Bersama Membangun Agenda Mahasiswa

Ucapan Dasar Pengerusi Sempena Mesyuarat Agung Tahunan ISMA Mesir Kali Pertama

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah kita ucapkan syukur kepada Allah swt kerana dapat mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan yang pertama kali bagi ISMA Mesir. Kita menjadi saksi kepada pencapaian yang signifikan dalam sejarah ISMA di Mesir pada tahun 2013.

ISMA Mesir telah melalui beberapa siri pengolahan organisasi yang menyumbang kepada pengukuhan sistem pengurusan dan kepimpinan bagi melayakkannya menjadi sebuah persatuan mahasiswa yang terkehadapan dalam membawa arus mahasiswa beragenda di bumi Mesir.

Ini merupakan Ucapan Dasar sulung bagi Pengerusi ISMA Mesir yang saya rangka dengan menekankan aspek-aspek penting bagi ISMA Mesir akan terus cemerlang menjadi pelopor kepada perjuangan Islam yang syumul dan menyumbang kepada pembinaan mahasiswa yang cemerlang di Perlembahan Nil ini.

Kita sendiri telah membuat kajian yang mendalam pada tahun lepas dengan mengekstrak ramuan daripada slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat (MSIB) dan juga slogan Membangun Umat Beragenda bagi membentuk pendekatan yang tersendiri yang lebih bersifat lokal sesuai dengan suasana alam mahasiswa di luar negara. Intisari yang terkandung dalam slogan MSIB menitikberatkan pembinaan jatidiri bangsa Melayu yang berpegang teguh dengan prinsip Islam.

Hubung kait Islam dan bangsa tidak lagi menjadi satu bentuk salah faham dikalangan para pendokong perjuangan Islam di Malaysia kerana bangsa Melayu merupakan bangsa tonggak yang memperjuangkan Islam sejak berzaman di tanah air. Justeru itu, kita megambil langkah strategik untuk mencipta slogan khusus untuk ISMA Mesir; Bersama Membangun Mahasiswa Beragenda.

Kita juga menganalisa isu-isu kunci yang hendak kita semaikan di tengah-tengah kelompok mahasiswa di Mesir. Kita melihat trend isu yang lapuk seperti isu taadud jamaah, dasar tutup pintu, ke‘kita’an dan provokasi atau konfrontasi dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan perlu diganti dengan sebuah nafas baru yang segar bersumberkan syarak dan memulakan usaha untuk menyuburkan budaya dialog dan perbincangan sihat.

Kita memperkenalkan empat seruan utama yang mengandungi nilai dan budaya murni untuk didokong bersama oleh semua mahasiswa:

  1. Perpaduan dalam kalangan mahasiswa atas dasar kebaikan dan taqwa tanpa mengira latar belakang persatuan.
  2. Peningkatan kualiti dan jatidiri mahasiswa Malaysia secara tersusun, teratur dan bersistem, sehingga mampu menjadi barisan pelapis pimpinan negara masa hadapan.
  3. Berfikiran terbuka, menguruskan perbincangan dengan sihat dan ma- tang, kritis untuk menilai dan menguruskan perbezaan pandangan yang berlaku di kalangan mahasiswa dengan nilai-nilai Islami.
  4. Membina gaya hidup berwawasan, mempunyai agenda, berper- ancangan dan teliti dalam mengurus diri, berinteraksi dengan orang lain dan bercita-cita untuk mencorak masa depan negara dan tanah air.

Firman Allah swt:

 وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُواْ اللّهَ إِنَّ اللّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksud: Dan bertolong-tolong kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolong dalam perkara dosa dan permusuhan dan bertaqwalah kepada Allah sesungguhnya Allah sangat berat balasan-Nya.

Kita menyusun pelbagai program dan pendekatan yang bersesuaian untuk menyebar luaskan seruan penting ini kepada mahasiswa. Tahun ini kita mensasarkan program dakwah berbentuk kerjasama dengan persatuan pelajar yang lain untuk mengukuhkan hubungan sesama persatuan di Mesir dan Biro Dakwah telah berjaya mencapai sasaran yang dikehendaki.

Kita akan teruskan pendekatan seperti ini di masa akan datang. Saya berpandangan di fasa mendatang hubungan dengan badan persatuan negara ASEAN dan juga negara-negara Islam lain seperti Turki, Afrika Selatan, Nigeria dan lain-lain boleh dimulakan sebagai jambatan pertama hubungan peringkat antarabangsa yang berpusat di Kaherah. Ini akan menjadikan ISMA Mesir memiliki pelbagai hubungan dan juga rakan kerjasama yang akan membantu meningkatkan ilmu dan perkongsian pintar yang berkesan.

Masa dan tempoh merupakan penentu yang mujarab untuk masyarakat mahasiswa di Mesir menilai dan mendokong seruan dan gagasan yang kita perkenalkan ini. Usaha berterusan daripada semua pimpinan dan ahli perlu dilipat gandakan bagi menjayakan misi ini. Semua medium dan ruang sebaran maklumat mesti dikuasai oleh kita dengan sebaiknya.

Prospek dakwah bernilai tinggi

Umum mengetahui kedudukan Mesir yang strategik sebagai kota ilmu pengetahuan Islam dan juga titik pusat kebangkitan gerakan Islam sedunia. Gabungan dua faktor ini seharusnya dilihat sebagai mutiara emas yang perlu digali sepanjang keberadaan kita di bumi Mesir ini.

Kebanjiran mahasiswa Malaysia yang saban tahun angkanya semakin meningkat memberi petunjuk bahawa prospek dakwah di sini amat tinggi dan berharga atas beberapa faktor yang berikut:

  • Mahasiswa adalah bakal pemimpin negara di masa akan datang
  • Jumlah mahasiswa yang ramai iaitu 14 ribu orang
  • Latar belakang mahasiswa yang beragama Islam
  • Bidang dan jurusan yang diambil merupakan bidang kritikal dan memenuhi keperluan pasaran kerjaya

Oleh itu, kita seharusnya meletakkan objektif dakwah yang jelas untuk dicapai dengan kapasiti kita sebagai sebuah persatuan mahasiswa yang berdaya saing. Awal tahun 2013, kita telah pun melancarkan sebuah pendekatan baru untuk memenuhi keperluan amal dakwah semasa dengan penubuhan “Rakan ISMA Mesir”.

Pakej-pakej yang ditawarkan diyakini mampu untuk menarik minat mahasiswa bersama-sama ISMA Mesir secara fleksibel dengan erti kata mereka sendiri memilih ruang aktivisme berdasarkan kecenderungan dan minat masing-masing. Respon mahasiswa amat positif dengan pendekatan baru ini dan kita sentiasa berusaha untuk menambah baik.

Tahun mendatang kita akan memasarkan Rakan ISMA dengan lebih agresif dengan menawarkan pakej-pakej tersebut dalam bentuk perkhidmatan kepada persatuan-persatuan dan Badan Kebajikan Rumah Negeri (BKAN) di seluruh Mesir.

Kita juga akan meletakkan fokus kepada penghasilan produk ISMA Mesir yang lebih bersifat mesra masyarakat supaya manfaat itu boleh dikongsi dengan kadar lebih luas dan membumi. Penerbitan buku, album nasyid, majalah, kajian ilmiah perlu dijadikan sebagai prioriti dakwah di masa akan datang.

Bilangan keahlian ISMA juga kita sasarkan angka 1000 orang ahli yang komited pada tahun akan datang. Bilangan ini perlu untuk memastikan ISMA Mesir mampu meneruskan legasi dakwahnya di sini.

Seruan untuk Tafaqquh dan kesempurnaan Ijtihad akan menyusuli

Dalam ucapan penggulungan Presiden ISMA, Tn. Haji Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman semasa AGM ke 13 baru-baru ini, beliau telah menegaskan tentang peranan penting yang perlu dimainkan oleh Majlis Ulamak ISMA (MUIS) dalam senario politik baru di Malaysia.

Tugasan memandu masyarakat awam untuk memahami nilai syarak dalam setiap aspek kehidupan adalah sangat vital dan tidak boleh dipandang remeh. Suasana masyarakat yang kurang faham asas syarak dan hukum-hakam dalam kehidupan perlu ditangani dengan penerangan dan penjelasan yang berlandaskan syarak dan hukum fiqh. Bagi saya, ini adalah mesej secara langsung kepada ISMA Mesir untuk memperkasakan usaha melahirkan tokoh ulamak yang berwibawa.

Tokoh penulis Islam tersohor, Muhammad Ahmad Ar-rasyid dalam bukunya Usul al-Iftak wal Ijtihad at-Tabiqi, Jilid ke 4: “Adapun kami mewajibkan untuk gerakan dakwah Islamiah memiliki mujtahid yang memberi fatwa dalam isu berkaitan fiqh dakwah dan hubungannya dengan parti-parti serta kerajaan negara-negara Islam dan negara-negara kafir, sebagaimana dia memberi fatwa dalam isu-isu dalaman gerakan Islam dan hukum hakam berkaitan hubungan pimpinan gerakan dakwah dan ahli-ahlinya”

Kita akan jadikan program melahirkan ulamak berwibawa sebagai projek teras untuk fasa mendatang. Gambaran kita terhadap ciri-ciri ulamak berwibawa adalah menyeluruh dari segi penguasaan ilmu syarak, ilmu politik semasa dan juga ilmu harakah.

MUIS Mesir akan diperkasakan menjadi institusi/medium yang bersifat sebagai pusat kajian ilmu syarak, fatwa dan menyebarkan kefahaman asas syarak kepada masyarakat pelajar. Seminar, wacana, dan pembentangan kertas kerja dan juga kajian akademik akan digiatkan secara tersusun dan berobjektif supaya mampu melahirkan barisan ulamak yang wibawa. Disiplin penghujahan dan pendalilan syarak, kaedah instibat hukum dan qawaid fiqhiyyah dan penentuan mahal nizak seharusnya dikuasai dengan cemerlang dan dipraktis secara tersusun.

Kita meletakkan sasaran semua ahli ISMA Mesir yang berada di dalam aliran Al-Azhar mampu pulang sebagai seorang ulamak yang menguasai ilmu syarak dengan mantap dan juga berupaya menyebarkan ilmu tersebut kepada orang ramai dengan pendekatan yang sederhana dan beragenda bertepatan dengan suasana semasa masyarakat.

Kebolehpasaran siswazah ISMA Mesir

Bilangan ahli ISMA Mesir yang pulang ke tanah air setelah tamat pengajian semakin meningkat dari tahun ke tahun. Kita melihat angka yang meningkat ini memerlukan sebuah sistem sokongan yang cekap bagi memastikan kepulangan aset utama negara mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ISMA secara khusus.

Kita akan menubuhkan sebuah unit khusus untuk menguruskan kepulangan graduan dari Mesir dengan efektif dan komprohensif. Program yang akan disusun perlu mengambil kira aspek kompetensi di pasaran kerjaya seperti penguasaan ilmu, kemahiran insaniah dan juga kemahiran niaga.

Selain itu aspek utama yang perlu dititik beratkan ialah keberlangsungan lepasan Mesir untuk berkhidmat dengan cemerlang dalam ISMA di Malaysia secara umum dan ISMA di cawangan secara khusus. Cadangan untuk merangka modul “attachment” di peringkat cawangan perlu diperhalusi lebih mendalam dan dibincangkan secara serius untuk dilaksanakan dengan baik. Perkembangan amal di Malaysia yang pesat memerlukan kita sebagai cawangan di luar negara mengolah pembawakan kita supaya sentiasa selari dengan visi dan misi ISMA di Malaysia. Ini juga akan mengurangkan kadar keciciran ahli yang pulang dengan kita membiasakan mereka dengan bentuk cabaran dan dugaan yang bakal ditempuh di alam pekerjaan nanti.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing

ISMA Mesir merupakan anak sulung ISMA cawangan luar negara yang ditubuhkan J/K Penaja pada tahun 2006. Kekuatan yang kita miliki boleh saya nyatakan seperti berikut:

  • Kematangan barisan kepimpinan
  • Kestabilan pengurusan organisasi dan tarbiyyah
  • Bilangan ahli yang sentiasa bertambah secara dinamik
  • Sumber rujukan harakah dan tarbiyyah yang asli dan berkembang

Kita bertaraf ‘abang long’ bagi organisasi ISMA luar negara yang perlu berkongsi pengalaman pengurusan organisasi dan tarbiyyah dengan ISMA cawangan negara-negara lain. Dalam masa yang sama, kita juga memerlukan perkongsian daripada mereka supaya dapat meningkatkan prestasi amal dakwah di Mesir. Kita perlu luaskan bentuk perhubungan dan juga meningkatkan lawatan kerja ke ISMA cawangan negara lain agar kekuatan yang masing-masing miliki boleh dimanfaatkan dengan lebih luas.

Penutup

Semoga Allah swt mengurniakan kekuatan dan panduan hidayahNya untuk kita sama-sama menjayakan misi menyelamatkan ummah dan seterusnya mendaulatkan Islam di bumi Malaysia tercinta.

Oleh:


 

 

 

Ustaz Shuhaib Ar-Rumy bin Selamat,
Pengerusi,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Mesir

(Ucapan dasar ini telah disampaikan dalam Mesyuarat Agung Tahunan ISMA Mesir kali pertama pada 6 April 2013)

Comments

comments

ISMAMESIR