Insiden Lahad Datu: Isu Kedaulatan Negara

Oleh: Ainun Mardhiah Jamaluddin, Tahun 5 Perubatan, Universiti Tanta.

Baru-baru ini kepulauan Borneo tanah air menyaksikan peristiwa berdarah yang mengorbankan dua perajurit negara dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dengan penceroboh dari Filipina. Penceroboh yang menggelar diri mereka sebagai ‘waris Kesultanan Sulu’ tersebut berlayar ke Negeri Di Bawah Bayu dengan misi untuk menuntut semula tanah yang didakwa warisan Kesultanan Sulu. Sementara itu, tragedi yang serupa juga berlaku di Semporna pada hari berikutnya.

Di samping respon pembangkang yang mendakwa kes ini merupakan permainan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan ikhtiar kerajaan untuk terus mempertahankan kredibilitinya dalam pengurusan negara, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman dalam sebuah laman sosial berkata bahawa insiden tersebut berkaitan dengan kedaulatan negara. Justeru, hal ini tidak boleh dipandang enteng dan perlu kepada pembelaan. Sebarang kompromi boleh menyampaikan mesej yang salah bahawa kerajaan tidak mampu menjaga kedaulatan Malaysia.

Beberapa pihak turut mengaitkan pergolakan ini dengan campur tangan pihak ketiga dalam usaha menggugat keamanan negara. Jika perkara ini benar, maka ianya memberi amaran bahawa peristiwa ini bukan sekadar perebutan tanah warisan bahkan merupakan isu antarabangsa. Adapun pihak lain menuntut supaya dikaji semula fakta sejarah sekaligus menimbang kembali relevan tuntutan tanah tersebut.

Berbicara mengenai kedaulatan yang membawa definisi kekuasaan tertinggi atau kekuasaan yang tidak terletak dibawah kekuasaan lain, secara umumnya terbahagi kepada dua aspek. Pertama, aspek internal iaitu kekuasaan tertinggi untuk mewajibkan rakyatnya agar mentaati peraturan-peraturan negara sehingga terselenggaranya ketertiban hukum dalam negara. Kedua, aspek eksternal iaitu kekuasaan untuk mempertahankan kemerdekaannya daripada serangan dari negara lain.

Seorang ahli falsafah, John Bodin (1530-1596) dalam bukunya ‘Six Books Cancerning The State’ menegaskan kedaulatan adalah kuasa tertinggi yang terdapat dalam sesuatu kesatuan negara iaitu kuasa tertinggi ke atas warganegara dan rakyat wilayah itu. Kuasa tertinggi menurut beliau dimiliki oleh golongan raja atau pemerintah yang memiliki kuasa daulat (mutlak). Beliau malah berpendapat bahawa apabila negara tanpa kekuasaan maka tidak ada negara.

Dalam konteks Malaysia, kedaulatan memainkan peranan yang penting dalam menghadapi era globalisasi sehingga meletakkan negara amat dihormati oleh pihak luar. Masyarakat Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dirumuskan sedang menghadapi cabaran ke arah pembentukan sebuah negara bangsa yakni bangsa Malaysia. Persoalannya, generasi kini yang mewarisi konsep masyarakat majmuk di negara ini masih menghadapi lima impak segmentasi zaman kolonial British.

Masyarakat kini masih belum secara sepenuhnya menjiwai konsep bangsa Malaysia sebagaimana terkandung dalam cabaran pertama Wawasan 2020 yang begitu prihatin terhadap soal perpaduan masyarakat di Malaysia. Masalah perpaduan yang belum selesai ini dibayangi pula dengan arus globalisasi yang cuba melenyapkan tamadun sesuatu bangsa mengikut kehendak Barat. Hanya bangsa yang benar-benar utuh dapat menangkis ancaman globalisasi yang dianggap cuba mengubah darjah corak kehidupan masyarakat di negara ini.

Oleh hal demikian, aspek ketahanan jatidiri yang berteraskan kepada kekuatan mental dan spiritual akan menjadi benteng yang paling berkesan menangani serangan globalisasi. Jatidiri dalam ertikata sebuah bangsa yang memiliki ketinggian akhlak dan keperkasaan tamadun mengikut acuan nilai-nilai kemasyarakatan. Kekuatan jatidiri merangkumi aspek pertimbangan moral iaitu mempunyai daya pertimbangan yakni membezakan antara yang benar dan palsu.

Di samping itu, benteng jatidiri seseorang individu harus disulam dengan semangat patriotisme dan nasionalisme dalam ertikata mempertahankan kedaulatan negara serta memiliki nilai kesetiaan yang tak berbelah bagi terhadap bangsa dan negara. Kekuatan dalaman perlu lahir dalam bentuk yang paling mantap tanpa dipisahkan oleh faktor geografi, kepelbagaian kaum, umur, gender dan sebagainya.

Fenomena pembinaan jatidiri yang kukuh di kalangan masyarakat khususnya di Malaysia sememangnya penting tatkala negara mengalami masalah seperti ‘serangan’ ekonomi oleh spekulator indeks yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menjatuhkan nilai matawang negara-negara membangun termasuklah di rantau Asia Tenggara.

Memetik kupasan Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna tentang patriotisme dalam Risalah Dakwah Kita, beliau menyatakan garis pemisahan sempadan patriotisme seorang Muslim sebenar berbanding seorang pejuang patriotisme semata seperti berikut, “Apa yang membezakan kita dengan mereka ialah kita meletakkan sempadan patriotisme kita ialah akidah. Sementara mereka meletakkan sempadan patriotisme mereka ialah sempadan geografi.

Sebenarnya setiap ceruk bumi yang terdapat seorang muslim yang menyatakan, “Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah” ia adalah bumi dan tanahair yang kita hormati, hargai, cintai dan kita serahkan keikhlasan serta jihad kita demi kebaikannya. Sementara setiap orang Islam yang berada dalam kawasan geografi ini adalah keluarga dan saudara kita yang kita berikan perhatian dan berkongsi bersama segala masalah mereka.

Ini berbeza dengan pejuang patriotisme. Mereka hanya mengambil perhatian kepada sebidang tanah yang kecil dan sempit. Perbezaan ini lebih ketara apabila mereka berusaha memperkukuhkan kekuatan mereka dengan menindas bangsa lain. Kita tidak rela melakukannya jika ia menyebabkan penindasan kepada mana-mana bumi Islam. Kita hanya menuntut perkara yang membawa kekuatan kepada semua.

Bagi pejuang patriotisme, mereka tidak melihat ini sebagai suatu masalah. Oleh itu berlakulah keretakan dalam hubungan antara negara Islam, kekuatan negara Islam semakin lemah dan peperangan tercetus sesama sendiri akibat percaturan pihak musuh ”.

Konklusinya, gandingan mantap seluruh jiwa raga rakyat perlu dalam konteks menjaga kedaulatan negara daripada dibolosi oleh anasir-anasir luar yang boleh merobek kedaulatan serta keharmonian adat dan budaya masyarakat di Malaysia. Rakyat perlu berganding bahu dan bersatu hati dalam menjamin keselamatan negara sentiasa berada dalam tahap yang optima kerana kelekaan dalam soal mempertahankan benteng negara akhirnya boleh membawa kepada neo-kolonialisme. Oleh itu, soal mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara merupakan tanggungjawab kolektif seluruh rakyat.

Sumber: 

http://www.bharian.com.my

http://id.shvoong.com/law-and-politics/politics/2157358-pengertian-kedaulatan/

KEDAULATAN DAN KESELAMATAN NEGARA TANGGUNGJAWAB BERSAMA (http://repo.uum.edu.my/1838/1/21.pdf)

Himpunan Risalah Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna

Comments

comments

Comments are closed.