ISMA-Mesir sambut baik sikap keterbukaan mahasiswa Mesir

(Wartawan: Ismail Muhammad Juffri)

MADINAH NASR, 22 April: Program Munajat Perdana dan Wacana PRU 13 yang bertempat di Dataran Hayyu Asyir yang dan dijayakan oleh Gerakan Suara Mahasiswa (SUARA) kelmarin telah menyaksikan sikap keterbukaan yang ditunjukkan oleh 3000 mahasiswa Mesir yang hadir dari seluruh negeri di Mesir. Ini membuktikan bahawa seruan keterbukaan yang dilaungkan oleh ISMA Mesir bukanlah suatu perkara yang mustahil. Oleh itu, ISMA Mesir telah menghantar wakilnya iaitu Ust Ahmad Syamil bin Mohd Esa selaku ECXO Tarbiyah ISMA Mesir merangkap Pengerusi Pelapis Majlis Ulama’ ISMA Mesir sebagai ahli panel wacana tersebut dalam memenuhi jemputan SUARA.

Wacana itu dimulakan dengan ucapan moderator, saudara Muhammad Izzudin Nadzif, pelajar Kuliah Perubatan tahun enam, “Terima kasih kepada SUARA kerana menyahut seruan politik hujah. Rata-rata di Malaysia berpolitik hujah bukan lagi main semberono kerana mahasiswa hari ini semakin cerdik.” Tambah beliau lagi, “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, bukan benci membenci. Jadi, harini kita mahu dengar pendapat masing-masing.”

Ustaz Ahmad Syamil  di dalam ucapan pendahuluannya telah menyatakan rasa gembira dan lega kerana akhirnya ISMA Mesir berjaya berdialog dan berwacana bersama persatuan-persatuan yang ada. “Bagi ISMA Mesir, ini adalah satu pencapaian dan proses kematangan yang semakin terbina dalam mentaliti mahasiswa sekarang” jelas beliau.

Dalam temuramah wartawan ISMA Mesir bersama ahli panel Wakil Penyokong PAS, Ustaz Nazrul Abd Nasir, beliau mengulas tentang aspek keterbukaan yang terbina melalui wacana tersebut antara ISMA Mesir dan persatuan-persatuan lain di Mesir, terutamanya PMRAM, “Kita perlukan kepada perbincangan dan jika keterbukaan tersebut perlukan kepada perbincangan dengan baik bersama pihak PMRAM maka perlu ada pertemuan dan sebagainya. Itu lebih baik untuk masing-masing saling bertukar pandangan dan sebagainya”.

Tambah beliau lagi, “Kewujudan (ISMA Mesir) sudah ada dan kita tidak menafikan kewujudan tersebut, cuma yang dipersoalkan oleh ahli PMRAM adalah keperluan kewujudan tersebut. Jadi keperluan itu yang patut diberi kefahaman dan jika ISMA ada cadangan untuk itu, boleh bertemu dengan kepimpinan PMRAM”. Dalam pada itu, beliau juga mewartakan kebersediaan PMRAM untuk duduk berbincang bersama ISMA Mesir. “Saya yakin PMRAM bersedia bila-bila masa untuk bertemu dan berbincang dan pejabat PMRAM sentiasa terbuka.”

ISMA Mesir berharap sikap keterbukaan dan budaya dialog yang sihat di antara semua persatuan dan mahasiswa seperti ini dapat dikekalkan pada masa akan datang.

Comments

comments

ISMAMESIR