafussoleh bukan sahaja menguasai ilmu, bahkan mereka juga pejuang di medan perang dan ahli ibadah yang sangat tekun di rumah Allah.

Realitinya, umat Islam larut dengan dunia serta takutkan kematian. Malahan mereka mundur dalam bidang keilmuan dan teknologi. Kita kini kehilangan keahlian untuk memerintah alam kerana kelemahan kita sendiri. Barat pula dijadikan sebagai kiblat kerana mereka kelihatan sebuah umat yang maju. Pada hakikatnya mereka menceduk ilmu tersebut dari Islam akan tetapi mereka meninggalkan  ‘Ruh Kefardhuan’ yang ada pada ilmu tersebut dan menyebabkan mereka semakin jauh dari Islam.

 

Kita perlu kembali kepada Islam yang sebenar. Kita perlukan cahaya petunjuk yang terdapat dalam kitabullah dan kata-kata Rasulullah. Menuntut ilmu bukan sekadar untuk mendapatkan sijil dan mencari pekerjaan, bahkan jalan untuk  lebih dekat dengan Allah yang mengetahui perkara yang nyata dan ghaib. Dunia kini sudah kehilangan penyuluh yang mampu mengeluarkan manusia dari kegelapan nafsu kepada Nur Islam yang sebenar.

 

Kita perlu menjadi bangsa ilmu yang mampu membimbing alam kepada jalan yang sebenar menuju Tuhan yang Maha Mencipta. Selamanya Allah tidak akan mengubah suatu kaum melainkan mereka mengubah apa yang ada pada mereka kerana Allah inginkan kemuliaan buat Muslimin di sekalian alam.

Comments

comments

Comments are closed.