AHAD!

 AHAD!

 

AHAD!! AHAD!! AHAD!!!

Katakanlah (Wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;” (Al-Ikhlas:1)

Kisah seorang manusia bernama Bilal. Bilal bin Rabah adalah hamba Umaiyah bin Khalaf Jumahi. Suatu hari Umaiyah bertindak di luar batasan kemanusiaan, menambat Bilal dengan tali ditengkuknya dan menyuruh budak-budak menariknya seperti menarik seekor binatang tali terikat dileher. Budak-budak ini menyeretnya mengelilingi merata kampung dan mengelilingi bukit-bukit Makkah, hingga berparut lehernya kesan dari jerutan tali.

Umaiyah merentap tali di leher Bilal ke hadapan sekuat-kuat dan memukulnya dengan tongkat, memaksanya duduk di tengah panas matahari terik, menahan makanan dan yang dahsyat dari itu Umaiyah membawa Bilal di tengahari yang terik ke padang pasir Makkah dan membaringkannya di sana dengan meletakkan ketulan batu besar ke atas dadanya.

Sambil itu, beliau berkata, “ Aku akan angkat ketulan ini kecuali setelah kau mati atau kau kufur dengan agama Muhammad ini dan kembali menyembah al-Lata dan al-Uzza.”

Dalam keadaan begini Bilal tetap mengucap: “Ahad, Ahad…” (Yang Esa, Yang Esa).

Dengan kehendak Allah, Abu Bakar berlalu di situ di saat Bilal terbaring disiksa. Lantas, Abu Bakr pun membeli Bilal. Begitulah riwayat Bilal dari kitab Raheeq Makhtum.

Seorang yang telah menyanggupkan dirinya untuk sebuah kekuatan jiwa dan hati yang tidak terperi hebatnya.
Namun dari manakah kekuatan ini muncul?
Dari ilmunya yang menggunungkah?
Dari latihan bertahun menahan seksaan seperti komando – komando tentera?
Atau dari mana??
Dan soalan yang lebih penting adalah mengapa beliau sanggup menghadapi situasi tersebut?

Mungkin kalimah “Ahad” mempunyai keunikan tersendiri yang menguatkan hati Bilal, dan membuatkan hilangnya kemanusiaan dalam diri Umaiyyah!

Syed Qutb didalam tafsirnya menyifatkan kalimah ‘Ahad’ unik kerana ia berbeza dengan ‘Wahid’.

Perbezaan paling jelas adalah kalimah ‘Ahad’ bukanlah sekadar ‘satu’ tetapi ianya lebih, apabila ia membawa maksud ‘satu, dan tiada selainnya’.

Pada mata kebiasaan, nampak ianya seperti tiada perbezaan, namun Umaiyyah dan Bilal yang menetap di tanah Mekah yang mana Bahasa Arab Fusha mengalir dalam darah daging mereka hinggakan tiap perkatan halus dari segi susunan tatabahasanya, mengerti ianya lafaz pemisah!

‘Ahad’ merupakan lafaz mengatakan aku dipihak yang satu – satunya betul dan selainnya salah! Selainnya tidak akan ada melainkan dari keizinan dari yang Satu!

Bahawa sebuah lafaz pemutus dari Bilal kepada Umaiyah “Aku dipihak yang satu-satunya memegang panji kebenaran dan bahawa kamu dipihak kebatilan kerana tidak menyembah Dia yang Satu!!”

Inilah yang dinamakan Aqidah. Aqidah yang mengalir di dalam darah generasi yang diasuh air tangan Nabi. Aqidah yang bukan ‘defensive’ dalam tabiatnya, dimana berlafaz “takpa kita mengejar Syurga dan kita doakan yang terbaik, takpa apabila Aqidah umat tergugat nanti kita baikilah dan ambil langkah pencegahan, bukankah ini sebenar-benar Aqidah.. tak perlu risau, senyap sahaja! ”

Tetapi Aqidah yang ‘offensive‘ yang mana ianya wajib disebarkan! Dibawa keseluruh pelusuk dunia! Digerakkan melalui Jihad!
Bererti, ianya bukan semata Aqidah yang membawa kepada :

“Wahai orang-orang Yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan Beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat).” (Al-Hajj:77)

Namun ayat ini disambung dengan sebuah tuntutan lain :

“Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah Dengan jihad Yang sebenar-benarnya Dia lah Yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamaNya); dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah Dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. ia menamakan kamu: “Orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di Dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi Yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang Yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang Yang benar dan Yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. maka (Allah Yang demikian sifatnya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan.” (Al-Hajj:78)

Arahan Allah jelas kepada mereka yang beriman, dimana ianya sebuah tuntutan Aqidah!

Namun hanya disedari oleh mereka yang hidup akidahnya maka akan sentiasa sensitif terhadap perkara berkait dengannya.

Namun hati yang mati tiada peduli perihal ini kerana sudah larut dengan ‘politik’ Jahiliyyah yang melanda umat ini. Tidaklah menjadi kepentingan mereka tatkala idola mereka dari kalangan wanita dan lelaki yang mematikan hati manusia bilamana melihatnya, menjadi kesibukan hati mereka, bilamana keseronokan bergelumang dengan harta yang banyak menjadi kepentingan hati mereka dalam hidup, dan bilamana apa yang penting bagi mereka adalah hidup yang ‘enjoy‘ walau jauh dari Allah.

Disaat inilah maka sesuatu yang nilainya begitu tinggi menjadi enteng dan murah bagi mereka.

Aqidah yang lebih berharga dari nyawanya tidaklah dirasakan begitu, malah dirasakan tiada masalah dengan hakisannya, yang penting kita berjiwa dunia, terbuka dan menghormati yang lain!

Adakah masih berbaki harapan?
Ada yang mengatakan umat Islam sihat walafiat, hanya perlu dibaiki dari sudut ekonomi.
Ada yang mengatakan sudah tiada harapan kerana sakitnya umat Islam yang seolah nazak menunggu mati.
Namun mereka yang memahami tabiat Agama ini akan berkata,

“Ya! Umat ini dalam kesakitan yang sangat! Ya, hinggakan diaratah oleh musuh! Hinggakan tatkala umat di bumi ini ramai ingin meninggalkan Aqidah ini kerana dirasakan tiada apa dengan Islam!

Namun harapan masih terang! Harapan masih ada! Masih ada yang akan berjuang! “

“Sesungguhnya hari pemutus hampir tiba,
Sesungguhnya fajar akan menyingsing helaianya ,

Sesungguhnya cahaya akan menyinar dari ufuknya!
Dan sesekali tidak alam Islami ini akan tidur setelah kebangkitannya!

Tidak akan mati alam Islami setelah kebangkitannya!
Jika ia berupaya untuk maut, sudah tentu ia sudah lama mati (kerana serangan keatasnya)!

Tidak akan Aqidah yang hidup yang memandunya dalam kemelut yang melanda.
Kerana ianya dari ruh Allah..dan Allah Hayy (kekal hidup) dan tidak akan mati.”
– Syed Qutb –

Persoalannya bukanlah sekadar adakah agama ini akan hilang atau rosak, kerana jaminan Allah ia akan kekal dibawah naungan Allah.

Persoalannya adakah kita yang akan bersama tatkala Islam itu naik, adakah kita yang akan memperjuangkan Aqidah itu? Adakah kita yang akan menunaikan tuntutan ‘Ahad’ tatkala kemuliaan berjuang dibawah nama Allah menjadi tanggungjawabnya?

Adakah kita yang akan meneruskan laungan ‘Ahad’ atau akhirnya ianya diteruskan oleh hamba-Nya yang lain, yang inginkan kemuliaan ini?

Keputusan ditangan anda laungkan ‘Ahad’ buat kali kedua atau anda senyap dan terus senyap bersama diri anda.

 

Mohd Suhail Mohd Sufian,

Tahun Persediaan, Sarjana, Kuliah Syariah.

Comments

comments

ISMAMESIR