Memecah Blok Sempit Dalam Kalangan Mahasiswa : KNI 13

Wartawan:  Nur Afifah Hanani Azrai

KAHERAH, 15 Mac: Bertempat di Kompleks Dataran Hayyu Asyir, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Mesir buat julung-julung kalinya telah mengadakan Konvensyen Negara Islam. Program anjuran Biro Dakwah ISMA Mesir ini telah berjaya dihadiri oleh hampir 500 orang mahasiswa dari seluruh cawangan Kaherah, Iskandariah, Tanta dan Mansurah.

Konvensyen ini bertujuan mengetengahkan isu pembangunan sebuah Negara Islam dan membangkitkan kesedaran mahasiswa akan kepentingan mendirikannya, sekaligus berusaha ke arah merealisasikannya.

Selain itu, konvensyen ini juga meningkatkan kepekaan mahasiswa terhadap agenda musuh yang berterusan menyerang pemikiran umat Islam tanpa disedari.

Pembentang  kertas kerja pertama, Ustaz Qamarul Naim Mohd Faisal, pelajar Master di American Open University menjelaskan, bahawa mengatakan Malaysia adalah Negara Islam 100% adalah tidak tepat. Namun mengatakan Malaysia bukan Negara Islam adalah lebih jauh tidak tepat.

“Malaysia adalah Negara Islam yang ‘tempang’, yang serba kekurangan, yang perlu dibangkitkan dan dibangunkan sistem Islam di dalamnya’’, jelas beliau lagi dalam pembentangannya yang bertajuk ‘Adakah  Malaysia Sebuah Negara Islam’.

“Sebagai umat Islam, kita memilih untuk turut serta dalam sistem demokrasi pada kadar yang optimum; dengan meletakkan adab dan prinsip Islam di hadapan, dan mengimani bahawa siasiah (politik) dan sistem demokrasi ini dijalankan dalam keadaan darurat dan bukannya keadaan asal,” demikian ucapan pembentang kertas kerja kedua oleh Ustaz Mohd Suhail Mohd Sufian yang bertajuk ‘Prinsip dan Cabaran Perpaduan Umat Islam di Malaysia dalam Sistem Demokrasi’.

Konvensyen kemudiannya dihangatkan dengan sesi forum ‘Antara Kewajipan Syara’ dan Retorika Semasa’. Forum ini telah menampilkan barisan panelis dan moderator yang juga merupakan JKP ISMA-MESIR iaitu Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa, Exco Akademik dan Latihan, Ustaz Mohd Suhail Mohd Sufian, Setiausaha ISMA-Mesir, Ustaz Qamarul Naim, Exco Tarbiah dan saudara Syed Ahmad Isra’ Syed Ibrahim, Exco Pengkaderan.

“Kenapa kami (ISMA) bersungguh-sungguh menerangkan tentang ideologi-ideologi ini (demokrasi, liberalisme, pluralism dan sebagainya), kerana kita melihat kepentingan untuk menjaga perkara tersebut dari memasuki anak muda kita hingga mencelarukan dan mencairkan kefahaman Islam dan identiti kita (Islam),” tegas Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa dalam sesi penggulungan forum.

Program turut dimeriahkan dengan alunan nasyid  oleh kumpulan Fetya, deklamasi sajak bertajuk ‘Armada’ dan pameran berkaitan sejarah tamadun Islam khususnya empayar Melayu Melaka dan tamadun Andalusia.

Lagi gambar program sila layari laman sosial facebook ISMA Mesir

Comments

comments

Comments are closed.