Ke Arah Memperkasakan Institusi Ulamak

 Ke Arah Memperkasakan Institusi Ulamak

Keadaan umat yang semakin tenat dengan pelbagai krisis agama, ekonomi, jatidiri memerlukan sekelompok pembimbing yang memandu kepada kefahaman Islam yang sohih berdasarkan Al-Quran dan Sunnah.

Kita sebagai mahasiswa yang sedang menuntut di Universiti Al-Azhar mesti menguasai ilmu syarak dengan sebaik-baiknya. Cabaran yang sedang dihadapi oleh masyarakat Islam di Malaysia sekarang amat memerlukan barisan ulamak yang berwibawa untuk menerangkan tentang Islam dan menjadi sumber rujukan utama kepada masyarakat dalam hal-hal kehidupan samada duniawi mahupun ukhrawi. Peranan agung ini mesti kita fahami dengan jelas dari sekarang.

Kejelasan terhadap peranan utama yang bakal dimainkan oleh kita semua amat penting dalam menyusun perancangan hidup untuk mencapai misi peribadinya. Jadual hidup yang teratur amat membantu untuk kita mengoptimumkan masa dan detik agar ianya bermanfaat dan menambah nilai kepada diri. Khalifah pertama  Abu Bakar As-siddiq yang menggantikan tugasan membimbing umat selepas baginda saw telah menjadikan satu tema yang jelas bagi memandu kepimpinannya. Tema tersebut ialah kata-kata beliau yang masyhur “Adakah aku rela agama Islam mundur sedangkan aku masih hidup?” . Beliau telah melancarkan perang ke atas golongan yang enggan membayar zakat kerana itu adalah duri dalam daging umat yang jika ianya dibiarkan tanpa tindakan tegas, prinsip asas Islam akan semakin longgar dalam diri masyarakat Islam.

Imam Ahmad bin Hanbal, pengasas mazhab Hanbali juga telah memainkan peranan yang amat penting ketika fitnah yang mengatakan Al-Quran itu makhluk mula tersebar di kalangan masyarakat waktu itu. Meskipun diseksa dan dipenjara oleh pemerintah ketika itu, beliau sedikit pun tidak berganjak daripada pendiriannya. Bahkan ketika salah seorang muridnya memujuk beliau untuk bersetuju dengan pandangan bahawa Al-Quran itu makhluk supaya seksaan terhadapnya diringankan; beliau menjawab: “Aku tidak sanggup untuk menyesatkan seluruh umat hanya kerana untuk aku dapat berehat sebentar!”. Inilah contoh ulamak-ulamak yang menjadi pedoman kepada masyarakat dalam segala urusan dunia maupun akhirat.

Minda kecil yang hanya melihat tugasan lepasan agama ini sebagai lebai kampung yang sekadar membaca doa dan mengurus hal kematian adalah salah. Anjakan paradigma yang major perlu dilakukan untuk kita melihat peranan yang lebih luas dan universal. Tugasan kita sama taraf barisan menteri kabinet dan ahli parlimen di Dewan Rakyat.  Kita yang akan memastikan negara Malaysia akan sentiasa mendaulatkan Islam sebagai agama negara dan dasar-dasar serta polisi Negara tidak bercanggah dengan syarak. Besar dan berat tugasan ini dan segala persiapan rapi perlu dilakukan dari awal supaya ulamak yang akan pulang ke Malaysia nanti mampu berkhidmat dengan baik.

Kita juga seharusnya melengkapkan penguasaan ilmu syarak itu dengan kemahiran-kemahiran tambahan untuk kompeten dalam bersaing dalam arus dunia baru yang semakin mencabar. Seseorang ulamak seharusnya bijak mengambil inisiatif kendiri bagi meningkatkan nilai tambah dalam dirinya seperti kemahiran pengucapan umum, kemahiran organisasi, kemahiran menulis dan pelbagai lagi bidang yang berkait rapat dengan tugasan ulamak dalam memandu umat ke arah kebenaran. Jika kita masih bersikap acuh tidak acuh dalam perkara ini, kita tidak mampu menjalankan peranan besar itu dengan cemerlang dan berhikmah. Orang lain yang tiada asas agama dan tiada autoriti yang akan menggantikan ruang kosong yang kita biarkan lompong itu.

Salah satu rahsia utama dalam melahirkan ulamak yang berwibawa adalah sikap mendampingi ulamak muktabar dan ilmu itu sendiri. Kita mesti melazimi dengan menghadiri kelas pengajian ilmu yang diajar oleh para ulamak besar di universiti maupun di masjid-masjid. Kata pepatah Arab menyatakan “ Ilmu itu didatangi bukannya mendatangi”. Hubungan akrab dan intim dengan para ulamak besar dan masyayikh di bumi Al-Azhar ini adalah satu kemestian untuk kita bagi menadah sebanyak mungkin ilmu yang mereka miliki untuk kita memahami ilmu syarak. Ribuan kisah para sahabat dan tabiin dalam mendampingi guru mereka seharusnya dijadikan contoh tauladan oleh kita. Amat malang  jika kita berada di Mesir tapi tidak dapat mengenali secara rapat para ilmuan Islam di kota ilmu ini.

Tidak cukup setakat itu, kita perlu melatih membuat kajian akademik berkaitan sesuatu isu dalam masyarakat. Cabaran yang dihadapi oleh mahasiswa di Mesir ialah kekangan sistem pembelajaran yang sangat tertumpu kepada ilmu di dalam buku tanpa mengaitkan atau mengaplikasikan ilmu tersebut dalam permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat di Malaysia. Latihan mengeluarkan fatwa dan ijtihad dalam konteks Islam di Malaysia perlu dipergiatkan dan budaya perbincangan ilmiah juga perlu disuburkan di kalangan mahasiswa di sini.

Sebagai penutup kata, kita perlu berusaha untuk meningkatkan keupayaan ilmu dan kemahiran kendiri agar kita mampu memainkan peranan sebagai ulamak berwibawa di tanah air nanti. Masa depan Islam berada di tangan kita semua.

Ust Shuhaib Ar-Rumy Selamat
Pengerusi ISMA-Mesir

 

Comments

comments

ISMAMESIR