Perpaduan Lebih Kukuh Di Luar Sistem Demokrasi

 Perpaduan Lebih Kukuh Di Luar Sistem Demokrasi

Wartawan: Nur Fatin Halil

KAHERAH, 17 Mac: “Sistem demokrasi barat tidak akan membawa perpaduan kepada umat Islam di Malaysia”. Begitulah dakwaan yang dibawakan oleh Ustaz Mohd Suhail Mohd Sufian dalam muqaddimah pembentangan kertas kerjanya yang bertajuk “Kesan Sistem Demokrasi Terhadap Kesatuan Umat Islam Di Malaysia” di Konvensyen Negara Islam yang berlangsung di Dataran Rumah Negeri, Hayyu Asyir.

Untuk menguji sejauh mana kebenaran dakwaan ini, beliau mengupas perbahasannya di sekitar 3 kata kunci iaitu; demokrasi, perpaduan dan konteks Malaysia.

Beliau membawa hadirin berfikir bahawa langkah pertama yang harus dilakukan jika inginkan Malaysia menjadi sebuah negara Islam adalah dengan menyelesaikan isu kesatuan dan perpaduan. Kesatuan dan perpaduan pula dikaitkan dengan pengamalan demokrasi.

Beliau menjelaskan bahawa sudut pandang demokrasi dan perpaduan yang dilihat oleh barat dan Islam adalah jauh berbeza. Jika demokrasi tulen dari barat yang menjadi rujukan, maka perpaduan tidak akan dicapai.

Maka, adakah Malaysia mengamalkan demokrasi tulen dari barat?

Persoalan ini terjawab dengan rentetan sejarah pengamalan demokrasi di Malaysia dan membuktikan bahawa Malaysia tidak mengamalkan demokrasi barat. Keharmonian dan kemajuan yang dapat dirasai di Malaysia menunjukkan bahawa ia dapat dicapai tanpa mengikut telunjuk barat.

Memetik komentar beliau, “Malaysia sememangnya belum mencapai tahap kegemilangannya hingga saat ini. Saya meyakini bahawa jika Islam menjadi rujukan dan sistemnya digunakan secara menyeluruh, pastinya Malaysia boleh melangkah lebih jauh ke hadapan”.

Beliau menghuraikan lagi; “Islam dan demokrasi umpama air dan minyak. Kita akan mengatakan bahawa air yang bercampur dengan minyak adalah tidak suci. Walaupun Malaysia tidak mengamalkan demokrasi barat, namun sistem demokrasi yang tetap dilaksanakan bukanlah dari Islam. Pengamalan demokrasi kini adalah dalam keadaan pengecualian. Pelaksanaannya harus dilakukan pada kadarnya. Kita tidak mengiktiraf demokrasi sebagai sistem yang sempurna. Sistem Islam jauh lebih sempurna”.

Di akhir pembentangan, beliau membawakan cadangan penyelesaian untuk masalah perpaduan adalah dengan keluar dari konteks politik kepartian. Perpaduan dapat dikuatkan di luar sistem demokrasi. Yang paling penting adalah dengan kembali kepada Islam dengan menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utama.

 

 

Comments

comments

ISMAMESIR