Realiti Tarbiyyah Bumi Mesir

Oleh : Dr Irfan bin Mohd Salmi , Graduan perubatan Universiti Kaherah. 

 

Memahami realiti bumi tarbiyah…

Sepanjang tempoh enam tahun setengah keberadaan di Mesir, satu realiti yang saya perolehi adalah proses pembentukan diri bermula dari keinginan yang tinggi dan perancangan yang baik ke atas diri kita sendiri.

Firman Allah s.wt di dalam al-Quran dalam Surah Ar-Ra’d

إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

Imam As-Shahid Hasan Al-Banna pernah menulis dalam risalahnya :

وهي أهداف منها ما يقوم به كل فرد على حدته

Kerana itu ikhwah dan akhawat perlu untuk mempunyai visi dan misi yang jelas. Sifat menunggu untuk ditaujih, sifat mengharapkan orang lain memberi tunjuk ajar, sifat pasif dan tiada perancangan adalah sifat-sifat yang tidak boleh langsung ada dalam kamus kehidupan seorang daie dalam harakah barakah ini.

Al-Banna menyebut dalam Risalah “hal nahnu qaumun amaliyun”

“Setiap Jemaah Islamiah pada zaman ini sangat-sangat memerlukan kepada individu yang bekerja dan berfikir, kepada unsur yang berani dan produktif.”

Muhammad Ahmad Ar-Rasyid menulis dalam bukunya Al-Masar, beliau meletakan kaedah kedua dalam menjadikan sesebuah Jemaah untuk sebuah Jemaah yang mempunyai kesungguhan yang tinggi iaitu;

“Kita hendaklah mengajar da’i bagaimana dia pada musim sejuk lagi sudah membuat jadual untuk melakukan perkara-perkara sekian pada musim panas akan datang. Dia juga hendaklah menyusun bahawa dia akan membaca buku-buku sekian dalam tempoh satu tahun. Dia tidak boleh membiarkan dirinya hanya digerakkan oleh semangat dan kebetulan sahaja, atau ketika teringat sahaja setelah terlupa, atau dia hanya membaca buku-buku yang terpandang oleh matanya tanpa memilih manakah buku yang lebih bermanfaat dan penting. Bahkan kita hendaklah memaksanya membuat jadual dan mengambil langkah-langkah tertentu yang telah dibuat kajian terlebih dahulu.”

 

Kesimpulan yang cuba saya sampaikan di sini adalah, ikhwah dan akhawat perlu duduk seketika sambil merenung dan berfikir secara mendalam. Cuba kenali diri sendiri dan cuba untuk tuliskan di atas kertas apa sebenarnya aku ingin jadi. Kita tidak lagi boleh jadi seperti lalang di padang yang bilamana angin bertiup ke kanan maka ke kanan lah kita pergi dan bila angin bertiup ke kiri maka ke kiri lah kita pergi.

 

Kita sedang berada dalam satu harakah harapan umat yang bilamana salahnya kita menyusun diri kita, maka bertambah jauhnya mereka dari Islam. Bilamana kita bazirkan waktu kita yang amat bernilai ini, maka makin lambatlah kemenangan Islam di negara kita.

 

Ikhwah dan akhawat perlu memiliki pandangan yang jelas apa yang antum akan jadi 10-20 tahun akan datang. Dan juga antum sudah perlu tahu apa yang perlu antum perkemaskan diri bermula dari saat sekarang. Antum sudah perlu tahu “ what and how” untuk diri antum.

 

Jika akhirnya antum mengatakan antum adalah Murobbi yang cemerlang, maka segala selok belok menjadi murobbi perlu antum ketahui sekarang. Buku-buku berkaitan sifat manusia dan cara berhadapan dengannya perlu antum kaji. Permasalahan yang biasa berlaku dalam ikhwah akhwat perlu antum bincangkan.

 

Jika antum mengatakan antum ingin jadi seorang Ustaz dan Ustazah yang cemerlang, maka buku-buku kuliah antum sepatutnya buka dibaca di akhir bulan sebelum peperiksaan. Antum sepatutnya sudah memulakan kajian-kajian dan perbincangan menggunakan buku-buku teras kepada jurusan yang dipilih.

 

Jika antum mengatakan antum ingin jadi seorang haraki yang sebenar. Maka buktikanlah. Pengetahuan mengenai harakah-harakah lain sudah antum baca. Jatuh bangun  umat bermula zaman nabi hingga ke Uthmaniah perlu tersemat dalam hati antum. Kehidupan antum siang dan malam sudah seperti Syahid yang masih hidup.

 

Jemaah yang sedang berkembang ini memerlukan tenaga dari kadernya untuk mengisi kekosongan dalam medan yang pelbagai. Janganlah menjadi terlalu stereotype dan hanya memiliki satu kepakaran sahaja. Carilah nilai tambah pada diri antum, jadilah seorang daei yang mempunyai kemampuan “multitasking”.

 

Mesir bumi yang sangat unik. Darinya datang manusia-manusia agung. Darinya datang Musa Kalamallah yang menyelamatkan bani Israil dari cengkaman raja yang zalim. Darinya datang Saifuddin Qutuz yang berjaya mengumpulkan kekuatan muslimin dan menghentikan kemaraan tentera rakus Tatar. Darinya datang Salahuddin Al-Ayoubi yang membuka semula kota suci Islam Al-Quds.

 

Dan darinya juga datang Firaun, manusia terlaknat yang mengaku tuhan. Darinya juga datang Qarun, manuisa kedekut sombong yang ditelan bumi bersama kekayaannya.

 

Jadi Soalannya, kumpulan mana satu yang antum untuk bersama hasil keberadaan di Mesir ini.

فألهمها فجورها وتقواها  ( 8 ) قد أفلح من زكاها ( 9 )   وقد خاب من دساها ( 10 

 

 

 

 

Comments

comments

Comments are closed.