Tarbiyah Adalah Paksi Perubahan Bagi ISMA Mesir

Wartawan: Asyraf Kosnan

MADINAH 6 OCTOBER, 28 Januari: Ustaz Shuhaib Ar-Rumy bin Selamat mengingatkan kepada semua ahli ISMA Mesir agar sentiasa kembali bertaqwa kepada Allah SWT dalam setiap langkah perjuangan menyeru dan berdakwah kepada manusia.

“Yang akan menjayakan misi tarbiyyah ISMA untuk membawa masyarakat seluruhnya kepada kefahaman Islam sebenar pada masa hadapan di Malaysia tergalas di atas setiap bahu daripada kita semua”. Beliau berkata demikian dalam satu sesi ucapan penutup sewaktu menghadiri program Mukhayam Murabbi di sini siang tadi.

Beliau yang juga selaku Pengerusi ISMA Mesir turut menegaskan bahawa peranan dakwah ini adalah amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah kepada kita yang perlu kita sambut dan laksanakannya dengan bersungguh-sungguh. “Setiap amanah yang diturunkan kepada manusia adalah besar apatah lagi amanah untuk memikul risalah dan mendidik umat ini”, tambahnya.

Akhir sekali, beliau telah meletakkan harapan yang tinggi kepada setiap ahli ISMA agar berusaha menanamkan jiwa murabbi yang mampu membentuk jiwa generasi manusia untuk kembali kepada Allah. “Masa depan umat Islam di Malaysia berada di tangan kita semua kelak”, tegas beliau lagi.

Selain itu, program tersebut pada kali ini turut disertai oleh beberapa orang ahli wakil ISMA cawangan Jordan dan juga Australia serta melibatkan penyertaan kira-kira seramai 200 orang peserta.

 

Comments

comments

Comments are closed.