Bentuk Kefahaman Batas Pergaulan Menurut Acuan Syarak

Wartawan: Hatta Hamzah (Jurugambar: Wan Ahmad Izzat)

MADINAH NASR, 24 Februari: Hukum asal muamalah antara lelaki dengan wanita adalah terlarang. Hal ini demikian apabila ulama melihat banyak hadis nabi dan ayat-ayat Al-Quran yang menyuruh wanita itu untuk tidak bertemu dengan lelaki. Baginda S.A.W. juga seringkali mengingatkan isteri-isteri baginda tentang perkara ini melalui ayat-ayat Al-Quran seperti, hendaklah kamu duduk tenteram di rumah kamu dan janganlah kamu berhias sepertimana orang jahiliah”, begitulah pengukuhan yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa ketika forum Bila Baju Melayu Bertemu Baju Kurung berlangsung di sini semalam.

Beliau juga turut menambah, “Meskipun hukum asalanya adalah dilarang, namun ia dibolehkan sekiranya terdapat kepentingan-kepentingan tertentu yang ingin dilaksanakan. Contohnya, seperti ada pengajian atau ta’lim, ketika belajar dalam kelas, ketika jual-beli, atau di mana sahaja  yang  ada keperluan di situ”.

Selain itu, peranan rakan sebaya juga dititikberatkan dalam mengatasi permasalahan ikhtilat yang semakin menjadi-jadi dewasa ini.

“Misal kata, sekiranya kita mempunyai perbincangan di dalam kelas yang memerlukan percampuran antara lelaki dengan perempuan, pastikan kita terlebih dahulu mencari sahabat-sahabat yang boleh bersama-sama membantu menjaga diri ini daripada sebarang perhubungan terlarang”, ujar saudara Mohamad Saif bin Jamaludin, pelajar perubatan tahun enam Universiti Kaherah sebagai panel jemputan pada acara yang sama malam tadi.

Forum tersebut merupakan program kelolaan ISMA Mesir cawangan Madinah Nasr berlangsung di dewan Masjid Tantawi, Hayyu Sabie’. Dan antara objektif yang diletakkan adalah untuk memberikan kefahaman sebenar tentang batas pergaulan menurut syariat Islam selain memandu masyarakat mahasiswa di Mesir ke arah pembinaan rumah tangga yang bahagia dan berkekalan.

Ketika sesi penggulungan, Ustazah Maryam Mohd Din selaku ahli panel kedua telah mengingatkan para tetamu yang hadir untuk sentiasa memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

“Tidak dapat tidak, segala-galanya adalah berbalik kepada diri kita sendiri. Semua permasalahan mampu diselesaikan sekiranya kita berbalik pada diri sendiri terlebih dahulu. Jauhi diri daripada terperangkap dalam segala bentuk fitnah serta sentiasa berusaha untuk membentuk diri menjadi muslim yang baik sepanjang masa”, tambah beliau lagi.

Forum tersebut telah dihadiri oleh lebih kurang 100 orang yang terdiri daripada kalangan mahasiswa serta mahasiswi. Semoga usaha seumpama ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang ke arah melahirkan peribadi muslim yang mantap dalam segenap ruang kehidupan.

Gambar program sila layari laman sosial facebook ISMA Mesir.

Comments

comments

Comments are closed.