Presiden Mesir Isytihar Perintah Darurat

Wartawan: Hatta Hamzah

KAHERAH, 28 Januari: Presiden Mesir Dr. Muhammad Morsi telah mengisytiharkan 30 hari darurat dan perintah berkurung waktu malam di ketiga-tiga bandar sepanjang Terusan Suez berikutan beberapa pertempuran maut baru-baru ini.

Dalam ucapan beliau menerusi televisyen pada hari Ahad yang lalu, Morsi berkata bahawa perintah darurat di Port Said, Ismailia dan Suez akan berkuat kuasa serta merta pada hari Isnin bermula dari jam sembilan malam waktu tempatan hingga jam enam pagi. Selain itu, beliau berkata bahawa banyak tindakan akan diambil untuk mengekang sebarang pertempuran terbaru di seluruh negara.

“Saya telah berkata saya menentang sebarang perintah darurat namun sebaliknya jika saya mesti menghentikan pertumpahan darah dan melindungi rakyat maka saya akan bertindak ke arah itu,” berkata Morsi.

Pertempuran maut di seluruh negara yang berlaku antara penunjuk perasaan dan pihak polis telah membunuh sekurang-kurangnya 48 orang sejak hari Jumaat lalu, ketika Mesir menyambut hari ulang tahun kedua peristiwa revolusi yang menggulingkan bekas Presiden Hosni Mubarak.

Tujuh orang telah ditembak mati dan beratus-ratus cedera di Port Said pada hari Ahad semasa upacara pengebumian kira-kira 30 orang mangsa terbunuh dalam pertempuran yang meletus di bandar berkenaan pada hari sebelumnya.

Penunjuk perasaan ingkar

Beberapa ratus orang rakyat tempatan telah menunjukkan bangkangan dan memprotes tindakan Presiden Morsi di Ismailia, Suez dan Port Said selepas pengumuman tersebut dibuat beliau. Mereka semua telah berikrar untuk menentang perintah berkurung tersebut dalam bantahan keputusan.

Pada malam Ahad yang lalu, pejabat Morsi mengeluarkan kenyataan menjemput penyokong politik dan juga pihak pembangkang untuk menghadiri undangan satu sesi dialog nasional pada hari Isnin pada jam enam petang di Istana Presiden di Kaherah.

Hamdeen Sobahi, seorang ahli politik berhaluan kiri dan pemimpin pembangkang, berkata bahawa dia tidak akan menghadiri sebarang rundingan melainkan pertumpahan darah yang berlaku dapat dihentikan dan juga tuntutan rakyat dipenuhi.

Mohammad El Baradei, pemimpin NSF, berkata dalam satu kenyataan di laman sosial Twitter bahawa dia menyifatkan sesi dialog adalah sekadar membuang masa.

Sumber: Al-Jazeera

Comments

comments

Comments are closed.