ISMA-Mesir Timba Pengalaman Emas di SEMAIAN

 ISMA-Mesir Timba Pengalaman Emas di SEMAIAN

 

 

(Wartawan: Muhammad Asyraf Othman)

 

GIZA, 21 APRIL 2013- Tidak ramai yang memahami bahawa Perlembagaan Malaysia tidak sekular, malah meletakkan kedudukan Islam di tahap yang amat tinggi.

Ada dua sebab  yang menjadikan Malaysia bukan Negara sekular. Pertama, syor pensekularan undang-undang telah ditolak oleh Queen Kerajaan British sewaktu pembentukan Perlembagaan pada 1950-an dahulu. Kedua, artikel 3 Pelembagaan telah menyebut secara jelas bahawa “Islam adalah agama bagi Persekutuan”.

Selain itu, sedar atau tidak, artikel 3 adalah artikel keramat yang boleh membawa perundangan Malaysia ke satu pentas yang setaraf Negara Islam yang wujud di zaman kegemilangan Islam.

Demikianlah intisari utama Seminar Mendaulatkan Islam Agama Negara (SEMAIAN) anjuran Kelab Peguam Muda Mesir (KPMM) dengan kerjasama Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM). Seminar 4 hari 3 malam yang diadakan di Hotel Barcelo Pyramids, Giza ini telah disertai oleh lapan orang wakil ISMA-Mesir, termasuk Timbalan Pengerusi ISMA-Mesir, saudara Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim dan Ketua Wanita ISMA-Mesir, saudari Khairah Abdul Halim.

Turut hadir ialah peserta dari Kelab Peguam Muda Mesir, Kelab UMNO dan peserta-peserta lain.

Seminar ini membariskan tokoh-tokoh perundangan yang hebat seperti Dato’ Zainul  Rijal Abu Bakar (Presiden PPMM), Tuan Azril Mohd Amin (Naib Presiden PPMM) dan Yang Amat Arif Tuan Haji Abdul Walid Abu Hasan (Ketua Mahkamah Syariah Pulau Pinang).

Lima tajuk pembentangan seminar ini ialah Sejarah Perlembagaan Malaysia, Kedudukan Islam dalam Perlembagaan, Hak-Hak Asasi Manusia, Peranan Mahkamah dan Pelaksanaan Hukum Jenayah Syariah.

Menurut Presiden PPMM, seminar ini bertujuan melatih peserta menjadi jurucakap dalam menerangkan isu-isu yang biasa menjadi  persoalan berkaitan dengan perlembagaan dan perundangan. Selain itu, seminar ini juga berhasrat menerbitkan sebuah buku berkaitan isu perundangan Malaysia yang mempunyai gaya bahasa yang mesra masyarakat.

Seminar ini berjaya meraih kesedaran peserta tentang betapa pentingnya umat Islam Malaysia bersatu dalam mempertahankan kedaulatan Islam, di samping membentuk gaya hidup mahasiswa beragenda melalui penzahiran keprihatinan terhadap kemaslahatan tanah airnya pada masa akan datang.

 

Comments

comments

ISMAMESIR