Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama Penuh Gemilang

Wartawan: Asyraf Kosnan (Jurugambar: Ismail Juffri)

KAHERAH, 6 April: Buat julung-julung kalinya, Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Mesir telah berlangsung di Dewan Seminar LRC, Fakulti Perubatan Universiti Kaherah, Sayeda Zainab di sini siang tadi.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh saudara Muhammad Assiddiq bin Fauzan itu telah didahului dengan penyampaian ucapan dasar oleh pengerusi ISMA Mesir, Ustaz Shuhaib Ar-Rumy bin Selamat.

Dengan inisiatif bagi membuka ruang rundingan meja bulat antara ahli, mesyuarat ini telah dianjurkan dengan jayanya. Ia bertindak sebagai platform perbincangan dan medium interaksi sesama pimpinan pusat ISMA Mesir dengan pimpinan cawangan ke arah melakar arah tuju dan perjalanan organisasi yang lebih cekap pada sesi akan datang.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh beberapa orang ahli perwakilan dan juga ahli pemerhati yang terdiri daripada anggota ISMA Mesir daripada seluruh cawangannya termasuk Madinah Nasr, Iskandariah, Sayeda Zainab, Abbasiyah, Mansurah dan juga Tanta.

“Sebagai seorang ahli ISMA, saya merasa bangga apabila melihat ISMA Mesir telah bertapak selangkah lagi kehadapan”, ujar salah seorang wakil pemerhati yang hadir, saudara Habib bin Abdul Fisol.

Tambahnya lagi, apabila diminta mengulas tentang harapan terhadap ISMA Mesir pada masa akan datang agar dapat berusaha lebih keras dalam menggalas tanggungjawab yang berat kerana perkara ini memerlukan kepada golongan pelapis yang berfikiran matang serta memiliki sifat-sifat murabbi dan pemimpin yang berwibawa.

Selain itu, mesyuarat kali ini turut menyaksikan upacara pelancaran laman web rasmi iTarbiyyah, www.itarbiyyah.com serta perasmian majalah Neesa Naqra (Nena) yang telah disempurnakan oleh pengerusi ISMA Mesir, Ustaz Shuhaib Ar-Rumy bin Selamat. Kedua-dua projek tersebut adalah hasil kerjasama antara Biro Tarbiyyah dan Biro Wanita dengan Biro Media dan Penerangan ISMA Mesir.

Mesyuarat tersebut telah diakhiri dengan sidang media bersama ahli mesyuarat agung tahunan pada kali ini.

Comments

comments

Comments are closed.