ISMA-Mesir Cantas Teori ‘Negara Islam’ IRF

 ISMA-Mesir Cantas Teori ‘Negara Islam’ IRF

Wartawan: Syafiq Wan Hazmy (Jurugambar:Nawal Mazlan)

MADINAH NASR, 18 Mac 2013: Kenyataan Dr. Ahmad Farouk Musa, pengerusi dan pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) yang mendakwa bahawa pembikinan ‘Negara Islam’ di Malaysia pada zaman ini adalah tidak relevan sama sekali, dicantas oleh Ustaz Mohd Suhail Bin Mohd Sufian, Setiausaha ISMA Mesir dalam sebuah forum yang menjemput beliau sebagai ahli panel baru-baru ini.

Dakwanya juga, demokrasi yang digunapakai di Malaysia tidak boleh berkekalan sampai bila-bila kerana sistem demokrasi itu sendiri yang akan melunturkan nilai-nilai estetika Islam dalam pemerintahan.

Forum tersebut merupakan antara acara kemuncak dalam program Konvensyen Negara Islam anjuran ISMA Mesir pada 15 Mac yang lalu dengan bertajukkan ‘Negara Islam : Antara Kewajipan Syarak dan Retorika Semasa’. Konvensyen tersebut telah diadakan di Dataran Kompleks Rumah Negeri Hayyu Asyir, di sini dengan kehadiran mahasiswa dan mahasiswi mencecah sekurang-kurangnya 500 orang.

Dalam pada itu, menurut Ustaz Ahmad Syamil Bin Mohd Esa, Exco Akademik dan Latihan ISMA Mesir juga dalam forum yang sama, masyarakat masa kini telah didoktrin dengan jayanya akan kemustahilan penegakan sebuah Negara Islam. Menurut beliau lagi, hal ini merupakan rentetan daripada kisah tragis kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924.

Buktinya, sejurus selepas penggulingan Khalifah Sultan Abdul Hamid, Sheykh Rashid Redha telah berkali-kali menghantar surat kepada semua pemimpin Islam pada masa itu untuk bersatu menegakkan kembali sistem khilafah namun gagal. Kata Ustaz Syamil lagi, perjuangan tersebut diteruskan oleh As-Syahid Iman Hassan Al-Banna dengan membentuk gagasan (jemaah) yang masih berterusan sehingga sekarang.

Tambahan pula, dengan mengesyorkan slogan ‘Melayu Sepakat, Islam Berdaulat’, ‘Membangun Umat Bergenda’ dan ‘Membina Generasi Harapan’, Ustaz Qamarul Naim Bin Mohd Faizal, Exco Tarbiyyah ISMA Mesir membentang solusi terhadap isu yang dibincangkan.

Menurut beliau slogan-slogan yang dilaungkan ini bukanlah retorik semata malah adalah senjata ampuh mengikut tasawur syar’ie dan waqi’ (realiti) sekarang. Selain itu, Ustaz Qamarul juga menekankan bahawa segala solusi akhirnya kembali kepada diri individu untuk menerapkan kafahaman Islam yang sohih dan amalan yang benar.

ISMA Mesir sentiasa mencari ruang perbincangan dalam kalangan semua badan berorganisasi mahupun individu di Mesir bagi membahas, berbincang lantas menyelesaikan masalah kritikal yang melanda umat Melayu Islam di Malaysia mahupun di Mesir. Ini kerana kerjasama sebegini dilihat sebagai satu batu loncatan untuk umat Islam di Malaysia tanpa mengira bangsa menggarap Malaysia sebagai Negara Islam.

Comments

comments

ISMAMESIR