Malaysia Masih Belum 100 Peratus Negara Islam

 Malaysia Masih Belum 100 Peratus Negara Islam

Wartawan : Mohd Khairil Alias (Jurugambar: Siddiq Mohd Amin)

KAHERAH, 17 Mac: “Mengatakan Malaysia adalah sebuah Negara Islam 100% adalah kurang tepat, tetapi mengatakan Malaysia adalah negara bukan Islam adalah jauh sekali tidak tepat”. Berikut kenyataan Ustaz Qamarul Naim Mohd Faizal, Exco Tarbiyyah ISMA Mesir dalam sesi pembentangan kertas kerja yang bertajuk Negara Islam: Sejauh Mana Perlaksanaannya di Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam program Konvensyen Negara Islam yang diadakan di Dataran Kompleks Rumah Negeri Hayyu Asyir, Madinah Nasr di sini tempoh hari. Kenyataan tersebut ditegaskan lagi oleh beliau dengan satu hadis yang direkodkan oleh Al-Mawardi dalam kitab Al-Ahkam As-Sultaniah iaitu “Dar Al-Islam menghalangi apa yang ada padanya dan Dar As-Syirk membenarkan apa yang ada padanya”.

Kertas kerja beliau mempunyai tiga slot utama yang terbahagi kepada sirah tentang konsep negara Islam, negara Islam dalam perspektif syarak dan undang-undang negara yang menyokong Islam sebagai agama persekutuan.

“Sekiranya seorang muslim itu tidak mempunyai khuduk (tunduk) dan inkiyadh (patuh), mereka muslim yang celaru,” tambah beliau lagi.

Dalam slot ketiga menyentuh berkenaan undang-undang negara yang menyokong Islam sebagai agama persekutuan, Ustaz Qamarul Naim menyebut satu peristiwa yang dimanipulasi apabila kenyataan Tun Salleh Abas disalahertikan tentang status negara Malaysia sebagai sebuah negara sekular.

Memetik dari fasal kesimpulan kertas kerja tersebut beliau turut menyatakan bahawa, “Dar Islam dan Dar Harb dapat dibezakan dengan kewujudan penegakkan hukum Islam didalamnya. Kita bukan berada di antara Dar Harb dan Dar Islam, tetapi kita sedang berada di dalam negara-negara umat Islam. Maka, wajib bagi kita untuk mempertahankan, menjaga dan mengutuhkan negara ini daripada segala serangan musuh-musuh Islam yang ingin menjajah negara ini secara fizikal ataupun ideologi”.

Kertas kerja penuh boleh didapati dari laman web rasmi ISMA-Mesir.

Comments

comments

ISMAMESIR