Segumpal Daging

 Segumpal Daging

Oleh : ‘Atiqah Mohamed Ayob, Tahun 2 Kuliah Pergigian Universiti Al-Azhar

Medan Mu’tah.

Bukan pertempuran biasa. Mereka depani Romawi Nasrani yang ratusan ribu kekuatannya. Namun, mereka juga tidak kurang hebat. Untuk kesekian kalinya, inilah medan tempur yang menyaksikan kekuatan Muslimin yang ramai. Hingga mendapat julukan ‘ghazwah’, meskipun Baginda SAW tidak turut sama.

Kata Rasulullah SAW kepada bala tenteranya, seperti yang diriwayatkan Bukhari ; “ Amir (ketua) kamu ialah Zaid ibn Harithah. Jika Zaid gugur, maka Ja’far menggantikannya. Jika Ja’far gugur, Abdullah ibn Rawahah menggantikannya. Jika Abdullah gugur, maka hendaklah kamu pilih orang yang kamu suka menjadi ketua kamu.”

Kedua-dua pasukan bersiap siaga. Laungan takbir bergema antara dentingan pedang dan derapan larian  kuda. Sungguh Mu’tah menyaksikan pertempuran yang luar biasa.

Bahkan, tersingkap bukti kenabian Muhammad SAW, penutup sekalian nabi. Meskipun Rasulullah SAW nun di Madinah sana, namun Allah SWT telah menganugerahkan kepada Baginda SAW kemampuan melihat keadaan yang melakari Mu’tah ketika itu. Malah, Baginda SAW juga dapat mendengar apa yang dibualkan dan mengkhabarkan kepada para sahabat yang di Madinah, siaran secara ‘live‘ tentang apa yang berlaku.

Termasuklah ketika mana panji Islam silih berganti, disambut kuat antara tiga pimpinan sahabat ; Zaid – Jaafar – Abdullah Ibn Rawahah, dan akhirnya Khalid Al-Walid. Rasulullah SAW bercerita secara langsung insiden tersebut buat para sahabat di Madinah.

Dan Rasulullah SAW juga turut mengkhabarkan kepada para sahabat, tentang nikmat syurga yang sedang dinikmati 3 pimpinan sahabat tersebut.

“Kata Rasulullah SAW, dalam mafhumnya”, tutur sahabat saya, “2 daripada 3 sahabat ini di kedudukan syurga yang tinggi. Cuma seorang lagi, kedudukan syurganya rendah sedikit.”

Pandangan mata tepat dijatuhkan ke arahnya, “Kenapa?”

“Kerana, bila panji hendak beralih ke tangan Abdullah Ibn Rawahah, hatinya terdetik sedikit keraguan. Niatnya mutaraddud (berbolak-balik).”

Seakan ditimpa satu bebanan. Telinga-telinga yang mendengar melepaskan nafas yang dalam. Dan jiwa seperti  mengah ; atas kisah hati buat pendiami Syurga tiga perwira Mu’tah.

 

Segumpal Daging

Menguruskan segumpal daging dalam diri yang bernama hati ini, rumit.

 

Ada ungkap kata menyatakan, berbolak-baliknya hati ini, umpama air yang mendidih.

Terkadang, bila peroleh kebaikan dan manusia puji-puji bagai, dengan mudah-mudah hati berbunga bangga. Lupa yang kebaikan itu Allah yang kurnia, tetapi dirasakan dirinya sudah cukup sempurna. Dirasa seakan dirinya lebih istimewa. Seakan dirinya mengatasi lain-lain manusia.

Terkadang, bila membuat khilaf atau kesalahan dan manusia kritik komen terus-terusan, dengan mudah-mudah hati tenggelam dalam amarah. Mula merajuk. Mula terasa. Atau bentak-bentak ; “salah sikit je pun, kecoh, macam dia tu baguss sangat.”

Lupa yang khilaf itu tanda kita manusia. Manusia yang tidak pernah sempurna. Terlupa juga bahawa kritik, komen, teguran dan nasihat itu ; sebahagian daripada pelajaran hidup yang Allah kurnia.

Menuntun hati, agar di permulaan pertengahan – mahupun pengakhiran sesudah suatu amal, agar tetap merendah kerana Allah, sungguh tidak mudah. Bila terkadang dipuji atau dikritik, seringkali respon/tindak balas pertama hati, seperti itulah.

Barangkali, manusia tidak tahu apa yang bergumam-gumam dalam hati. Tengah bentak-bentak atau tengah terbuai-buai ditiup angin puja-puji.

“Namun ketahuilah,” kata Muhammad Qutb di dalam buku Qabasat min arRasul, “Sesunggunya tidak tersembunyi kepada Allah sesuatu pun benda yang tersembunyi. Bagaimana kamu hendak berselindung daripada-Nya, sedangkan kamu menghadap kepada-Nya? Bagaimana kamu mampu melakukan satu kerja yang tidak dilihat-Nya? ”

Muhammad Qutb turut membawakan beberapa dalil untuk kita renungi ulasannya di bawah tajuk “Kamu beribadah kepada Allah seakan-akan kamu melihat-Nya”, yang termaktub dalam buku yang sama ;

 

وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ وَنَعۡلَمُ مَا تُوَسۡوِسُ بِهِۦ نَفۡسُهُ ۥ‌ۖ وَنَحۡنُ أَقۡرَبُ إِلَيۡهِ مِنۡ حَبۡلِ ٱلۡوَرِيدِ

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya” [1]

 

يَعۡلَمُ خَآٮِٕنَةَ ٱلۡأَعۡيُنِ وَمَا تُخۡفِى ٱلصُّدُورُ

“Allah mengetahui pengkhianatan (penyelewengan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati.” [2]

 

Ya Allah, hinggakan pada pengkhiatan mata! Mata yang meng’usha’, mata yang terpana pada raut wajah yang Allah gesa supaya tundukkan pandangan mata! Pandangan mata yang dia kira, dia seorang sahaja yang tahu, rasa dan fahami. Sungguh itu tidak lepas dari pengetahuan Allah SWT!

Hinggakan pada hati yang was-was! Hinggakan pada lintasan hati dan fikiran yang bermain-main dalam dirinya sendiri. Dia mengira, semua itu sekadar dalam diri dan hati, sedang manusia lain tak ketahui. Tak dengar. Tetapi sedarilah, hakikatnya Allah tahu!

Sungguh, tiada satu pun, terselindung di balik pengetahuan Allah yang Maha Mengetahui!

 

Di posisi manakah kau, hati?

Bila membayangkan kedudukan diri di akhirat nanti, dengan kedaan hati yang sebegini… entah di kedudukan manakah kita kelak ?

Tiga perwira Mu’tah barangkali dibezakan sedikit kedudukan di syurga, kerana ragu untuk memikul amanah ummah. Inikan pula hati yang sering tersilau dengan pesona dunia, tergiur dengan kerehatan dan hawa yang memperdaya.

Allahu Allah…

هُوَ ٱجۡتَبَٮٰكُمۡ وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِى ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٍ۬‌ۚ

“Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.” [3]

Bila sedari, hati yang kian menjauh dari rangkulan Ilahi. Kemudian, hati ini keliru untuk tuju ke mana, bersandar kepada siapa dan tersasar longlai di tengah kontangnya tipuan dunia… Ketika itu, sentuhan sapaan-Nya memimpin jalan kembali.

Kembali pada pangkuan Rabbani.

“Berdoalah pada-Ku, nescaya Aku perkenankan” – Berdoalah kepada Aku untuk mencapai semua perkara. Berdoalah kepada Aku (pada perkara yang kamu pinta) supaya Aku menolong kamu membersihkan jiwa kamu dari kotoran perjalanan.

Seperti itulah Muhammad Qutb nukilkan. Dan seperti itu jua yang telah Tuhan kita firmankan.

 

Agar Sejahtera.

Nabi SAW telah bersabda di dalam doanya,

اللهم إنى أسألك قلبا سليما

“ Ya Allah aku memohon kepada-Mu hati yang sejahtera!”

 

Abdul Qadir al-Kailani pula melalui ucapannya ada  mengingatkan ;

كن صحيحا فى السر : تكن فصيحا فى العلانية

“Jadilah kamu orang yang benar dalam rahsiamu (sendiri-sendiri), nescaya engkau menjadi orang yang fasih di tengah keramaian”

Perjalanan hayat ini penuh tanda tanya. Entah bila penghujungnya dan entah apa yang menjengah untuk menguji siapa di antara kita yang paling baik amalannya ; entah kita tidak tahu. Benar-benar tidak tahu.

Tetapi, selamanya keyakinan kita tetap kuat dan kita tetap bermujahadah sehabis daya. Bahkan, tetap selamanya percaya bahawa ; untuk menguruskan segumpal daging di dalam diri yang bernama hati ini, kita tidak bersendiri.

Allah SWT telah kurniakannya kepada kita, pastinya Dia juga yang akan menuntun kita memeliharanya.

 

اللهم ارزقنا الإخلاص في العمل والثبات على الطريق

إنك تعلم خائنة الأعين و ما تخفي الصدور

 

—–

[1] Qaaf : 16

[2] Ghafir : 19

[3] al-Haj: 78

Comments

comments

ISMAMESIR