Agenda Perkasa Jati Diri Disambut Baik Pengarah MARA

Wartawan: Abdul Rahman Dashuki

ISKANDARIAH, 8 April: Seramai 11 orang ahli Majlis Tertinggi (MT) ISMA Mesir Cawangan Iskandariah telah mengadakan majlis makan malam dan pertemuan rasmi bersama Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Timur Tengah yang baru, Ustaz Ahmad Sofi Bin Abdullah.

Majlis yang diadakan di Kafe Seri Putra bertempat di asrama MARA ini bertujuan untuk meraikan kedatangan Ustaz Ahmad Sofi selaku Pengarah MARA Timur Tengah yang baru dan juga sesi pengenalan MT ISMA Mesir Cawangan Iskandariah.

Majlis dimulakan dengan sesi perkenalan antara MT ISMA Mesir Cawangan Iskandariah dengan Ustaz Ahmad Sofi. Majlis kemudian diteruskan dengan pesanan dan nasihat daripada Ustaz Ahmad Sofi serta sesi bertukar pandangan dan perbincangan antara kedua-dua belah pihak.

Antara pesanan yang diberikan oleh Ustaz Ahmad Sofi ialah agar mahasiswa dan mahasiswi yang berada di perlembahan Nil ini meletakkan matlamat dan agenda yang tinggi dalam kehidupan mereka termasuklah cemerlang dalam akademik dan juga ilmu-ilmu tambahan.

Beliau juga menambah, “Golongan mahasiswa dan mahasiswi di Mesir seharusnya menyedari peranan mereka dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat apabila pulang ke Malaysia nanti, seterusnya memimpin masyarakat ke arah memahami Islam yang sebenar”.

Delegasi MT ISMA Mesir Cawangan Iskandariah yang diketuai oleh Saudara Basyir Bin Kamaruzaman selaku Ketua Cawangan sempat memberikan penerangan ringkas mengenai aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh ISMA Mesir Cawangan Iskandariah khususnya dan juga menerangkan tentang empat seruan ISMA MESIR kepada mahasiswa dan mahasiswi yang menuntut di Mesir.

Mengulas mengenai isu-isu yang dibincangkan ketika pertemuan ini, Ustaz Ahmad Sofi berharap agar terjalin kerjasama antara persatuan-persatuan yang berada di Mesir dalam menjaga kepentingan bersama seperti isu keselamatan dan juga isu akademik pelajar.

Beliau juga menyambut baik hasrat ISMA Mesir Cawangan Iskandariah dalam usaha membuat kerjasama antara persatuan-persatuan yang berada di Mesir ini dalam bentuk program-program bersama yang meliputi pembangunan jati diri mahasiswa yang menuntut di Iskandariah.

Majlis ramah mesra ini diakhiri dengan ucapan penghargaan dan juga sedikit cenderahati kepada Ustaz Ahmad Sofi Bin Abdullah mewakili pihak MARA kerana sudi meluangkan masa bersama MT ISMA Mesir Cawangan Iskandariah. Semoga dengan berlangsungnya majlis ini dapat merapatkan dan meneruskan lagi ikatan silaturrahim antara pihak MARA Timur Tengah dan juga ISMA Mesir yang sedia terjalin.

Comments

comments

Comments are closed.