Ulamak Berwibawa Dalam Membawa Keaslian Risalah

Wartawan: Hamzah Bin Ahmad  (Jurugambar: Ismail Mohd Juffri)

MADINAH NASR, 12 April: Bertemakan ‘Memartabat Ulum Syara’ Memandu Pelapis Ulama’, Biro Akademik dan Latihan ISMA MESIR  telah mengambil inisiatif menganjurkan program Multaqa Asatizah yang julung-julung kalinya diadakan di Dewan Haiah Tadris, Kuliah Perubatan Al-Azhar, Hayyu Sadis, Kaherah.

Ia bertujuan untuk  memperkasakan dan memberi gambaran yang lebih jelas kepada mahasiswa dan mahasiswi dalam bidang pengajian Islam supaya lebih memahami dan menyedari keperluan bakal-bakal ulamak yang sangat diperlukan di medan-medan amal.

Program yang bermula pada sembilan pagi dan berakhir pada lima petang ini telah mengumpulkan lebih kurang seramai 200 mahasiswa dan mahasiswi yang terdiri daripada kalangan ahli ISMA MESIR. Mengakui kepentingan peranan ulamak yang perlu dimainkan sebaiknya, maka program sebegini diharap mampu melonjak ufuk pemikiran seseorang mahasiwa untuk lebih bersedia memikul risalah yang suci ini dengan mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran yang diperlukan sebagai penggalas risalah ini seperti kecemerlangan dalam akademik, memperkemas kemahiran berdakwah, mampu mengendalikan organisasi dengan baik, mempunyai kemahiran dan asas-asas yang mantap serta kemahiran-kemahiran umum yang lain.

Mantan Biro Akademik dan Latihan ISMA MESIR, Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa yang kini dilantik sebagai Pengerusi Majlis Ulama ISMA MESIR (MUIS) menekankan bahawa situasi umat sekarang memerlukan ulamak-ulamak yang berwibawa dan berkelayakan untuk mengembalikan neraca atau kacamata Islam yang sebenar di kedudukan asalnya.

Selain itu, ulum syara’ merupakan perkara utama yang perlu dikuasai dan dihadam dengan sebaiknya untuk memastikan kemantapan ilmu seseorang itu. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ustaz Dr Mahmud Abdul Rahman, pensyarah kuliah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar sebagai penceramah jemputan yang menyampaikan tajuk kepentingan peranan ulamak.

Demi memastikan segala perancangan rapi dan bergerak dengan langkah yang praktikal, satu resolusi telah dicapai melalui kesepakatan bersama sebagai kayu ukur untuk mencapai tujuan tersebut. Pelbagai pencerahan telah dilakukan yang melingkupi pelbagai aspek untuk mempertajam nilai-nilai sebenar sebagai seorang bakal ulamak yang diperlukan oleh umat Islam amnya.

Comments

comments

ISMAMESIR