AKAL Sedarkan Peranan Mahasiswa Terhadap Umat

Wartawan: Syafiq Wan Hazmy  (Jurugambar: Ismail Juffri)

MADINAH NASR, 31 Mac 2013: Dengan kerjasama Biro Dakwah dan Biro Pengkaderan ISMA Mesir, sebuah program penuh manfaat Adakah Kau Lupa? ( AKAL ) telah diadakan di Dewan Utama Markaz ISMA Mesir Madinah Nasr semalam. AKAL kali ini yang bertemakan ‘Adakah Islam Semakin Lemah Sedangkan Aku Masih Hidup?’ mengimbas kembali mahasiswa akan kegemilangan kejayaan tamadun Islam pada zaman terdahulu dan realiti kemelesetan prestasi umat Islam pada masa ini dalam pelbagai aspek, serta mempamerkan solusi terbaik terhadap curam kemeruduman ini.

Ustaz Hassan Bin Basri mahasiswa tahun ke-empat Fakulti Ulum Islamiyyah, Universiti Al-Azhar Kaherah, selaku panelis pertama membawa ahli paserta kembali pada zaman silam ketika pembangunan tamadun Islam yang bermula daripada era Rasulullah sehingga zaman kemuncak kejatuhannya pada pemerintahan Mustafa Kamal Antartuk di Turki pada tahun 1924. Merujuk kepada Ustaz Hasan, rentetan sejarah ini diterangkan dengan jelas dan sahih bagi menyedarkan mahasiswa terhadap potensi sebenar manhaj Islam yang digendong beserta musibah yang telah melanda mahupun akan melanda umat Islam jika Islam dalam diri mahasiswa kini kian rapuh dan lemah.

‘1400 : Formula Kebangkitan Umat’ adalah slot terakhir dalam AKAL semalam yang telah dikendalikan oleh Dr Amin bin Abdul Rahman, graduan Fakulti Perubatan Kasr El Aini, Universiti Kaherah. Menurut beliau kebangkitan tamadun Islam pada sekitar tahun 1400 itu telah menyaksikan tiga formula penting dalam pembangunan sebuah empayar Islam yang jitu. Tiga formula tersebut adalah potensi umat Islam sendiri, proses pembinaan umat Islam dan umat yang dibina haruslah kuat. Justeru Dr Amin menekankan tarbiyyah diri sebagai jalan penyelesaian dengan memberi fokus kepada pembentukan iman yang padu, kefahaman Islam yang sahih serta amal ibadah yang konsisten dan berkembang.

Dengan AKAL, ISMA Mesir berhasrat kepada semua mahasiswa terutamanya di Mesir untuk menguasai sejarah naik turun tamadun Islam, jelas gerak kerja peranan mahasiswa dalam pembangunan empayar Islam serta sering menguatkan ikatan persaudaraan sesama mahasiswa. AKAL semalam yang dihadiri oleh sekurang-kurangnya 70 orang mahasiswa pelbagai latar belakang melabuhkan tirainya pada pukul 9.30 malam.

Comments

comments

ISMAMESIR