Saranghaeyo : Mengutip Hikmah Dari Korea.

Wartawan : ‘Atiqah Mohamed Ayob (Jurukamera : Aishah Kamilia Hani Rosli)


MADINAT NASR, 17 Februari : Disamping kemajuan teknologi seperti SAMSUNG, Korea turut dikenali  dengan sikap masyarakatnya yang berdaya saing, menepati masa, tekun, konsisten dan tersusun. Itulah antara yang dikongsikan oleh saudari Iffah Fadhilah, mahasiswi Seoul University Korea,  kepada mahasiswi Kaherah yang menyertai  ‘Saranghaeyo’ di Markaz ISMA-Mesir Hayyu 7 semalam.

“Seorang hukama’ mengungkapkan bahawa, apabila kamu berjumpa seorang mukmin, kamu akan terjumpa semua faktor kejayaan padanya. Ini bererti, jika ada 10 kebaikan di dalam diri warga Korea, maka sebagai seorang mukmin, perlu ada 40 kebaikan yang mereka tiada, ada dalam diri kita”, ujar saudari Khairah Abdul Halim, Ketua Wanita ISMA-Mesir, selaku panelis ke-3 di dalam slot ‘Story Telling’.

“Hikmah merupakan barang orang mukmin yang tercicir. Maka bila kita dapati kebaikan yang ada pada masyarakat Korea, kita ambil dan teladani”, ujarnya lagi.

Saudari Siti Zulaikha, yang merupakan penuntut di Inha University pula telah mendedahkan realiti kehidupan masyarkat Korea yang menggilai kecantikan, kemewahan dan hiburan.

“Iklan galakan membuat plastic surgery sudah menjadi kebiasaan. Anak-anak yang cemerlang juga akan dihadiahkan plastic surgery oleh ibu bapa mereka. Bahkan, ada seorang bapa yang tidak mengakui anak sendiri bila dapati anaknya tidak ‘secantik’ dirinya dan isteri.”

Selain daripada sesi perkongsian pengalaman bersama mahasiswi dan juga aktivis ISMA-Korea melalui slot ‘Story Telling’, pengunjung turut mendapat manfaat di dalam slot Kimbap Chef.

Pengunjung telah diajar  secara lansung tatacara menyediakan makanan tempatan Korea iaitu Kimbap dan Jumobap. Bertambah menarik, apabila pengunjung turut berpeluang merasai sendiri kelazatan kedua-dua makanan tersebut yang dihidangkan oleh pihak penganjur program.

Sebelum melabuhkan tirai jam 9 malam, peserta telah ditayangkan dengan beberapa rakaman video. Antaranya temuramah isu Palestin bersama masyarakat Korea.

 

 


Comments

comments

Comments are closed.