Pendekatan Sukan Memupuk Perpaduan

Wartawan: Hatta Hamzah (Jurugambar: Ibrahim Mohd Azran)

MADINAH NASR, 16 Februari: Bersesuaian dengan temanya, Majulah Sukan Bina Ummah, Unit Sukan ISMA Mesir cawangan Madinah Nasr telah menganjurkan Karnival Sukan ISMA Mesir (KASIM) 2013 dengan kerjasama Unit Dakwah cawangan berkenaan. Selari dengan seruan ke arah meraikan keterbukaan antara pelajar di samping melahirkan insan yang seimbang dalam segenap aspek, ISMA Mesir sekali lagi mengambil pendekatan sukan sebagai wasilah untuk merealisasikan seruan tersebut.

Karnival kali ini dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu pertandingan bola tampar dan futsal enam sebelah. Rata-rata peserta yang menyertainya terdiri daripada pelbagai latar belakang yang berbeza. Sungguhpun begitu, kerjasama serta kejituan semangat kesukanan yang ditunjukkan telah menjadikan karnival sukan pada tahun ini kelihatan lebih meriah dan menarik.

Pertandingan tahun ini menyaksikan pasukan ‘Sabah Team’ dan ‘Ain Shams’ masing-masing mengungguli tempat pertama bagi pertandingan futsal dan acara bola tampar. Sementara itu, saudara Mohd Faiz Lee, pemain pasukan Saff Ettihad telah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak apabila berjaya menyumbat lima gol sepanjang pertandingan tersebut berlangsung siang tadi.

Gerai-gerai jualan makanan seperti nasi lemak dan roti john turut dibuka ketika karnival berlangsung. Selain itu, kaunter pemeriksaan kesihatan percuma yang dikelolakan oleh wakil I-Medik cawangan Madinah Nasr turut menarik para pengunjung yang hadir.

Semoga program seumpama ini mampu diteruskan pada masa akan datang ke arah menjadikan ISMA Mesir satu organisasi yang lebih terbuka dan mesra mahasiswa seterusnya ke arah melahirkan generasi pemuda yang beragenda.

Gambar program boleh layari laman sosial facebook ISMA Mesir.

Comments

comments

Comments are closed.